Dalam memastikan Malaysia mencapai tahap sebagai sebuah negara maju seperti negara lain dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan datang sepertimana dilaporkan oleh EMIR Research, keperluan dalam memastikan sumber tenaga kerja adalah amat penting dalam pemerkasaan Ekonomi MADANI yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Oleh yang demikian, pelbagai aspek lain turut perlu diteliti dalam merealisasikan hasrat tersebut.

Bagi memastikan hasrat tersebut dapat dicapai, peranan universiti adalah amat besar dalam memastikan kemenjadian mahasiswa adalah dibentuk mengikut acuan yang sebenar. Di samping, pengetahuan yang tinggi dalam bidang yang diceburi, graduan juga perlu diterapkan pengetahuan dalam aspek kemahiran insaniah (KI) atau dikenali sebagai softskill. Kursus kokurikulum yang ditawarkan di universiti dapat memupuk dan mengukuhkan keperibadian pelajar dalam menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan sama ada dari aspek rohani, emosi, jasmani dan intelek. Kokurikulum didefinasikan sebagai pembelajaran yang dilaksanakan di luar waktu pembelajaran formal, yang mana ia turut melibatkan penilaian pada aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Berdasarkan definisi kamus dewan edisi-4, kokurikulum adalah kurikulum yang merupakan sebahagian daripada kurikulum asas, yang mana ia melibatkan aktiviti. Penilaian yang dibuat melalui aktiviti yang dilaksanakan, dapat menentukan kebolehupayaan pelajar-pelajar ke arah menjadi modal insan yang bersifat holistik, antaranya kepimpinan, berminda kelas pertama, berfikiran kreatif, kritis dan berinovasi, berdaya saing, mapan,  Lestari serta menguasai teknologi.

Sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, penerapan kemahiran insaniah adalah amat penting, Di peringkat universiti aktiviti kokurikulum yang ditawarkan adalah mengikut kepada beberapa teras utama, antaranya adalah; sukan, kepimpinan, kebudayaan, kesukarelawan, keusahawanan, khidmat komuniti, pengucapan awam, daya usaha dan inovasi. Teras-teras ini membantu memupuk ciri-ciri yang diperlukan sebagai seorang pelajar yang berketerampilan, sama ada teknik berkomunikasi, tahap berdikari, keyakinan diri, tahap pemikiran ataupun idea.

Pengukuhan kursus kokurikulum, sama ada dari aspek pelaksanaan, penilaian dan keperluan perlu dipertimbangkan dalam memastikan ia kekal relevan dan sesuai dengan kehendak keperluan semasa negara dalam melahirkan modal insan yang cemerlang, Tambahan lagi, kursus-kursus teknologi terkini juga perlu diperkenalkan dalam kursus kokurikulum dengan penyediaan peralatan dan aset yang dapat menyokong pelaksaan kursus dengan baik. Dari aspek pelaksanaan, pengukuhan bagi silibus yang digunakan perlu diteliti, dan diperkemaskan dalam memastikan ia relevan dan sesuai dengan keadaan semasa. Penilaian yang dibuat perlu mempertimbangkan elemen-elemen kemahiran yang wajib dikuasai oleh pelajar, antaranya adalah elemen komunikasi, kepimpinan, bekerja secara kumpulan, nilai, sikap, profesionalisme, pengurusan dan keusahawanan.

Mempertimbangkan keperluan majikan dalam memilih pekerja, graduan perlu memiliki kemahiran insaniah yang baik sebagai kemahiran teras yang melambangkan keperibadian diri dan keupayaan seseorang graduan dalam melengkapkan organisasi yang berkaitan. Kini, bersesuaian dengan era digital, modal insan yang perlu dihasilkan adalah yang berkeupayaan dan menguasai teknologi terkini dengan keadaan dunia kini yang segalanya internet. Merujuk kepada kajian penyelidik terdahulu, elemen utama yang dipertimbangkan oleh majikan adalah kemahiran insaniah dan kompeten dalam bidang pengajian yang diikuti.

Berdasarkan perkembangan semasa di peringkat global, dilaporkan kadar pengganguran akan meningkat pada tahun 2024 disebabkan oleh beberapa faktor yang menyumbang kepada isu pengangguran. Walau bagaimanapun, sebagai seorang pelajar, persediaan dalam memastikan potensi diri ditingkatkan perlu diteruskan dan seterusnya dapat menyakinkan majikan dengan nilai dan keupayaan yang ada pada graduan.

Alam pengajian di universiti atau institusi pengajian tinggi lain adalah platform yang terbaik dalam melengkapkan diri dengan pelbagai elemen kemahiran insaniah, melalui penglibatan yang aktif dalam kursus kokurikulum di institusi masing-masing. Ia sekali gus dapat melahirkan pekerja yang cemerlang, mempunyai teras kemahiran yang baik dan bertanggungjawab sejajar dengan hasrat kerajaan dalam membentuk modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dan seterusnya dapat menyumbang dan memberi jasa, jiwa dan tenaga kepada negara Malaysia tercinta.

 

 

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin

Ketua Jabatan,

Jabatan Keusahawanan, Daya Usaha & Inovasi dan Sastera Liberal,

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,

Univeristi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)