Masalah kesihatan yang timbul akibat penggunaan produk pelangsing atau kecantikan yang tidak mendapat kelulusan daripada organisasi kesihatan seperti KKM sering menjadi isu utama masyarakat. Statistik menunjukkan kes kesihatan seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kegagalan buah pinggang yang disebabkan oleh penggunaan produk pelangsing amat membimbangkan. Malah, kewujudan pelbagai produk pelangsing dan kecantikan dengan pelbagai jenama dan fungsi semakin berleluasa di pasaran, termasuklah produk yang dihasilkan melalui bahan ‘timbang kilo’. Tidak dinafikan, lambakan produk seperti ini adalah disebabkan oleh norma sosial yang menekankan pada penampilan fizikal yang ideal atau stereotaip. Ini memberi tekanan emosi dan mental kepada individu, memperkuatkan rasa tidak puas hati dengan penampilan diri dan mendorong kepada kebergantungan pada produk pelangsingan dan kecantikan yang berisiko.

Kurangnya kesedaran dan pengetahuan mengenai penggunaan produk tertentu adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah pengguna tidak memahami dengan jelas tentang komposisi sesuatu produk dan bagaimana ianya bertindak dalam tubuh, seterusnya boleh menimbulkan risiko kesihatan yang tidak diingini. Selain itu, pengaruh media dan iklan turut memainkan peranan penting dengan sering kali mempromosikan produk pelangsing dan kecantikan ini dengan menawarkan janji yang menggiurkan, seperti penurunan berat badan yang pantas dan mudah. Pengguna mungkin terpesona oleh janji tersebut dan mudah terpengaruh pada kecantikan luaran tanpa mengambil kira tahap keselamatan, keberkesanan sebenar dan impak yang mungkin terjadi pada kesihatan dalaman mereka.

Selain itu, kekurangan keyakinan terhadap kaedah konvensional turut menjadi penyebab penggunaan produk ini. Terdapat individu yang mungkin mencari jalan pintas untuk mencapai penurunan berat badan yang cepat kerana merasa kecewa dengan amalan diet seimbang dan senaman, dan melihat produk pelangsing sebagai penyelesaian yang lebih mudah dan pantas. Dalam situasi yang mana kepuasan segera menjadi keutamaan, produk tersebut sering kali dianggap menarik dan dijadikan sebagai alternatif kepada usaha yang memerlukan lebih kesabaran dan ketekunan. Akibatnya, pengguna terpengaruh untuk mengabaikan langkah-langkah yang betul dan seimbang secara berterusan. Keadaan ini menjadi lebih serius apabila terdapat kekurangan dalam regulasi dan pemantauan ketat oleh pihak berkuasa. Ini boleh mengakibatkan produk yang tidak selamat atau tidak berkesan berada di pasaran.

Kurangnya pengawasan dari pihak berwajib boleh membuka ruang untuk penyalahgunaan oleh pengeluar atau penjual yang tidak bertanggungjawab. Pengguna yang tidak mengetahui atau tidak memahami risiko berkaitan dengan produk-produk tersebut boleh menjadi mangsa kesan negatif atau kecederaan. Oleh itu, pemantauan yang teliti dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat adalah penting untuk melindungi keselamatan dan kepentingan pengguna dari produk yang meragukan. Tekanan untuk memiliki tubuh yang ‘sempurna’ atau ideal sering kali menyebabkan individu merasa terpaksa mencari cara untuk mencapai standard kecantikan yang tidak realistik. Ketidakpuasan terhadap penampilan fizikal mereka, yang mungkin dipengaruhi oleh norma sosial atau persepsi media tentang kecantikan, boleh mendorong penggunaan produk pelangsing atau kecantikan. Dalam usaha mencapai standard ini, individu mungkin tergoda untuk menggunakan produk tersebut tanpa mempertimbangkan risiko kesihatan yang terlibat. Mereka lebih fokus pada hasil yang dijanjikan berbanding keselamatan atau implikasi jangka panjang. Oleh itu, tekanan dari persepsi sosial tentang kecantikan sering kali menjadi pemangkin utama di sebalik penggunaan produk-produk yang mungkin meragukan keselamatannya.

