Oleh Prof. Madya Sr Ts. Dr. Mustaffa Anjang Ahmad, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Adib Mohammad Razi
MERSING – Bagi meneruskan usaha menyebarluaskan ilmu dan kepakaran universiti kepada komuniti, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor Bahru bagi melaksanakan Kursus Pengenalan Kejuruteraan Pantai pada 19 hingga 21 Mei 2024 lalu di Pulau Besar, Mersing.
Program yang julung kali diadakan itu melibatkan penyertaan 40 staf JPS Johor Bahru daripada kumpulan pelaksana.
Kursus dikendalikan oleh staf bepengalaman dalam bidang kejuruteraan pantai dan geomatik dari FKAAB yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mohd. Adib Mohammad Razi dan Prof. Madya Sr Ts. Dr. Mustaffa Anjang Ahmad serta dibantu oleh dua pembantu jurutera.
Program tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi memberi peluang kepada kakitangan kumpulan pelaksana di JPS Johor Bahru mengaplikasikan pengetahuan kejuruteraan pantai terhadap kerja seharian yang saling berhubung rapat dengan kursus yang dilaksanakan.
Kursus selama tiga hari itu dilaksanakan dengan beberapa aktiviti kutipan data di sepanjang pantai Pulau Besar dan berhampiran jeti.
Peserta kursus didedahkan dengan cara mencerap pasang surut air laut menggunakan staf ukur yang dipasang di jeti dan kaedah pemasangan pancang di pantai.
Para peserta juga turut didedahkan dengan kerja ukur aras bagi mendapatkan keratan rentas atau profil ketinggian pantai.
Melalui ketinggian keratan rentas, maka kontor di kawasan tersebut dapat dilakarkan bagi mengenal pasti bentuk muka bumi pantai di kawasan tersebut setelah semua data digabungkan.
Di samping itu, peserta juga diajar cara membaca kompas prismatik bagi mengenal pasti arah angin di Pulau Besar dan juga perlu menghitung kelajuan angin tersebut.
Turut dilaksanakan, aktiviti menentukan ketinggian ombak yang diukur melalui pancang yang diletakkan di tepi pantai.
Jurutera Daerah, JPS Johor Bahru, Ir. Abdul Razak Abdul Aziz berkata program tersebut amat berguna kepada kakitangan beliau.
Menurut Abdul Razak, setiap peserta dapat mempelajari ilmu kejuruteraan pantai seperti mengetahui bagaimana data pasang surut diperolehi dan serta diplot dalam mewujudkan jadual air pasang.
“Pengetahuan ini sedikit sebanyak dapat membantu semua kakitangan memahami dengan lebih baik bagaimana membaca dan memastikan kesahihan jadual air pasang sedia ada setelah mempelajarinya secara hands on.
“Di samping itu, kakitangan JPS juga didedahkan dengan ilmu ukur kejuruteraan dengan melaksanakan ukur aras dalam memplot keratan rentas pantai serta membuat garisan kontor yang membentuk data bathimetry di kawasan tersebut.
“Latihan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran kepada kakitangan pelaksana dalam mengutip data dengan membaca tolok pembaris terutamanya yang berada di dalam air.
“Kemahiran membaca data dengan tepat ini dapat membantu pihak jabatan dalam memberikan maklumat yang sahih terutamanya dalam operasi banjir,” katanya.
Ketepatan memberikan maklumat tersebut amat penting dalam penentuan operasi banjir sama ada untuk menyelamat dan mengeluarkan penduduk dapat ditentukan.
Secara tidak langsung latihan seumpama itu dapat mengasah lagi kemahiran kakitangan pelaksana dalam melaksanakan kerja mereka di lapangan.
Sementara itu, FKAAB pula berharap perkongsian ilmu itu dapat menambah nilai pembelajaran berkaitan pendedahan kepada pelbagai senario dan situasi yang berlaku di sepanjang pantai di negeri Johor.
Kursus tersebut juga diharap dapat membentuk landasan yang kukuh untuk pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai kejuruteraan pantai sekali gus dapat membina hubungan yang baik antara UTHM dan JPS.