Menurut Sorotan Pasaran Buruh, Suku Keempat 2023 Kementerian Ekonomi, di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa, pekerja di dalam sektor perkhidmatan di Malaysia menyumbang lebih dari dua pertiga ekonomi iaitu sebanyak 67 peratus atau kira-kira 4.5 juta orang. Gaji bulanan median adalah RM2600 pada September 2023, meningkat 4 peratus dari tahun sebelumnya. Subsektor Kewangan dan Insurans memiliki gaji bulanan median tertinggi iaitu RM5700, diikuti oleh ‘Komunikasi dan Maklumat’ sebanyak RM4982. Pertumbuhan gaji bulanan median tertinggi dicatatkan oleh ‘Subsektor Komunikasi dan Maklumat’ pada September 2023 sebanyak 10 peratus. Transformasi digital yang digarapkan daripada Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia menyatakan menjelang 2025, Malaysia menjangka ekonomi digital menyumbang 23 peratus kepada KDNKnya dengan mewujudkan 500,000 pekerjaan baharu, akses Internet untuk setiap isi rumah dan akses lengkap kepada persekitaran pembelajaran dalam talian. Galakan daripada kerajaan Malaysia telah menjadikan pertumbuhan gaji Subsektor Komunikasi dan Maklumat meningkat.

Dorongan transformasi digital oleh kerajaan Malaysia telah menyebabkan industri komputer, teknologi maklumat dan komunikasi menunjukkan permintaan yang semakin meningkat. Berdasarkan Laporan Panduan Gaji 2023 yang diterbitkan oleh platform pekerjaan dalam talian terkemuka di Malaysia, JobStreet, sektor itu muncul sebagai peneraju dalam pasaran kerja Malaysia, dengan peningkatan 28 peratus dalam gaji median dan merekodkan gaji median tertinggi. Pertumbuhan gaji ini menandakan ia sebagai bidang yang paling berkembang pesat di Malaysia. Oleh itu, majikan yang mengambil bakat teknologi perlu menawarkan gaji yang kompetitif untuk bersaing dengan permintaan tempatan dan global yang semakin meningkat.

Kerjaya dalam bidang komputer, teknologi maklumat dan komunikasi

Memahami landskap kerjaya berasaskan komputer, teknologi maklumat dan komunikasi adalah penting untuk individu, organisasi dan industri bergerak seiring dengan evolusi teknologi maklumat yang sentiasa cepat berkembang dan dinamik. Berikut merupakan contoh beberapa pekerjaan berasaskan  komputer, teknologi maklumat dan komunikasi yang mendominasi tawaran pekerjaan, antaranya Saintis Penyelidikan Komputer dan Maklumat, Arkitek Rangkaian Komputer, Pembangun Perisian, Penganalisis Jaminan Kualiti dan Penguji, Pentadbir dan Arkitek Pengkalan Data (Database), Penganalisis Keselamatan Maklumat, Penganalisis Sistem Komputer, Pengaturcara Komputer, Pembangun Web dan Pereka Digital, Pentadbir Rangkaian dan Sistem Komputer dan Pakar Sokongan Komputer. Individu perlu melengkapkan diri dan bersedia ke arah memenuhi keperluan teknikal dan ‘soft skill’ terhadap permintaan pasaran kerjaya tersebut. Perancangan amat perlu dalam merealisasikan tujuan ini.

Peta hala tuju kerjaya dalam bidang teknologi maklumat

Sebagai permulaan untuk laluan kerjaya berasaskan teknologi maklumat (IT), jawatan di peringkat permulaan seperti Pakar Sokongan IT atau wakil Perkhidmatan Pelanggan bolehlah dijadikan platform untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran asas. Kemudian individu perlu membina asas yang kukuh terhadap aspek teknikal termasuklah memperoleh Pensijilan Profesional yang berkaitan seperti CompTIA A+, Microsoft Certified Fundamentals dan memperoleh pengalaman praktikal melalui latihan amali dan projek peribadi. Pengkhususan dalam bidang seperti Sokongan Meja Bantuan, Pentadbiran Rangkaian, Pembangunan Perisian atau Analisis Keselamatan boleh diikuti apabila pengalaman dan pengetahuan berkembang. Pensijilan lanjutan seperti Certified Information Systems Security Professional (CISSP), CISCO Certified Network Associates (CCNA) dan pembelajaran berterusan yang lain melalui kursus dan bengkel adalah penting untuk kemajuan kerjaya. Pengajian formal di peringkat yang lebih tinggi seperti diploma, sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah tetap menjadi satu standard kepada kelayakan formal di dalam proses pengambilan pekerja. Peluang menyambung pengajian melalui pengalaman terdahulu serta pelbagai medium pembelajaran telah memberi laluan yang terbuka kepada semua. Selain itu, hubungan di dalam komuniti IT, sama ada di dalam talian dan luar talian serta membina profesional biodata pada platform media sosial kerjaya seperti LinkedIn adalah penting untuk mendapat bimbingan, kerjasama dan perkembangan kerjaya dalam industri IT.

