Ramadan telah berlalu. Suasana meriah di kebanyakan masjid seluruh negara kini telah kembali sunyi sepi seperti biasa setelah berakhirnya bulan puasa. Pada masa lalu, banyak masjid penuh dengan para jemaah sehingga tidak mampu menampung semua jemaah, terutama pada waktu malam untuk menunaikan solat Isyak dan solat Terawih. Namun kini suasana itu telah lenyap dan berubah secara drastik. Suara riuh rendah hiruk pikuk kanak-kanak yang dulunya mengisi setiap sudut masjid, kini tiada lagi kedengaran. Rakan-rakan yang jarang bertemu, boleh bersua dan berkumpul di masjid sepanjang Ramadan, namun kembali menghilang setelah berakhirnya bulan mulia itu.
Ke mana perginya para jemaah sekalian? Apakah mereka turut berlalu pergi sebagaimana berlalunya Ramadan? Apakah mereka terlalu sibuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan menghadiri rumah terbuka hingga melupakan rumah Allah? Apakah sebulan Syawal hanya diisi dengan menghadiri rumah-rumah terbuka dan berlumba-lumba mengumpulkan duit raya untuk anak-anak? Apa hasil yang sebenarnya kita peroleh setelah sebulan beribadah di bulan Ramadan, bahkan beriktikaf di akhir-akhir Ramadan selama 10 hari 10 malam di masjid, semata-mata untuk mencari keberkatan Malam al-Qadr?
Inilah hakikat yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Fenomena ini tidak dapat disangkal kerap terjadi setiap tahun. Kehadiran Ramadan sebenarnya memberikan aura kebersamaan dan kenikmatan dalam beribadah di masjid-masjid, tetapi sayangnya, semangat itu seringkali pudar seiring berlalunya bulan suci itu. Banyak masjid yang dipenuhi oleh para jemaah dengan semangat kebersamaan tersebut, namun setelah Ramadan berlalu, jumlah kehadiran mereka menurun secara mendadak.
Isu ini mencerminkan satu cabaran yang hebat kepada kita semua dalam mempertahankan semangat keagamaan dan kebersamaan di luar bulan Ramadan. Banyak faktor yang mempengaruhi, seperti kesibukan dengan urusan dunia, kurangnya kesedaran akan pentingnya mempertahankan hubungan dengan masjid, ataupun kurangnya kesinambungan dalam program-program keagamaan setelah bulan Ramadan berakhir. Hal ini menunjukkan bahawa perlunya usaha sama dari masyarakat dan pihak berkuasa untuk menggalakkan kegiatan keagamaan dan kebersamaan yang berterusan sepanjang tahun, bukan hanya ketika Ramadan. Dengan itu, kita dapat memelihara semangat kebersamaan dan keagamaan yang dirasakan di bulan Ramadan dan menjadikannya sebagai sumber inspirasi sepanjang tahun.
Menjadi hamba ar-Rahman ataupun menjadi hamba Ramadan?
Menjadi “hamba Ramadan” bermaksud seseorang terlalu fokus pada aspek keagamaan dan amalan semata-mata semasa di bulan Ramadan, tetapi kurang memberi perhatian kepada hubungan mereka dengan Allah dan aspek-aspek kebaikan lainnya sepanjang tahun. Di sisi lain, menjadi “hamba ar-Rahman” pula bermaksud seseorang mengutamakan hubungan mereka dengan Allah sepanjang masa, tidak hanya semasa bulan Ramadan. Mereka sentiasa berusaha untuk berbuat baik, memperbaiki diri dan menyebarkan kasih dan kebaikan dalam kehidupan sehari-hari. Jadi, menjadi “hamba ar-Rahman” adalah mempunyai matlamat yang lebih komprehensif dan berkekalan, yang melangkaui fokus hanya pada satu bulan dalam setahun.
Sheikh Muhammad bin Abdul Rahman al-‘Ariifi, seorang pendakwah dari Arab Saudi, beliau menjelaskan dalam khutbahnya bahawa Imam Ahmad pernah ditanya: “Apakah pendapat engkau tentang satu kaum apabila datangnya bulan Ramadan, mereka beribadah dengan bersungguh-sungguh, apabila berlalunya bulan tersebut, mereka kembali sebagaimana mereka sebelum Ramadan?”. Lalu Imam Ahmad menjawab: “Aku berlindung kepada Allah, mereka adalah hamba-hamba Ramadan, bukanlah hamba-hamba kepada Tuhan Ramadan”. Ini menjelaskan bahawa sebenarnya mereka hanya mengagungkan bulan Ramadan sahaja. Ketakutan pada Allah dan mengagungkan-Nya hanya zahir sekadar dalam bulan Ramadan sahaja.
