SELAI – Bagi membantu menyelesaikan permasalahan komuniti, sekumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membangunkan sistem pemantauan aras banjir secara masa nyata (Live FloodWatch) untuk diguna pakai oleh pihak Taman Negara Endau Rompin, Selai.

Sistem tersebut dibangunkan bertujuan membantu staf di Pejabat Taman Negara Endau Rompin memantau aras banjir dengan lebih berkesan dan bersistematik sekali gus membantu mereka menyalurkan maklumat seawal mungkin kepada pengunjung dengan segera dan tepat.

Ini kerana Taman Negara Selai Bekok terkenal dengan aktiviti seperti aktiviti perkelahan dan perkhemahan, penjejakan ke air terjun serta penyelidikan.

Namun kejadian banjir berlaku setiap tahun yang berpunca dari kuantiti air yang melebihi had akibat hujan yang berterusan dari Sungai Selai.

Anak-anak sungai yang kecil dan sungai yang semakin cetek telah memberi cabaran kepada pihak berwajib memantau aras banjir kerana ketiadaan sistem pengesanan banjir secara automatik.

Kumpulan penyelidik tersebut terdiri daripada para pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Pusat Pengajian Diploma (PPD), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB).

Live Floodwatch mampu memantau aras banjir secara masa nyata dengan mengaplikasikan teknologi internet benda (IoT), yang merupakan salah satu bidang kepakaran sedia ada di FKEE, UTHM.

Sistem itu dilengkapi dengan teknologi IoT yang menggunakan tenaga solar dan beberapa unit penderia serta kamera digit yang berupaya mengesan aras banjir, mengambil gambar banjir, mengukur kepanasan dan kekeringan kawasan di sekitar Sungai Selai secara masa nyata.

Antara kelebihan Live Floodwatch ialah menggunakan teknologi IR4.0, berteknologi hijau, penggunaan kuasa rendah, data dan kos penyelenggaraan yang rendah, liputan tanpa had, kebolehpercayaan yang tinggi dan mematuhi piawaian industri.

Pada peringkat awal, satu lawatan dan perbincangan dua pihak telah diadakan bertempat di pejabat Taman Negara Endau Rompin (Selai).

Dalam pertemuan itu, pihak Selai meminta pasukan UTHM membangunkan sistem pengesan banjir yang mudah diakses melalui tablet atau telefon pintar.

Data-data yang diperlukan termasuklah suhu, taburan hujan, kelembapan, lux meter data, amaran paras kenaikan air, bacaan kelajuan angin dan data kualiti air.

Penasihat projek, Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin turut serta ke Lubuk Tapah iaitu lokasi yang telah dipilih untuk pemasangan Live Floodwatch.

Lokasi tersebut dipilih kerana terdapat bekalan elektrik, rangkaian syarikat telekomunikasi yang baik, ada ruang tapak untuk pemasangan nod pengesan dan kurang risiko gangguan monyet dan kecurian.

 

Live Floodwatch: Set demo
Lawatan tapak untuk mengenal pasti lokasi penempatan sistem pengesan aras banjir