Serangan jantung (Heart Attack), juga dikenali sebagai ‘infark miokardm’ adalah kejadian yang serius apabila aliran darah yang kaya dengan oksigen ke jantung terhalang dan boleh menyebabkan kerosakan pada tisu jantung. Ini adalah antara masalah kesihatan yang sering berlaku dan boleh menyebabkan kematian.

Serangan jantung boleh disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk gaya hidup yang tidak sihat. Gaya hidup yang tidak sihat ini antaranya seperti merokok, kurang senaman dan pemakanan yang tidak seimbang. Selain itu, faktor Kesihatan pula seperti tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi dan obesiti. Faktor lain termasuklah genetik, usia, penyakit diabetis, stress dan keadaan kesihatan lain seperti penyakit jantung koronari.

Gejala serangan jantung termasuklah rasa sakit atau ketidakselesaan di dada, pesakit akan merasa tekanan atau sakit pada dada. Selain itu, gejala tersebut boleh menjalar ke lengan, rahang, bahu atau punggung. Tanda-tanda seperti sesak nafas, mual dan peluh berlebihan terutamanya keringat sejuk juga sering berlaku. Tindakan segera sangat penting dalam menangani serangan jantung ini. Jangan abaikan gejala-gejala ini atau cuba mengatasinya sendiri. Dapatkan bantuan perubatan dengan segera. Serangan jantung adalah perkara yang serius dan perlu diuruskan oleh doktor. Tindakan pantas boleh menyelamatkan nyawa seseorang yang mengalami serangan jantung.

Pencegahan serangan jantung adalah usaha menyeluruh yang melibatkan pelbagai langkah untuk mengekalkan kesihatan jantung yang baik. Langkah pertama penting ialah melakukan cara hidup sihat seperti berhenti merokok. Selain itu, melakukan senaman secara berkala dapat membantu menguatkan jantung dan meningatkan aliran darah. Penjagaan pemakanan yang seimbang juga dengan mengurangkan pengambilan lemak tepu dan garam. Pengambilan serat dalam pemakanan juga amat penting dalam usaha pencegahan.

Teknik mengurangkan stress seperti zikir dan meditasi atau yoga boleh membantu menurunkan tekanan darah dan risiko serangan jantung. Memantau tekanan darah dan kolestrol secara berkala serta menjaga berat badan. Kawalan diabetis juga dapat mencegah serangan jantug ini dari berlaku. Pemeriksaan secara berkala dapat mengesan masalah jantung dan kaedah awal untuk mengatasinya.

Kesimpulannya, serangan jantung adalah keadaan serius yang mana aliran darah ke jantung terhalang, yang boleh menyebabkan kerosakan pada jantung. Faktor risiko termasuk gaya hidup tidak sihat dan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi. Gejala serangan jantung termasuk rasa sakit di dada, sesak nafas, mual dan peluh berlebihan.

Tindakan segera sangat penting; rujukan kepada pihak doktor diperlukan untuk menyelamatkan nyawa. Kaedah pencegahan melibatkan berhenti merokok, melakukan senaman secara rutin, makanan yang sihat, mengurangkan stress, pemantauan tekanan darah dan kolesterol, serta menjaga berat badan serta mengendalikan diabetes dengan baik. Dengan melaksanakan langkah pencegahan ini, risiko serangan jantung mungkin dapat dielakkan.

 

 

 

Ts. Mohamad Luthfi Ahmad Jeni

Felo Industri, Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)