Konsep sistem saliran bandar yang mampan atau “Sustainable Urban Drainage Systems” (SUDs) telah menjadi pilihan utama bagi banyak negara luar dalam menangani masalah banjir. SUDs adalah pendekatan dalam pengurusan air yang bertujuan untuk mengurangkan kesan negatif pembangunan bandar ke atas alam sekitar, terutamanya berkaitan dengan pengurusan air hujan. Pendekatan ini menggalakkan penggunaan kaedah semula jadi atau berasaskan landskap dalam menangani air hujan, seperti kolam tadahan, swale dan ruang hijau, untuk mengurangkan kadar aliran air permukaan yang keluar dari kawasan pembangunan, serta menyokong penyerapan air ke dalam tanah.

Di Malaysia, terdapat inovasi dan panduan yang diwujudkan dalam bentuk Manual Sistem Saliran Mesra Alam Malaysia (MSMA) yang diperkenalkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2000. Ia merupakan satu panduan yang menyediakan garis panduan dan kaedah dalam perancangan, reka bentuk dan pengurusan sistem saliran yang mampan, terutama dalam konteks pembangunan bandar.

Sistem MSMA terdiri daripada sistem tadahan (Basin) yang terdiri daripada komponen pengairan saliran (swale), kolam tadahan (detention pond), kolam tahanan (Retention pond) dan lain-lain yang berfungsi secara menyeluruh dalam mengawal banjir kilat. Dengan konsep kelewatan aliran deras ke hilir membantu mengagihkan lebihan air ke komponen kolam-kolam dengan fungsinya tersendiri. Peranan dua jenis kolam ini sebagai kolam tadahan dan takungan membantu mengalirkan aliran secara berperingkat dan membenarkan air keluar ke sistem utama atau swale secara perlahan. Komponen rangkaian swale yang ada secara tidak langsung dapat membantu limpahan aliran atau air balik (backwater) dari kolam-kolam berdekatan.

Sedia maklum, kawasan Parit Raja di Batu Pahat dikenali dengan topografi rendah dan landai yang menyebabkan aliran air tidak berlaku dengan cepat. Kejadian banjir pada Disember 2006/ Januari 2007 telah menyebabkan genangan air di seluruh kawasan, mengakibatkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terpaksa ditutup akibat banjir bagi laluan pintu utama (kampus lama). Walau bagaimanapun, pembangunan fasa baharu (kampus baharu) UTHM telah menggunakan kaedah MSMA pada sistem saliran telah memberi impak yang positif kepada UTHM.

Fasa baharu ini merangkumi pembangunan dari blok Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), sehingga blok Perpustakaan Tunku Tun Aminah dan kolej kediaman. Walaupun kampus lama mungkin tidak dapat diakses semasa banjir, namun kampus baharu tersebut dibuka laluan melalui pintu tiga (kawasan kilang) yang mana laluan itu merupakan salah satu laluan alternatif UTHM.

Secara umum, sistem ini mungkin kelihatan tidak berfungsi kerana memperlahankan aliran di hulu. Namun, pada teori kejuruteraan hidrologi dan hidraulik, fungsi sebenar sistem MSMA telah berjaya mengawal aliran air yang menjadi punca banjir kilat dalam kebanyakan kes yang dilaporkan. Hampir 20 tahun, sistem ini masih mampu berfungsi dengan ekologi yang baik dan selamat.

Hasil tinjauan pada tahun Mac 2023, banjir limpahan Sungai Sembrong telah menyebabkan kawasan sekeliling UTHM dibanjiri arus yang dalam dan kampung sekitar terpaksa berdepan dengan banjir termenung berminggu-minggu lamanya. Namun, UTHM kelihatan tenang dan dapat beroperasi seperti biasa. Hanya sedikit air balik dari kolam tadahan (Tasik Inovasi) mengalir masuk ke sistem perparitan (swale) di blok G1 sahaja.

Kini, kolam-kolan tadahan di sekitar UTHM semakin menarik minat warga UTHM dan penduduk sekitar. Salah satu kolam tadahan iaitu Tasik Kemajuan telah menjadi perhatian umum bagi tujuan riadah, berkayak, aktiviti penyelidikan dan pembelajaran pelajar. Sistem ekologi ini sebenarnya telah memberi keseimbangan agihan air larian permukaan dengan sebahagian aliran telah diserap secara semula jadi ke sub permukaan. Air permukaan yang tidak dapat diserap ke dalam tanah akan bergerak melalui swale ke kolam-kolam tadahan yang berdekatan.

Justeru itu, aplikasi sistem saliran MSMA di kawasan Parit Raja telah membuktikan keberkesanannya dalam mengatasi masalah banjir. Keberhasilan ini memberi implikasi positif terutama kepada keselamatan serta kestabilan institusi pendidikan seperti UTHM. Namun, penyelidikan lanjut mungkin diperlukan untuk meningkatkan lagi kecekapan sistem ini bagi menghadapi cabaran banjir pada masa depan.

 

Swale yang selamat menampung air balik ke kolam tadahan.
Keindahan swale ketika banjir akibat limpahan air Sungai Sembrong.

 

 

 

 

 

Ts. Dr. Sabariah Musa

Penyelidik Utama

Eco-Hytech Research Centre

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Penyelidik Bersekutu

Research Centre for Soft Soil (RECESS)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)