BATU PAHAT, 28 April 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus menzahirkan keprihatinannya kepada komuniti dengan membantu penduduk Kampung Lama Orang Asli Leboh,  Kangkar Senangar, Parit Sulong mendapatkan sumber bekalan air bersih.

Lapan staf akademik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan lapan staf dari Pejabat Pengurusan Makmal, UTHM Kampus Cawangan Pagoh bersama kumpulan eksekutif muda yang di kenali sebagai “Young Water Profesionals” daripada Ranhill SAJ telah terlibat dalam khidmat komuniti tersebut.

Bagi merealisasikan misi tersebut, staf yang terlibat telah turut serta dalam menjayakan Majlis Penyerahan Sumbangan Pam Air oleh Ranhill SAJ Sdn. Bhd. dan sesi pemindahan ilmu penyeleggaraan sistem penapisan air kepada penduduk kampung terbabit.

Pam Air tersebut merupakan InKind daripada pihak Ranhill SAJ kepada penduduk kampung berikutan pam sebelumnya mengalami keroskan beberapa bulan yang lepas.

UTHM telah berkolaborasi dengan Jabatan Teknologi dan Inovasi, Ranhill SAJ untuk membantu penduduk kampung tersebut menikmati sumber air yang bersih semula setelah beberapa bulan pam air sebelum ini tidak dapat digunakan.

Sementara itu, program pemindahan ilmu berkaitan kaedah penyelenggaraan sistem penapisan air juga telah diadakan dengan menjemput penceramah program, Dr. Mimi Suliza Muhamad.

Menurut beliau, kerosakan pam air sedia ada telah menyebabkan tangki penapis tidak dapat beroperasi dan menjadi kotor akibat kekotoran yang bertakung lama.

“Pam air yang diserahkan telah dipasang oleh kontraktor yang berkaitan dan aktiviti pembersihan serta penyelenggaraan tangki penapisan dijalankan oleh staf UTHM bersama Ranhill SAJ,” katanya.

Ketua kampung tersebut, Tok Lim Abdul Rahman turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ranhill SAJ atas sumbangan pam air dan pihak UTHM yang membantu mencuci tangki air sistem penapisan tersebut bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan ke rumah penduduk kampung.

“Khidmat komuniti seperti ini diharapkan dapat meningkatkan lagi hubungan kerjasama antara UTHM dan Ranhill SAJ dalam membantu menyelesaikan masalah komuniti,” tambah beliau.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 6 Mei 2024: UTHM bantu Orang Asli dapatkan bekalan air bersih

https://malaysiagazette.com/2024/05/06/uthm-bantu-orang-asli-dapatkan-bekalan-air-bersih/