BATU PAHAT – Bagi meneruskan usaha memenuhi keperluan akreditasi program Senibina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) telah menganjurkan Mini Accreditation and Architecture Symposium (MAAS 2024) pada 27 hingga 29 Mei lalu.

Program yang melibatkan pihak pengurusan fakulti, staf Jabatan Senibina serta pelajar itu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan akreditasi program Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina (BFR) yang disyaratkan oleh pihak Majlis Akreditasi Pendidikan Senibina (MAPS), Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).

Panel luar dan pihak industri telah terlibat bagi memenuhi proses semak dan imbang pengurusan program, antaranya Ar. Adrianta Aziz yang merupakan Adjung Profesor, Prof. Dr. Syed Iskandar Syed Ariffin dan Ar. Hamdan Jamal selaku Pemeriksa Luar serta Ar. Khairil Anwar Halim dan Ar. Azmi Zakaria selaku Penasihat Industri.

Ketua Jabatan Senibina, Ts. Dr. Noor Dina Md Amin berkata Program Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina UTHM telah berjaya dianugerahkan akreditasi penuh dari Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) bermula pada 6 September 2020 hingga 5 September 2025.

Tambah beliau, penglibatan panel luar dan industri itu amat penting bagi membantu Jabatan Senibina dalam proses penyediaan dokumen penyambungan akreditasi program pada tahun 2025 akan datang.

“Para panel telah diberi penjelasan tentang latar belakang fakulti, struktur program, serta fasiliti dan kemudahan yang disediakan untuk pelajar program Senibina.

“Hasil karya pelajar khususnya dalam kursus Studio Senibina juga telah dikongsi bersama panel bagi menilai kefahaman dan kemampuan pelajar.

“Paparan hasil karya pelajar ini juga penting bagi membuktikan integrasi yang jelas antara kursus Studio Senibina dan kursus-kursus lain khususnya melibatkan teknologi dan alam sekitar bagi mencapai niche program, iaitu pembinaan dan teknologi (construction and technology),” jelas beliau.

Pada hari terakhir program, satu sesi perkongsian telah berlangsung melibatkan tiga panel iaitu Dr. Noor Dina, Ar. Adrianta serta Ar. Khairil Anwar bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), kampus induk berhubung pengalaman dan cabaran dalam industri, selain memberi motivasi dan semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha dalam bidang Senibina.

“Menerusi hasil lawatan panel terbabit, beberapa cadangan dan penambahbaikan program telah dikongsi bersama Jabatan Senibina bagi memastikan program Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, UTHM sentiasa relevan, seterusnya memastikan proses penyambungan akreditasi program pada tahun hadapan berjaya dilaksanakan,” kata Dr. Noor Dina.