Dewasa ini, setiap individu bebas untuk berkongsi buah fikiran mereka dalam bentuk penulisan. Apa jua bentuk penulisan seperti hantaran peribadi dalam laman media sosial, mahu pun penulisan berbentuk artikel pendek dalam blog, jika perkongsian tersebut baik maka kebaikan akan tersebar luas. Jika penulisan tersebut berunsur negatif dan berbaur fitnah, maka bertambahlah berat pada dacing amalan buruk penulis tersebut.

Perkongsian menerusi penulisan bukan sahaja penting untuk perkembangan peribadi seseorang, tetapi juga untuk menyebarluaskan ilmu dalam kalangan masyarakat. Penulisan yang bermanfaat dapat memberikan pengetahuan baharu kepada pembaca. Sebagai contoh, penulisan berbentuk perkongsian tip, panduan atau informasi baharu.

Ketika seseorang menulis untuk berkongsi ilmu atau pengalaman, mereka bukan sahaja membantu pembaca untuk memahami sesuatu isu, bahkan juga meningkatkan pemahaman mereka sendiri melalui proses penulisan. Bahkan, penulisan juga mampu meluaskan horizon pemikiran pembaca dengan memperkenalkan kepada mereka perspektif pemikiran yang berbeza.

Bukan itu sahaja, melalui penulisan seseorang dapat meluaskan jaringan sosialnya. Hal ini kerana, perkongsian sesuatu topik dalam penulisan mampu menarik minat pembaca yang memiliki nilai dan tujuan yang sama. Secara tidak langsung, ia mampu membuka ruang untuk berinteraksi dengan orang baharu dalam bidang yang relevan. Misalnya, apabila seseorang yang pakar dalam bidang keusahawanan berkongsi tentang peluang kerjaya dan selok belok dalam perniagaan.

Daripada sudut pandang yang berbeza pula, penulisan yang berunsur kritikan sosial mampu menggalakkan masyarakat untuk berfikir dengan kritis selain merefleksi diri. Hal ini mampu memberi peluang kepada masyarakat untuk berdiskusi dengan lebih mendalam tentang sesuatu isu yang dibahaskan. Kritikan sosial kebiasaannya tidak hanya menekankan permasalahan yang berlaku, tetapi juga saranan untuk langkah penambahbaikan sesuatu isu.

Apa yang lebih utama lagi, matlamat kritikan sosial dalam penulisan adalah untuk menjadi pemangkin dan titik tolak ke arah perubahan yang lebih positif. Sebagai contoh, tulisan yang mengangkat isu berbentuk cadangan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan. Penulisan seperti contoh tersebut mampu menjadi pendorong dan memberi impak positif ke arah perubahan sosial. Jika tidak dalam skala yang besar, dalam skala yang kecil pun tidak mengapa.

Dalam keterujaan menulis pula, setiap individu haruslah bertanggungjawab ke atas penulisan mereka. Elakkan menulis sesuatu jika kita bukan ahlinya. Tidak salah untuk berkongsi maklumat, namun setiap penulisan kita haruslah berlandaskan fakta yang sebenar dan bukannya sekadar rekaan atau andaian semata. Hal ini penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Thalib, “Semua penulis akan mati, hanya karyanya akan terus abadi. Maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakanmu di akhirat nanti.” Setiap daripada kita sudah pasti memiliki sesuatu informasi atau pengalaman berharga untuk kita kongsikan kepada orang di sekeliling kita. Maka, tulislah sesuatu yang bermanfaat, bukannya sesuatu yang mengundang padah kepada diri sendiri pada kemudian hari.

 

 

 

Farhana Abd Hamid

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 24 Jun 2024: Jadikan penulisan medan sebarkan ilmu 

https://malaysiagazette.com/2024/06/24/jadikan-penulisan-medan-sebarkan-ilmu/

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 32), 1 Julai 2024: Jadikan penulisan medan sebarkan ilmu 

 

3. Utusan (utusan.com.my), 1 Julai 2024: Jadikan penulisan medan sebarkan ilmu

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/07/jadikan-penulisan-medan-sebarkan-ilmu/

 

4. Sinar Harian (muka surat: 19), 2 Julai 2024 : Tulis sesuatu yang bermanfaat, bukan undang padah