BATU PAHAT – Lebih 10 ribu pengunjung hadir memeriahkan program ‘Jom Masuk U Zon Selatan’ (JMU 2024) yang berlangsung pada 1 dan 2 Jun 2024 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein onn Malaysia (UTHM).

Mereka terdiri daripada pelajar sekolah, lepasan SPM dan STPM, ibu bapa, guru dan kaunselor sekitar negeri Johor yang ingin mendapatkan informasi terkini berkaitan maklumat kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT).

Penganjuran JMU 2024 merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan mempromosi dan menyebarluas maklumat terkini mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh IPT di bawah KPT merangkumi universiti awam (UA), institut pendidikan tinggi swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.

UTHM telah menyediakan lebih 70 reruai pameran melibatkan penyertaan universiti awam dan swasta serta pelbagai agensi awam/swasta dari seluruh negara, yang disertai dengan sesi konsultasi dan perkongsian informasi sepanjang dua hari program berlangsung.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik dihidangkan kepada pengunjung antaranya program ‘YES! Rock The School’ bersama TalentCorp, Bicara JMU: Hala Tuju Selepas SPM, Kerjaya GIG “Wajarkah Menjadi Pilihan” dengan penampilan istimewa penyanyi Najwa Latif serta ”Sembang Santai JMU” bersama pempengaruh media sosial.
Turut diadakan, Showcase STEM, TVET dan Digital UTHM, Pameran Badan Beruniform, Persembahan Kesenian dan Kebudayaan, UTHM Campus Tour, Pertandingan Robotik dan Dron serta cabutan bertuah.

Majlis perasmian penutup yang diadakan pada 2 Jun telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Tuan Aznan Tamin.

Tuan Aznan dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada UTHM selaku tuan rumah JMU Zon Selatan kerana komited menyelaras dan menyediakan fasiliti yang terbaik untuk keselesaan pengunjung dan pempamer.

Beliau berharap penganjuran program seumpama itu di negeri Johor ini dapat menggalakkan lagi pelajar lepasan sekolah untuk menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

Hadir sama, Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Timbalan Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ahmad Rizal Adnan dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.

Sementara itu, Naib Canselor pula berkata UTHM turut menyokong fokus utama KPT iaitu menyediakan bakat terbaik negara dengan memastikan graduannya bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.

“Ini terbukti apabila UTHM berjaya mencapai jumlah kebolehpasaran graduan sebanyak 95.4% pada tahun 2023.

”Program latihan industri, kolaborasi dengan industri, serta kurikulum yang berorientasikan industri adalah antara usaha kami untuk memastikan graduan UTHM memiliki kelebihan kompetitif di pasaran pekerjaan.

“Selain menyediakan pelbagai kemudahan dan sokongan kepada para pelajar, UTHM menawarkan pelbagai bentuk bantuan kewangan termasuk pinjaman PTPTN, biasiswa dari pelbagai agensi, serta bantuan zakat untuk pelajar yang layak.

“Kami percaya bahawa tiada pelajar yang patut terhalang dari mencapai impian mereka hanya kerana kekangan kewangan,” tambah beliau.