CHIANG MAI – Bagi meneruskan usaha menjalinkan kerjasama peringkat antarabangsa, Pusat Penyelidikan Sustainable Professional Education and Excellent Development (SPEED), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melebarkan sayapnya ke Rajamagala University of Technology Lanna (RMUTL), Chiang Mai Thailand.
Pusat Penyelidikan SPEED yang banyak memfokuskan kepada bidang latihan telah dijemput oleh RMUTL untuk menjalankan Program Professional Educator Enhancement Program (PEEP) kepada para pensyarahnya dari pelbagai jabatan serta fakulti.
Program yang bermula 6 dan 7 Mac itu melibatkan empat jenis modul yang memfokuskan kepada TVET Teaching & Learning dan Research Methodologies in Social Science.
Menurut ketua pusat, Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz, jemputan kali ini merupakan kolaborasi program latihan pertama bagi tahun 2024 yang dijalankan secara fizikal melibatkan penglibatan peserta dari luar negara dan juga merupakan institusi yang telah memeterai perjanjian persefahaman dengan UTHM.
“Latihan yang dikelolakan kali ini bertujuan meneroka potensi kerjasama baharu di samping meningkatkan keterlihatan universiti, dan bertindak sebagai pakar rujuk dalam memberikan latihan dan perkhidmatan kepakaran bagi bidang profesional pendidikan.
“Inisiatif ini membuahkan hasil apabila peserta yang hadir merupakan peserta daripada pelbagai fakulti termasuklah bidang kejuruteraan,” katanya.
Untuk rekod, Pusat Penyelidikan SPEED mempunyai sembilan penyelidik utama dengan konsep “Empowering Nation with Sustainable Education” melalui tiga bidang tujah iaitu Teaching/ Training Methodology, Innovation and Curriculum Development, Philosophy and Values, Internationalisation and Mobility dan Leadership and Management, Career Development, Test and Measurement in Education.
“Pihak kami berharap perkongsian kepakaran ini menjadi permulaan yang baik pada tahun ini kerana pelbagai aktiviti latihan akan terus dijalankan selepas ini di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” tambah Dr. Nur Sofurah.