Mencipta peta hala tuju kerjaya IT melibatkan beberapa langkah utama, termasuk penilaian kendiri, penetapan matlamat dan memilih pengkhususan. Proses ini bermula dengan penilaian diri yang menyeluruh, iaitu, individu mengenal pasti kekuatan, kelemahan, kemahiran teknikal dan insaniah serta minat. Ini termasuk mendapatkan maklum balas, menerima kritikan yang membina dan menilai projek yang pernah dibuat dahulu untuk membuat keputusan tentang pembangunan peribadi dan profesionalisme. Selepas penilaian kendiri, langkah seterusnya ialah menetapkan matlamat jangka pendek dan jangka panjang. Matlamat ini hendaklah khusus, boleh diukur, boleh dicapai, relevan dan bersela masa (SMART: Specific, Measurable, Achievable, Realistic, Timely).

Individu digalakkan untuk menyelaraskan matlamat dengan aspirasi peribadi, membayangkan peranan ideal individu tersebut di dalam industri IT. Individu juga disarankan untuk senantiasa mengemas kini pengetahuan tentang teknologi baharu yang muncul dan hubungan dengan pakar atau profesional untuk mendapatkan pandangan tentang laluan kerjaya yang berbeza. Akhir sekali, memilih pengkhususan adalah penting dalam merangka pelan hala tuju kerjaya IT. Ini melibatkan penyelidikan pelbagai pengkhususan IT, memahami kemahiran dan pensijilan yang diperlukan, mempertimbangkan permintaan industri dan menyelaraskan minat seseorang dengan peluang pekerjaan masa hadapan. Adalah penting untuk memadankan pengkhususan yang dipilih dengan matlamat kerjaya untuk kestabilan, rancangan pembangunan kemahiran dan penyesuaian perkembangan kemahiran dalam sektor IT.

Faktor-faktor yang mempengaruhi pilihan laluan kerjaya termasuk minat dan keinginan peribadi, tren, permintaan industri dan kemahiran atau kebolehan seseorang. Kerjaya yang selaras dengan minat dan keinginan peribadi membawa kepada motivasi, kepuasan dan kejayaan yang lebih tinggi. Menjejaki laluan dan permintaan industri amat membantu dalam membuat pilihan kerjaya dan peluang mendapatkan kerja yang lebih baik. Selain itu, mempunyai set kemahiran dan kebolehan yang betul adalah penting untuk kejayaan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Ini akan nenghasilkan prestasi kerja yang lebih baik, kepuasan kerja yang tinggi dan pertumbuhan profesional yang berterusan.

Pekerja di dalam industri IT menunjukkan pertumbuhan ketara dalam gaji bulanan median pada sukuan keempat 2023 berdasarkan maklumat Jabatan Perangkaan Malaysia. Ketika Malaysia bergerak ke arah transformasi digital, permintaan untuk bakat IT semakin meningkat, ini telah membawa kepada peningkatan gaji median dalam industri tersebut. Landskap kerjaya IT menawarkan pelbagai peluang, daripada Saintis Penyelidikan kepada Pentadbir Rangkaian dan Pembangun Web. Dengan industri yang berkembang disebabkan oleh pengkomputeran awan dan kemajuan AI, profesionalisme individu mesti sentiasa dikemas kini dan pakar dalam bidang yang sejajar dengan permintaan industri. Mencipta peta hala tuju kerjaya IT yang melibatkan penilaian kendiri, penetapan matlamat dan memilih pengkhususan yang sejajar dengan minat, kemahiran dan tren industri, seseorang dapat menggambarkan laluan serta hala tuju kerjayanya. Pembelajaran berterusan, pemerolehan pensijilan profesional dan hubungan bersama rakan-rakan industri memainkan peranan penting dalam memajukan dan meningkatkan kepakaran dalam sektor IT. Dengan memahami landskap IT dan membuat pilihan kerjaya, individu boleh mengemudi laluan kerjaya mereka dengan berkesan dan mencapai kejayaan dalam pasaran kerja yang kompetitif.

 

 

 

Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar,

Pengarah

Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 12), 25 April 2024: Bidang IT, ICT peneraju pasaran kerja, tawar pendapatan lumayan