Malaysia merupakan negara yang sedang berkembang dengan pesat namun masih menghadapi krisis pendidikan dan kesihatan yang lebih terarah kepada generasi muda. Menurut Ketua Ekonomi Bank Dunia di Malaysia, Apurva Sanghi kajian terkini yang dilakukan oleh Bank Dunia telah membawa kepada beberapa penemuan yang membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Salah satu isu terbesar yang dilihat adalah kadar keciciran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak yang berumur bawah 10 tahun yang kini telah mencecah 40 peratus. Ini bermakna, dalam 10 kanak-kanak, empat di antaranya tidak mahir membaca ayat mudah dan tidak memahami apa yang dibaca. Situasi ini menunjukkan perlunya penambahbaikan segera dijalankan kepada sistem pendidikan kita dalam memastikan semua kanak-kanak dapat menguasai kemahiran asas yang penting bagi pembelajaran lanjutan mereka.
Di samping itu, data terkini dari Bank Dunia juga menunjukkan bahawa 22 peratus kanak-kanak di negara kita menghadapi masalah pertumbuhan terbantut. Masalah ini tidak hanya menunjukkan isu pemakanan tetapi juga menunjukkan ketidaksetaraan dalam akses kepada makanan yang berkualiti dan bergizi.
Lebih membimbangkan lagi, 14 peratus kanak-kanak di Malaysia berada dalam keadaan malnutrisi atau kekurangan zat pemakanan, yang menyebabkan mereka mengalami berat badan yang rendah secara ketara. Kekurangan nutrisi pada usia yang sangat muda dapat mempengaruhi perkembangan otak dan kapasiti pembelajaran, serta meningkatkan risiko masalah kesihatan dalam jangka panjang.
Situasi tersebut sekali gus mengaitkan dengan penemuan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022: Kajian Kesihatan Remaja yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kajian tersebut mendedahkan bahawa 26.9 peratus remaja di negara ini berhadapan dengan isu depresi atau kemurungan. Ini setara dengan satu dari empat anak-anak di negara kita yang mungkin berhadapan dengan isu kemurungan, yang boleh berkaitan dengan isu-isu seperti buli sekolah dan tekanan sosial atau akademik.
Pendidikan dan kesihatan adalah hak asasi setiap kanak-kanak dan merupakan asas kepada pembangunan masa depan. Kita seharusnya bersatu sebagai sebuah negara untuk menangani masalah-masalah ini secara komprehensif tanpa menunding jari kepada sesetengah pihak dalam memastikan tiada kanak-kanak yang tertinggal. Oleh itu, perlu adanya strategi komprehensif yang merangkumi peningkatan akses ke pendidikan berkualiti bagi memastikan adanya penekanan terhadap penguasaan kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira kepada golongan anak daripada keluarga perpendapatan rendah.
Selain itu, penyediaan kepada program pemakanan sekolah yang bertujuan mengurangkan malnutrisi dan memastikan semua anak mendapat nutrisi yang cukup untuk perkembangan yang sihat. Penintegrasian pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum dan menyediakan sumber untuk sokongan psikologi dalam mengatasi isu kemurungan dan kesihatan mental perlu dititikberatkan. Usaha dan kerjasama erat antara kerajaan, sekolah, badan bukan Kerajaan (NGO), komuniti dan keluarga perlu berlaku dalam memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat peluang yang setara dalam hidup, baik dari segi pendidikan mahupun kesihatan.
Dr. Mohd Zulfadli Rozali
Pensyarah Kanan
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com): Krisis pendidikan dan kesihatan kanak-kanak di Malaysia