Bapa, babah, abah, ayah, abi, papa…

Apa pun jua gelaran buat mereka ketahuilah bahawa peranan mereka sangat penting dalam kehidupan anak-anak, lebih-lebih lagi buat anak perempuannya. Benarkah kata -kata yang sering kita dengar iaitu seorang bapa merupakan cinta hati pertama buat setiap anak perempuannya? Apakah yang dimaksudkan dalam kenyataan ini? Ia menggambarkan betapa dalamnya pengaruh dan hubungan emosi antara bapa dan anak perempuannya.

Bapa merupakan pelindung dan pemandu buat anak-anak dan seisi keluarganya. Anak-anak merasa tenang dan selamat di samping bapa mereka. Jika ibu menyemai kasih sayang penuh kelembutan dalam diri setiap anaknya, bapa pula menyulam kasih sayang bersama keyakinan diri pada setiap diri anak-anak terutama buat anak perempuan mereka. Bapa juga merupakan contoh teladan menunjukkan bagaimana seorang lelaki sepatutnya menghormati kaum wanita dengan akhlak yang baik serta kasih sayang.
Kasih sayang yang diperoleh daripada seorang bapa sejak kita kecil akan membentuk pandangan anak perempuan tentang hubungan yang sihat. Bapa yang sentiasa menyokong kita dan menjadi pendengar yang setia pada setiap masalah dan luahan anak perempuannya akan membantu anak dalam membentuk rasa percaya diri dan seterusnya meletakkan harga diri di tempat yang tinggi.

Bapa juga memainkan peranan penting dalam memberi pendidikan awal dan pembentukan nilai sahsiah pada anak perempuannya. Melalui bimbingan dan nasihat, seorang bapa dapat membantu anak-anak memahami berkenaan pentingnya integriti, kerja keras dan nilai tanggungjawab. Jelas kita lihat umumnya anak-anak yang sedang belajar tentang sebuah kehidupan bukan hanya melalui kata-kata nasihat seorang ibu atau bapa, malah daripada tindakan nyata dan tunjuk cara yang baik oleh seorang bapa.

Aktiviti bersama seperti bermain, belajar, atau melakukan hobi bersama-sama seorang bapa juga dapat menguatkan ikatan emosi selain turut mengajar nilai kerjasama, empati dan kemahiran komunikasi antara bapa dan anak. Ia pasti menjadi kenangan berharga yang akan dikenang seumur hidup kita.

Selain itu, hubungan yang baik antara bapa dan anak perempuan juga mempunyai kesan jangka panjang yang signifikan. Anak perempuan yang membesar dengan kasih sayang dan sokongan bapa kebiasaannya dilihat dapat mendorong diri mereka sentiasa membina kekuatan diri untuk berjaya dalam kehidupan. Mereka juga mempunyai nilai positif yang tinggi dalam diri selain turut memiliki kemahiran sosial yang baik.

Sememangnya bapa adalah cinta pertama anak perempuan, bukan hanya kerana hubungan rapat dan tempat meluah emosi yang terjalin sejak kecil, tetapi juga kerana peranan penting seorang bapa terhadap anaknya dalam membentuk perwatakan, sahsiah dan nilai erti kehidupan anak tersebut. Dengan menyalurkan kasih sayang, sokongan dan bimbingan yang konsisten, seorang bapa dapat memastikan bahawa anaknya membesar menjadi individu yang kuat, percaya pada diri dan mampu menghadapi cabaran hidup dengan baik. Hargailah bapa kita, kerana selain ibu, bapa merupakan insan penting yang mengajar kita mengemudi dunia penuh cabaran ini sejak kita kecil sehinggalah akhir nafas mereka. Selamat hari bapa!

 

 


Nurulisyazila Othaman
Guru Bahasa
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)