Proses urbanisasi di Malaysia bermula sejurus mencapai kemerdekaan, dan proses urbanisasi ini terus berkembang pesat sehingga kini. Revolusi urbanisasi ini bukan sahaja dilihat berdasarkan petumbuhan fizikal bandar dan infrastruktur, malah juga pertumbuhan populasi bandar dalam kalangan penduduk Malaysia. Revolusi urbanisasi yang dialami oleh negara telah menjadikan Malaysia pada masa kini adalah salah satu negara yang paling urbanisasi di Asia Timur, dan juga salah satu wilayah yang paling pesat membangun di seluruh dunia.

Pencapaian ini dapat dilihat dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini yang mana penduduk bandar di Malaysia telah meningkat daripada sekitar 66 peratus pada tahun 2004 kepada 73.58 peratus pada tahun 2014. Pertumbuhan ini dijangka berterusan, apabila penduduk dari luar bandar berhijrah ke kawasan bandar disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya ekonomi dan peluang pekerjaan. Faktanya, pada tahun 2024, penduduk bandar bagi Malaysia adalah pada kadar 78.21 peratus; meningkat pada kadar 36.8 peratus dari tahun 1974 dengan peningkatan kadar tahunan purata sebanyak 1.57 peratus. Peratusan ini dijangkakan akan terus meningkat sehingga 80 peratus menjelang tahun 2023.

Kepesatan proses urbanisasi turut memacu perubahan di dalam konsep pembangunan perumahan dengan mengambil kira perubahan cara hidup, prubahan demografi dan kehendak agar lebih menjurus kepada persekitaran hidup yang lebih mampan dan cekap. Harga harta tanah yang melambung tinggi terutama di bandar-bandar utama di dunia (tidak terkecuali di Malaysia) telah mengecilkan peluang untuk  kebanyakan pembeli dan penyewa mampu secara realistik. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dilema perumahan mampu milik di kebanyakan bandar di Malaysia telah menjadi satu isu yang besar. Jelasnya, lokasi memainkan peranan yang penting dalam menentukan keseimbangan kos perumahan dan taraf hidup isi rumah. Sebagai alternatif, konsep co-living telah mula diperkenalkan di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh perubahan tren baharu di tempat kerja dan pasaran harta tanah di seluruh dunia.

Co-living ialah konsep perumahan baharu yang mana individu yeng berkongsi minat, aspirasi dan nilai hidup yang sama akan berkongsi ruang kediaman dan tinggal bersama seperti ahli keluarga. Idea konsep ini bukanlah baharu sepenuhnya, tetapi generasi milennium mentakrifkan semula konsep Dorm living dalam kontek kehidupan perumahan di bandar. Dewasa ini, konsep co-living telah menjadi tren di dalam perniagaan harta tanah terutamanya dalam kalangan profesional muda, nomad digital, pelajar dan pekerja bebas yang tinggal di bandar. Mengulangi konsep dorm-living, konsep co-living melibatkan perkongsian ruang kediaman yang mana individu atau kumpulan orang tinggal bersama dalam persekitaran yang berorentasikan komuniti – lazimnya merangkumi bilik tidur peribadi dan perkongsian kawasan umum (common area) seperti dapur, ruang tamu dan bilik mandi. Selain daripada kekangan kewangan untuk menyewa dan memiliki kediaman di bandaraya, ironinya, inspirasi kepada konsep co-living adalah untuk menyantuni golongan muda yang memilih untuk berpindah ke bandar baharu bagi tujuan peluang kerjaya dan mereka boleh tinggal dan berinteraksi dengan orang baharu.

Walaupun konsep ini masih dilihat baharu di Malaysia, namun kebelakangan ini memperlihatkan konsep ini telah mendapat tarikan daripada pemain-pemain industri harta tanah sebagai alternatif penyelesaian kepada isu kehidupan di bandar seperti peningkatan kos sara hidup dan pengasingan sosial. Untuk membina nilai kemasyarakatan dalam kalangan penduduk, kediaman co-living merangkumi perkhidmatan pembersihan, aktiviti sosial dan kawasan kerja secara bersama. Konsep co-living pada masa kini telah menjadi industri yang dikomersilkan dengan syarikat swasta menawarkan sepenuhnya pangsapuri lengkap berperabot dan fasiliti yang dikongsi bersama profesional muda dan nomad digital. Jelasnya, konsep co-living akan terus berkembang dengan mengadaptasi tren perubahan sosial dan ekonomi, serta memfokuskan kepada kemampanan, kesejahteraan dan kehidupan antara generasi (intergenerational living).

Transisi Dorm living kepada konsep co-living untuk golongan profesional muda di bandar diharapkan mampu untuk menangani peningakatan kos hidup di bandar terutamanya berkaitan pemilikan harta tanah kediaman – dan turut memberikan nilai tambah kepada pertumbuhan industri harta tanah di Malaysia khasnya. Selain daripada berkongsi ruang tinggal, fasiliti dan ameniti, konsep co-living juga dilihat lebih fleksibel dalam pengurusan model penyewaan – kadar sewa dan tempoh sewaan.

Tambahan lagi, majoriti penduduk bersetuju bahawa konsep co-living merupakan inisiatif yang baik untuk menyediakan pilihan rumah mampu milik melalui pelaksanaan konsep hidup bersama yang selamat, selesa dan mudah diakses oleh mereka yang tinggal di kawasan bandar. Oleh itu, melaksanakan konsep hidup bersama ke dalam pembangunan baharu ialah penyelesaian alam sekitar yang menangani kedua-dua krisis rumah mampu milik dan kelestarian alam sekitar.

Inisiatif ini turut menyantuni matlamat pembangunan mampan (Sustainable Development Goal – SDG) – Prinsip 11 – menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan. Prinsip ini lahir rentetan dari peningkatan populasi bandar, tetapi kebanyakan bandar ini tidak bersedia untuk pembandaran pesat ini, dan ia mengatasi pembangunan perumahan, infrastruktur dan perkhidmatan, yang membawa kepada banyak isu sosial. Konsep co-living merupakan salah satu alternatif untuk menyelesaikan isu atau masalah sosial masyarakat melalui bandar dan komuniti yang mampan. Hakikatnya pembangunan mampan tidak dapat dicapai tanpa mengetahui cara bagaimana ruang bandar dibina dan diurus, dan tanpa komitmen bersama oleh pelbagai institusi untuk menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif selamat, berdaya tahan dan mampan.

 

 

 

 

Profesor Madya Sr Dr. Azlina Md Yassin

Jabatan Pengurusan Harta Tanah

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Chrise Nursidi

Jabatan Pengurusan Harta Tanah

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 7 Jun 2024: KONSEP CO-LIVING: REVOLUSI DORM LIVING UNTUK PROFESIONAL MUDA DI BANDAR 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2304343