BATU PAHAT – Dalam usaha mewujudkan persekitaran hijau, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Evergreen Fibreboard Berhad telah menjalinkan kerjasama melaksanakan program penanaman ratusan anak pokok di kampus.

Evergreen Fibreboard telah menyumbang sebanyak 500 anak pokok bagi tujuan tersebut dan 300 anak pokok spesis Eucalyptus Robusta (Swamp Mahogany) telah berjaya ditanam di kawasan Buffer Zone, Blok G7,kampus induk pada 30 Mei 2024.

Program tersebut merupakan Corporate Social Responsibility (CSR) pihak Evergreen Fibreboard, sekali gus menjadi salah satu inisiatif UTHM dalam menyokong ‘Program Penghijauan Malaysia’ melalui ‘Kempen Penanaman 100 Juta Pokok’ bermula tahun 2021 hingga 2025.

Pemilihan kawasan tersebut adalah bertujuan sebagai penebat kepada habuk dan bunyi yang dihasilkan dari kawasan perindustrian berhampiran.

Program tersebut telah selaraskan oleh Pejabat Kampus Lestari (SCO) bersama Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan (PPP), Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF), Yayasan UTHM dan Kelab Planeteers.

Menurut Pengarah Pejabat Kampus Lestari, Profesor Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir, sebanyak 644 batang pokok telah ditanam di sekitar UTHM sejak 2021 antaranya pokok durian, mangga, rambutan dan ciku,

Menurut beliau, penanaman pokok merupakan kaedah alami yang paling efektif untuk menyerap karbon dioksida, sekali gus mengurangkan kesan gas rumah hijau.

“Program ini juga adalah inisiatif jangka masa panjang untuk mengurangkan kesan perubahan iklim serta mempromosikan persekitaran yang lebih hijau dan mampan di dalam kampus,” katanya.

Sesi penanaman anak pokok tersebut turut disertai Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UTHM, Naim Maslan dan Pengurus Operasi Evergreen Fibreboard Berhad, Geam Yong Kia.

Turut hadir, Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab dan staf UTHM, kakitangan Evergreen serta pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 3 Jun 2024: UTHM, Evergreen tanam 300 pokok

https://malaysiagazette.com/2024/06/03/uthm-evergreen-tanam-300-pokok/