Sesungguhnya, bulan puasa telah mengajar kita untuk menjaga lidah, maka selepas Ramadan kita mesti terus menjaga lidah kita juga. Kita selalu mengutamakan solat berjemaah di bulan Ramadan, maka kita mesti meneruskan solat berjemaah pada bulan-bulan lain sepanjang tahun. Dalam bulan Ramadan juga kita istiqamah mengerjakan solat Witir pada setiap malam selepas solat Terawih, maka selepas Ramadan kita teruskan mengerjakan solat Witir sebaik sahaja selesai solat Isyak atau sebelum tidur ataupun selepas solat-solat malam. Bukan itu sahaja, dalam bulan Ramadan kita tanpa rasa lelah telah hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu, majlis-majlis al-Quran, bertadarus serta membaca al-Quran tanpa jemu siang dan malam, maka selepas Ramadan kita terus beristiqamah menghidupkan amalan-amalan tersebut. Kita banyak bersedekah dan menjamu orang lain makan di bulan Ramadan, maka perbanyakkan juga amalan tersebut di bulan-bulan lain. Banyak lagi amalan kebajikan yang telah kita kerjakan, justeru kita amalkan dan hidupkannya di bulan-bulan lain. Ini jelas menunjukkan bahawa Ramadan telah berjaya mendidik kita menjadi seorang Muslim sejati. Setelah habis sesuatu amalan, diikuti pula dengan amalan-amalan yang lain pula. Begitulah perjalanan kehidupan kita sebagai hamba Allah yang bertakwa. Hal ini telah diperintahkan oleh Allah dalam surah asy-Syarh, ayat 7:
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)”
Maka seruan ini mesti disahut dengan ruh bulan Ramadan yang lalu agar ia terus membakar semangat dan jiwa raga kita untuk kekal mengamalkan amalan-amalan yang dilaksanakan di bulan Ramadan.
Justeru, semangat kebersamaan dalam beribadah yang dahulunya sentiasa berkobar-kobar semasa bulan Ramadan yang lalu kininya semakin pudar, kita mesti semarakkan semula bersama-sama agar ia bangkit dan subur dalam kehidupan kita.
Hal ini sekali lagi mengingatkan kita semua tentang pentingnya untuk tidak hanya menjadi “hamba Ramadan”, yang hanya beribadah dengan sungguh-sungguh semasa bulan puasa, tetapi untuk menjadi “hamba ar-Rahman”, yang mengutamakan hubungan dengan Allah sepanjang masa dan sentiasa berusaha untuk berbuat baik dan memperbaiki diri, tidak kira pada bulan apa sekalipun.
Menyambut Hari Raya Aidilfitri serta menghadiri rumah-rumah terbuka yang dianjurkan adalah sebahagian dari tradisi masyarakat kita yang dapat membawa kebahagiaan kepada ramai orang, tetapi ia tidak seharusnya menjadi pengganti kepada kehadiran kita ke masjid dan mengerjakan ibadah secara berterusan.
Dalam konteks ini, penting untuk kita mengimbangi di antara kewajiban beragama dan tuntutan keduniaan di samping kita mengutamakan hubungan kita dengan Allah dan memelihara semangat keagamaan sepanjang tahun. Kita perlu terus menghidupkan amalan-amalan baik yang diamalkan semasa bulan Ramadan dan menjadikannya sebagai sebahagian dari kehidupan kita sehari-hari.
Oleh itu, pemahaman tentang pentingnya istiqamah dalam beramal dan komitmen untuk terus berusaha menjadi hamba ar-Rahman adalah kunci untuk menjaga semangat kebersamaan dan keagamaan yang dirasakan semasa bulan Ramadan setiap masa. Dengan itu, kita dapat memperoleh hasil yang berkekalan dari amalan-amalan kebaikan yang dilakukan dahulu dan menjadikannya sebagai sumber inspirasi untuk memperbaiki diri dan meningkatkan hubungan dengan Allah sepanjang masa. Semoga Allah menjadikan kita hamba-Nya yang sentiasa beristiqamah serta memanjangkan usia kita untuk bertemu dengan Ramadan bulan berkat pada tahun-tahun mendatang. Amin..
Abdul Hadi Abd Aziz
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)