Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024 telah menghasilkan satu lagi kesinambungan dasar – dalam mengupaya dan memperkasa ekonomi Bumiputera. Sejarahnya dimulakan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1970), Masyarakat Perdagangan Dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) (1991), Model Ekonomi Baru (MEB) (2010), Tindakan Pembangunan Bumiputera (TBP) (2021) dan yang terkini ialah Transformasi Ekonomi Bumiputera – (TEB) (2024).

TEB mempertaruhkan Tiga Matlamat, Enam Tekad dan Tiga Ikhtiar bertujuan memperkasa penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera di setiap sektor kehidupan bernegara. Ia diharap menjadi sebuah dasar progresif dengan tujuan utama merapatkan jurang sosioekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi “usaha memartbatkan penyertaan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah dalam kerangka Perlembagaan Negara”.

Sehubungan dengan itu, penjawat awam sebagai tulang belakang utama pada segala pelaksanaan dasar kerajaan perlu mengambil langkah cakna, responsif, proaktif dan ambil tahu apakah yang hendak dicapai oleh TEB.

Tiga matlamat utama yang digariskan TEB ialah i) keadilan sosio ekonomi, ii) kemampanan negara bangsa; serta iii) kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. “Keadilan sosioekonomi” merujuk kepada usaha-usaha serta pemudahcara yang boleh dilakukan agensi kerajaan dalam menciptakan kesetaraan pelbagai akses bidang sama ada dari segi sumber mahupun peluang.

Manakala matlamat “kemampanan negara bangsa” boleh merujuk kepada tekad penguatkuasaan jitu setiap agensi dalam mempertahan dan meningkatkan sumber serta memastikan pertumbuhan ekonomi mampan bagi generasi akan datang.

Begitu pula halnya dalam memastikan “kemakmuran negara serta rakyat” ialah dengan melibatkan usaha-usaha progresif dan berterusan setiap agensi kerajaan sebagai penyedia ruang dan peluang kepada penciptaan pekerjaan baharu, peningkatan pendapatan Bumiputera serta meningkatkan akses perkhidmatan khususnya dalam pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

Manakala enam tekad pemerkasaan ekonomi Bumiputera telah digariskan oleh TEB supaya dasar baharu ini mampu memenuhi matlamatnya. Ia merangkumi i) mempertahankan agenda Bumiputera sedia ada ii) menutup ketirisan pelaksanaan iii) memastikan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok iv)  mengenal pasti peluang dan perkembangan ekonomi baharu v) mewujudkan jalinan tulen ekonomi dan vi) menjamin tidak meminggirkan kaum lain.

Pengabaian kepada salah satu daripada enam tekad yang digariskan ini sudah cukup untuk menghasilkan kepincangan. Sekali gus kegagalan kepada keseluruhan dasar TEB. Sesungguhnya tekad-tekad dalam TEB telah mengambil semua aspek aspirasi asal perlembagaan negara serta dinamika-dinamika cabaran tatakelola masa kini. Oleh yang demikian menjadi tanggungjawab yang besar kepada semua agensi dalam sektor kerajaan bagi menggalas memastikan tekad ini berjaya dilaksanakan. Tekad ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dijangka. Malah dalam banyak keadaan ia kekal releven sejak era DEB lagi. Namun ia gagal dilaksanakan dengan sempurna sebelum ini.

Namun ikhtiar-ikhtiar yang digariskan TEB lah yang perlu dicermati dan memerlukan usaha bersungguh-sungguh dari semua pihak. Tiga ikhtiar berkenaan adalah i) Perbadanan Tanah Bumiputera yang akan merangka mekanisme pemilikan tanah, ii) Waqaf Kesihatan dan Pendidikan serta iii) Mengindustrikan Pertanian menggunakan teknologi dan inovasi baharu melalui sebuah entiti.

Tekad-tekad ini – jika diselusuri merupakan satu usaha yang telah terbukti berjaya dilaksanakan oleh sesetangah komuniti di dalam mahupun luar negara. Ia bukanlah sesuatu yang baharu didengar. Namun tekad ini memerlukan kesungguhan, kebijakan dan jiwa besar dari semua pihak. Sudah semestinya agensi kerajaan yang terlibat perlu menyambutnya dengan satu bentuk keazaman serta model pembangunan yang berkesan. Hanya dengannya ia mampu melonjakkan ekonomi Bumiputera yang lebih terangkum dan mampan.

Sehubungan dengan itu TEB seharusnya diambil perhatian serius, difahami dan dikuasai oleh seluruh agensi kerajaan khususnya yang terlibat secara langsung dengan agenda pelaksanaan dasar. Jika tidak ia bakal menjadi sebahagian daripada naratif usaha dasar pemerkasaan Bumiputera yang gagal dilaksanakan.

Begitu banyak dapatan-dapatan kompleks terhasil daripada sepuluh kumpulan bidang yang diketuai oleh pelbagai tokoh. Ia meliputi Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pilihan Kerjaya Utama, Pengukuhan Industri Halal, Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak. Dalam kata lain segala isu dan cabaran serta congakkan keberkesanan dasar, strategi, inisiatif dan sasaran sedia ada telah puas dibincangkan.

Segala sumbang saran dan input telah puas diterjemahkan dengan berakhirnya kemuncak Kongres Ekonomi Bumiputera 2024. Namun apakah langkah kerja yang perlu disambut dan dilakukan selepas ini oleh agensi kerajaan? Bagaimana untuk menterjemahkan semua dapatan di atas kepada bahasa yang lebih mudah difahami oleh golongan pelaksana dan kemudiannya menggariskan keperluan-keruan kerja yang diperlukan?

Sudah semestinya dalam hal ini para pegawai kerajaan khususnya dalam kelompok Pegawai Tadbir & Diplomatik (PTD) mempunyai beberapa pengalaman pertama dalam merangka serta mengetuai keperluan pelaksanaan dasar. Sekali gus memastikan literasi berkesan dilakukan kepada semua penjawat awam lainnya dalam semua agensi kerajaan berkaitan.

Usaha segenap hati serta tekun kini mula menjadi agenda dan tanggungjawab yang perlu dipikul khususnya melalui agensi-agensi berkaitan. Nilai positif, progresif dan inovatif yang disarankan dalam TEB dalam menetapkan hala tuju serta pendekatan baharu Agenda Pemerkasaan Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif selari dengan aspirasi Malaysia MADANI harus menjadi panduan utama setiap agensi kerajaan.

 

 

 

Dr. Lutfan Jaes

Dekan

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 18), 2 April 2024: Pastikan tekad bantu bumiputera berjaya