Pelbagai teknologi diperkenalkan seperti sistem Blind Spot Detection (BSD) yang  dibangunkan untuk meningkatkan keselamatan kenderaan dengan memberi amaran kepada pemandu tentang kehadiran kenderaan lain dalam kawasan titik buta mereka. Sistem BSD menggunakan sensor, seperti radar atau ultrasonik, yang diletakkan di sekitar kenderaan untuk memantau kawasan yang tidak dapat dilihat oleh pemandu melalui cermin pandang belakang. Apabila ada kenderaan yang memasuki kawasan ini, sistem akan memberikan amaran visual atau audio kepada pemandu. Sistem BSD moden sering digabungkan dengan sistem bantuan pemanduan lanjut (ADAS) yang lain, seperti bantuan pengekalan lorong dan brek kecemasan automatik, untuk meningkatkan kesedaran situasi dan tindak balas pemandu.

Sistem BSD, terbukti memberi manfaat dalam pengurangan kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal. Motosikal di atas jalan raya sangat terdedah kepada kemalangan yang boleh meragut nyawa kerana saiznya yang lebih kecil dan lebih berisiko untuk tidak dilihat di kawasan titik buta.  Para cendekiawan telah menjalankan banyak kajian berkaitan kemalangan jalan raya dan keberkesanaan BSD dalam melindungi nyawa penunggang motosikal. Dapatan menunjukkan bahawa kenderaan yang dilengkapi dengan sistem BSD mempunyai kadar kemalangan pertukaran lorong yang lebih rendah berbanding dengan kenderaan tanpa sistem ini. Analisis rakaman papan kamera pemuka (dashcam) dan laporan kemalangan menunjukkan bahawa sistem BSD memberikan amaran tepat pada masanya kepada pemandu, membolehkan mereka mengambil tindakan pembetulan sebelum berlakunya perlanggaran. Walau bagaimanapun keberkesanan untuk kemalangan dapat dielak dengan lebih baik bergantung juga kepada kebolehupayaan penunggang motosikal untuk memperlahankan kenderaan sebelum perlanggaran berlaku. Dalam keadaan cemas, penunggang motosikal akan cuba untuk melakukan brek kecemasan dan jatuh sebelum perlanggaran. Kecederaan penunggang motosikal tersebut bergantung kepada sekuat mana hentakan yang berlaku ketika pelanggaran. Biasanya potensi penunggang untuk tidak cedera adalah sangat rendah.

Di kawasan bandar yang padat dengan penduduk, mengakibatkan jalan raya dihujani dengan pelbagai kenderaan sehingga boleh diibaratkan seperti satu medan perang. Di persekitaran jalan raya yang sibuk, sistem BSD boleh membantu dalam mencegah kemalangan yang melibatkan motosikal apabila pertukaran lorong antara kenderaan perlu kerap dilakukan. Manakala di lebuhraya pula, yang mana kenderaan bergerak dengan kelajuan tinggi, walaupun pertukaran lorong kurang kerap tetapi keadaan tersebut lebih berbahaya. BSD terbukti di dalam kajian-kajian lepas dalam konteks penurunan kemalangan pertukaran lorong yang melibatkan motosikal di lebuh raya adalah signifikan.

Walau bagaimanapun kajian yang dilakukan oleh ASEAN NCAP Collaborative Holistic Research (ANCHOR), Malaysia yang telah menjalankan kajian dari rakaman dashcam menunjukkan, kemalangan pelanggaran antara motosikal dan kenderaan lain paling kerap berlaku di kawasan titik buta dan kemalangan tertinggi dicatatkan di kawasan bandar. Ia memberi gambaran bahawa, walaupun teknologi BSD mampu memberi amaran kepada pemandu tentang kehadiran kenderaan di kawasan titik buta, tetapi ketika proses pemanduan, wujud situasi yang mana tindak balas untuk mengelak perlanggaran tidak dapat dilakukan. Ini kerana disebabkan pelbagai faktor seperti kesesakan lalu lintas sehingga tiada ruang untuk mengelak, ketepatan pengecaman objek dan keupayaan pemandu untuk bertindak balas iaitu sentiasa dalam keadaan berwaspada. Persoalan yang timbul adalah, adakah mencukupi sistem BSD sahaja untuk melindungi penunggang motosikal, ataupun di pihak penunggang motosikal itu sendiri perlu mempunyai teknologi yang boleh membantu mereka membuat pengecaman potensi perlanggaran di kawasan titik buta meraka. Antara teknologi yang boleh diketengahkan ialah teknologi yang dipasang di topi keledar penunggang motosikal untuk mengesan titik buta penunggang motosikal pula.

Sebagai penunggang motosikal, berikut adalah perkara yang perlu diberi perhatian:

  • Pemandu sering kali tidak menyedari kehadiran penunggang motosikal di titik buta kerana saiz motosikal yang kecil dan pergerakan yang cepat.
  • Ramai pemandu tidak memeriksa titik buta dengan betul sebelum menukar lorong atau membelok. Mereka lebih bergantung kepada cermin sisi dan cermin pandang belakang sahaja.
  • Pemandu yang membuat pertukaran lorong secara tiba-tiba tanpa memberi isyarat yang mencukupi meningkatkan risiko pelanggaran dengan motosikal yang mungkin berada di titik buta.
  • Cermin pandang belakang dan sisi mempunyai kawasan yang tidak dapat dilihat (titik buta), yang mana motosikal boleh hilang dari pandangan pemandu.

Maka, penunggang motosikal perlu mengetahui di mana terletaknya titik buta kenderaan dan berusaha sedaya upaya untuk tidak berada di titik buta kenderaan lain semasa di jalan raya. Pilih kedudukan di jalan raya yang memaksimumkan visibiliti kepada pemandu lain, seperti berada di tengah-tengah lorong atau sedikit ke sebelah kiri atau kanan bergantung kepada situasi. Jangan menganggap bahawa pemandu lain akan atau perlu mengambil tahu di mana penunggang motosikal berada dan akan memberi laluan. Bersiap sedia untuk mengelakkan diri daripada situasi berbahaya. Pastikan jarak yang selamat antara motosikal dan kenderaan lain untuk memberi masa yang mencukupi bagi bertindak balas terhadap sebarang keadaan kecemasan. Seterusnya penunggang motosikal hendaklah memakai pakaian berwarna terang atau reflektif, terutamanya pada waktu malam atau dalam keadaan cuaca buruk, supaya pemandu lain dapat melihat dengan lebih mudah.

 

 

Profesor Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Dr. Mirta Widia

Faculty of Industrial Sciences and Technology,

Centre for Advanced Industrial Technology,

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Malaysia

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 6 Jun 2024: Pengesan titik buta kurangkan risiko nahas motosikal