Bagi masyarakat berketurunan Jawa, sambutan Aildilfitri seolah-olah tidak lengkap tanpa acara marhaban saban tahun. Tradisi marhaban atau dikenali juga dengan ‘baraan’ amat sinonim bagi masyarakat Jawa setiap kali tibanya hari raya. Majoriti masyarakat Jawa di Semenanjung Malaysia merupakan penduduk di negeri Johor, manakala sebahagian yang lain pula terdapat di kawasan negeri Selangor dan Perak.
Perkataan ‘marhaban’ dalam bahasa Arab bermaksud selamat datang. Manakala istilah ‘baraan’ dalam bahasa Jawa pula bererti kunjungan beramai-ramai. Aktiviti ini kebiasaannya dilakukan dalam kumpulan lelaki dan perempuan secara berasingan. Mereka akan mengunjungi rumah ke rumah di kawasan kampung atau pun taman tempat tinggal mereka.
Tradisi marhaban ini boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sepanjang bulan Syawal mengikut persetujuan bersama penduduk di suatu kawasan tersebut. Kebiasaannya, aktiviti ini akan dimulakan pada waktu pagi hingga petang. Namun, terdapat juga sesetengah kawasan yang melaksanakan aktiviti ini pada waktu malam.
Pada zaman dahulu, masyarakat kampung berjalan kaki atau menaiki basikal sahaja untuk bergerak dari satu rumah ke rumah yang lain. Pada masa kini, ramai yang bergerak menaiki motosikal dan kereta. Puluhan penduduk terdiri daripada golongan tua hinggalah golongan muda termasuk kanak-kanak akan menyertai aktiviti tersebut. Lazimnya, terdapat seorang ketua yang akan mengetuai acara marhaban tersebut.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam sesebuah rumah, rombongan marhaban tersebut akan berselawat ke atas Nabi S.A.W. Seterusnya, seorang ketua marhaban akan membacakan doa ringkas untuk kesejahteraan seisi rumah tersebut. Bergantung kepada kemampuan tuan rumah, tetamu yang hadir juga akan dijamu dengan makanan. Bagi kanak-kanak pula, mereka akan berasa seronok untuk turut sama kerana mendapat habuan duit raya.
Meskipun tradisi marhaban cukup sinonim dengan masyarakat Jawa, namun jika kejiranan tersebut terdiri daripada keturunan lain seperti Bugis, Banjar mahu pun masyarakat Melayu lain yang beragama Islam, mereka turut dialu-alukan untuk menyertai aktiviti tersebut. Tradisi marhaban bukan sekadar suatu adat sahaja, bahkan ia memberi peluang kepada penduduk setiap kawasan kejiranan untuk mengeratkan ikatan silaturahim dengan berkunjung ke setiap rumah.
Bagi masyarakat Melayu yang berkahwin dengan pasangan berketurunan Jawa, tradisi marhaban ini dianggap sebagai satu tradisi yang unik dan memiliki keistimewaan yang tersendiri. Selain dapat berkenalan dengan wajah-wajah baru, kemeriahan berkumpul beramai-ramai dan menziarahi kawasan kejiranan dengan pelbagai ragam dan usia akan memberi satu memori yang akan diingati sehingga ke hari tua.
Dewasa ini, arus kemodenan dilihat kian menghakis nilai kebersamaan. Oleh itu, tradisi marhaban merupakan suatu yang amat wajar dikekalkan, khususnya bagi generasi moden pada hari ini. Hal ini kerana, generasi kini dilihat kurang bergaul dengan masyarakat kerana kekangan masa lantaran kesibukan belajar dan bekerja. Diharapkan semoga tradisi ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Farhana Abd Hamid
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 19), 26 April 2024: Tradisi marhaban meriahkan sambutan Aidilfitri
2. Utusan (utusan.com.my), 26 April 2024: Tradisi marhaban meriahkan sambutan Aidilfitri
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/04/tradisi-marhaban-meriahkan-sambutan-aidilfitri/