RAMADAN tiba lagi. Syukur pada tahun ini kita masih lagi diberi peluang dengan rahmat dan kasih-sayang Allah SWT untuk bertemu dengan bulan mulia Ramadan al-Mubarak. Ia adalah bulan berkat dan bulan rahmat juga bulan diampunkan segala dosa. Umat Islam di seluruh dunia berlumba-lumba melakukan amal ibadah demi mengutip sebanyak mungkin pahala untuk dibawa bersama ke alam Akhirat. Suasana di bulan berkat ini amat berbeza sekali kerana masyarakat di seluruh dunia terutamanya di Malaysia akan memenuhi setiap masjid dan surau untuk melaksanakan solat Terawih, membaca al-Quran dan bertadarus di samping mengerat hubungan uhkwah fillah sesama Muslim. Tidak lupa juga Bazar Ramadan yang mana ia menjadi aktiviti wajib saban tahun semasa tibanya Ramadan.

Meskipun demikian, hakikat yang sebenar adalah Ramadan ini merupakan bulan al-Quran yang mana padanya diturunkan kitab dan di penghujungnya ada Malam Lailatul Qadar. Umat Islam sangat dituntut untuk mengisi hari-hari dan malam-malam mereka di bulan Ramadan dengan membaca al-Quran serta mentadabbur dan memahami makna al-Quran untuk dijadikan kompas kehidupan kita. Kita selalu mendengar ungkapan tadabbur al-Quran. Apakah yang dimaksudkan dengan makna tadabur?

Tadabbur berasal daripada perkataan Arab dabara yang bermaksud akhir atau penghujung sesuatu seperti dubrus solawat; penghujung solat. Maka perkataan tadabbur ini bermaksud melihat pada akhir atau penghujung sesuatu dan memikirkan pada akibat dan balasannya. Sama seperti kehidupan manusia yang mana kita selalu melihat, mengamati dan mengkaji sesuatu benda dan perkara dari segala aspek dari awal hingga akhirnya. Begitu juga ayat-ayat al-Quran, ia mesti diamati dan didalami. Sheikh Alusi dalam kitabnya Ruuhul Ma’ani mengatakan bahawa dalam setiap refleksi atau pengamatan, manusia selalu memerhatikan hakikat sesuatu perkara, atau bahagiannya, atau asal-usulnya, atau kesan-kesannya, atau konsekuensinya untuk mendapat manfaat daripadanya.

Perkataan tadabbur terbina di atas bongkah tafa’ul yang menunjukkan maksud takalluf al-fi’li yakni; berusaha sedaya-upaya melaksanakan sesuatu tugasan dengan sungguh-sungguh. Daripada mafhum ini, kita fahami bahawa makna tadabbur al-Quran ialah kita melihat dan mengamati dengan bersungguh-sungguh akan ayat-ayat yang ditelusuri satu demi satu untuk memikirkan apakah akibat, balasan dan keputusan yang dapat dipelajari dan diamalkan. Kita mesti berusaha dengan serius untuk merenungkan dan memahami maksud kandungan ayat yang dibaca, bukan sekadar membaca ayat-ayatnya tetapi juga mengkaji maknanya serta mengamalkan ajaran-ajaran dan pelajaran yang terkandung dalamnya dalam kehidupan seharian. Ini termasuk merenungkan makna-makna perkataan, mengkaji konteks ayat-ayat, serta memikirkan pelajaran dan pengajaran yang diberikan oleh al-Quran kepada umat Islam.

Sebagai contoh mentadabbur ayat al-Quran yang berkaitan dengan doa dan hubungannya dengan bulan Ramadan. Di sini kita dapati bahawa perkaitan antara bulan Ramadan dengan ibadah doa adalah sangat rapat kerana ayatnya berkesinambungan yakni ayat doa berada dalam ayat berkaitan ibadah puasa. Daripada ayat ini juga kita dapat mengetahui hikmah di sebalik perintah doa, masa dan tempat yang mustajab untuk berdoa serta tatacara doa dan lain-lain pengajaran yang dapat dipelajari. Ini dapat dilihat dalam surah al-Baqarah ayat 186.