Adalah penting untuk memahami bahawa penurunan berat badan yang sihat dan berterusan memerlukan pendekatan yang holistik, termasuk pemakanan seimbang, senaman teratur dan berunding dengan profesional kesihatan yang terlatih. Salah satu langkah yang boleh diambil adalah meningkatkan pendidikan dan kesedaran mengenai kesihatan dan pemakanan yang betul. Ini termasuklah pemahaman tentang risiko dan manfaat produk yang digunakan untuk tujuan penurunan berat badan. Ianya boleh dilakukan melalui penerapan kurikulum yang lebih menyeluruh dalam bidang kesihatan dan pemakanan di sekolah, serta penyediaan program kesedaran di tempat kerja atau masyarakat. Kempen kesedaran melalui media massa, sekolah dan masyarakat juga dapat membantu meningkatkan pemahaman masyarakat tentang isu ini serta memberi penekanan pada pentingnya membuat keputusan kesihatan yang berinformasi.

Selain itu, adalah penting bagi pengguna untuk diberi pendidikan tentang cara memilih produk-produk kecantikan dan kesihatan yang sesuai, selamat dan efektif. Ini termasuklah memberi penekanan kepada langkah-langkah praktikal seperti memeriksa label produk untuk memahami kandungan dan penggunaan yang disyorkan, mencari ulasan dan nasihat dari sumber yang dipercayai seperti pengguna yang telah mencuba produk tersebut atau pakar kesihatan dan berunding dengan profesional kesihatan seperti doktor atau ahli pemakanan sebelum menggunakan produk baharu. Selain itu, penekanan perlu diberikan kepada penggalakan gaya hidup yang aktif dan pemakanan seimbang sebagai kaedah utama untuk mencapai kesihatan yang baik, daripada bergantung sepenuhnya kepada produk-produk yang sering kali mempunyai risiko yang membahayakan. Dengan pendekatan yang komprehensif ini, diharapkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang kesihatan dan pemakanan dapat ditingkatkan, sehingga mengurangkan penggunaan produk-produk yang diragui keselamatannya.

Juga penting untuk memperkenalkan peraturan yang lebih ketat yang mana pihak berkuasa perlu meningkatkan pengawasan dengan melaksanakan ujian yang ketat terhadap keselamatan dan keberkesanan produk sebelum dibenarkan untuk berada di pasaran, serta menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas terhadap produk-produk yang dianggap haram atau berbahaya. Dengan ini, ia dapat membantu mengurangkan kemungkinan produk-produk yang tidak selamat berada di pasaran, yang seterusya akan melindungi keselamatan dan kesejahteraan pengguna.

Kerja-kerja pembangunan dan penyelidikan tentang keberkesanan dan keselamatan produk-produk kecantikan serta penurunan berat badan adalah penting untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang risiko dan manfaat yang terlibat. Ianya dapat mengenal pasti potensi kesan sampingan, interaksi dengan ubat-ubatan lain, serta kesan jangka panjang penggunaan produk tersebut. Hasil penyelidikan ini tidak hanya dapat memberi maklumat yang lebih tepat kepada pengguna, tetapi juga kepada profesional kesihatan dan pihak berkuasa dalam membangunkan dasar-dasar awam yang lebih baik dan panduan klinikal yang lebih terperinci. Oleh yang demikian, masyarakat dapat membuat keputusan yang lebih berinformasi tentang penggunaan produk-produk tersebut, sementara dasar-dasar awam dan panduan klinikal yang diperbaharui dapat membantu memastikan penggunaan produk-produk yang selamat dan berkesan dalam jangka panjang.

Kesimpulannya, semua pihak termasuk pihak berkuasa, organisasi kesihatan, penyelidik dan pemain industri kecantikan perlu bekerjasama untuk menghasilkan lebih banyak pilihan produk yang sihat, selamat dan berkesan bagi membantu individu mencapai matlamat penampilan dan kesihatan tanpa mengancam keselamatan mereka sendiri. Masyarakat pula perlu bersedia untuk meningkatkan pengetahuan mereka tentang kesihatan, kecantikan dan risiko yang mungkin timbul daripada penggunaan produk yang tidak selamat. Dengan itu, penggunaan produk-produk kecantikan dan kesihatan dapat dikawal dengan baik serta memastikan ia sesuai dengan keperluan dan keselamatan setiap individu.

 

 

 

Profesor Madya Dr. Noor Akhmazillah Mohd Fauzi

Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 15 Mei 2024: PENINDASAN KECANTIKAN: SALAH PILIH PRODUK UNDANG SENGSARA 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2297428