Oleh Leftenan (PA) Davies anak Gendum

GEORGETOWN – Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Kor Sispa UTHM) berjaya mengungguli tempat ketiga ketika menyertai ‘Institusi Pengajian Tinggi Civil Defence Skills Challenge Peringkat Kebangsaan Tahun 2024’ yang telah berlangsung di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 14 hingga 16 Mei 2024.

IPT Civil Defence Skills Challenge Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 anjuran Kor Sispa Universiti Sains Malaysia (USM) turut disertai oleh tujuh institusi lain seluruh Malaysia iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC), Politeknik Kota Bharu dan Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas.

Staf Muda (PA) Muhammad Arif Asyraf Mohd Zainuddin selaku ketua pasukan menzahirkan rasa syukur atas pencapaian kontinjen Kor Sispa UTHM dalam IPT Civil Defence Skills Challenge Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.

“Pencapaian pada edisi kali ini adalah berkat semangat berpasukan yang tinggi serta komitmen semua pihak khususnya Jurulatih dan Pegawai Kadet Sispa,” katanya.

Beliau mewakili kontinjen Kor Sispa UTHM turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Kor Sispa UTHM atas segala sokongan dan semangat yang diberikan  sepanjang pertandingan berlangsung.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Shahruddin Mahzan@Mohd Zin, merangkap Komandan Kor Sispa UTHM turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen dan berharap pasukan itu mampu mengekalkan pencapaian yang cemerlang pada pertandingan akan datang.

Kontinjen Kor Sispa UTHM terdiri daripada 11 Pegawai Pengiring dan 14 Pegawai Kadet yang diketuai oleh Leftenan (PA) Davies anak Gendum selaku Chef de Mission.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 24 Mei 2024: Kor Sispa UTHM harumkan nama universiti

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/kor-sispa-uthm-harumkan-nama-universiti