Selain itu, perintah tadabbur al-Quran telah disebut sebanyak empat kali dalam al-Quran dalam ayat yang berbeza. Apa yang menakjubkan ialah dua ayat yang diturunkan itu ditujukan kepada kaum Munafik;

1- Surah al-Nisa’, ayat 82: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan (mentadabbur) al-Quran? Kalau al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya”.

2- Surah Muhammad, ayat 24: “Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?”

Sementara itu dalam dua tempat yang lain pula ditujukan kepada kaum Kuffar;

1- Surah al-Mukminun, ayat 68: “Maka adakah mereka melakukan yang demikian kerana mereka tidak dapat memahami kata-kata ajaran (yang disampaikan kepada mereka)? Atau kerana telah datang kepada mereka sesuatu yang tidak pernah datang kepada datuk nenek mereka yang telah lalu?” 

2- Surah Sod, ayat 29: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar”.

Berdasarkan ayat-ayat di atas, kita mungkin tertanya-tanya kenapa perintah tadabbur itu ditujukan kepada kaum Munafik dan Kuffar? Bukahkah sepatutnya perintah tadabbur itu ditujukan kepada umat Islam keseluruhannya. Namun al-Quran ada hikmahnya yang tersendiri. Walaupun ayat-ayat yang diturunkan itu tidak ditujukan secara jelas kepada umat Islam yang mana tidak diminta untuk tadabbur, tetapi mengikut aulawiyyatnya umat Islam adalah golongan pertama yang diperintahkan untuk mentadabbur al-Quran kerana mereka adalah orang yang akan mendapat manfaat yang besar daripada amalan tersebut. Bahkan al-Quran ini diturunkan khas buat umat Nabi Muhammad SAW. 

Tadabbur al-Quran secara asasnya dilakukankan setelah kita membaca, menghafal dan memahami ayat yang dibaca. Justeru amalan tadabbur dilakukan setelah kita memahami makna ayat-ayat tertentu melalui terjemahan dan tafsiran. Jelas di sini bawah kita tidak disuruh untuk mentadabbur ayat-ayat yang tidak difahami. Ini juga menunjukkan bahawa al-Quran tidak langsung ada ayat-ayat yang secara mutlaknya tidak difahami maknanya. Ini kerana proses tadabbur ini berkait rapat dengan ilmu tafsir yang mana ia menerangkan makna-makna ayat dengan jelas agar difahami isi kandungannya.

Maka dalam mencapai objektif kita dalam melaksanakan ibadah ini, kita perlu memperuntukkan masa khusus untuk memahami ayat-ayat al-Quran dengan merujuk dan menelaah kitab-kitab terjemahan dan kitab-kitab tafsir yang muktabar terutamanya agar kita dapat melihat apakah iktibar yang dapat dipelajari pada penghujung proses tadabbur kita. Kerana tadabbur itu adalah melihat pada balasan, keputusan dan akibat pada akhir sesuatu konteks.   

Setelah selesai peringkat tadabbur ini, barulah kita dapat memetik hasil tuaian yang sudah “masak” siap untuk dijadikan bekalan kita dan diamalkan serta dihidupkan dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim. Dengan tadabbur kita dapat memahami makna ayat-ayat jauh lebih mendalam yang tidak pernah kita fikirkan. Ini kerana ilmu Allah SWT sangat luas. Jika lebih dalam kita menyelam akan lebih banyak khazanah al-Quran yang akan kita terokai.

Justeru, Ramadan kali ini kita tetapkan azam dan iman kita agar kita bukan sahaja berlumba-lumba membaca al-Quran untuk melihat siapa yang terlebih dahulu khatam al-Quran, tetapi kita ingin mengubah sedikit hala tuju kita pada Ramadan kali iaitu untuk mula mentadabbur al-Quran dengan memulakannya pada ayat-ayat atau surah-surah yang pendek terlebih dahulu kemudian barulah pada ayat-ayat atau surah-surah yang lebih panjang. Semoga Allah SWT mempermudahkan jalan kita dan menerima amal ibadah kita sepanjang bulan Ramadan ini.

 

 

 

Oleh :

Abdul Hadi Abd Aziz

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Dr. Nurul Hanilah Mohd Ismath

Jabatan Bahasa Arab

Kuliyah of Sustainable Tourism and Contemporary Language

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)