Bagi wanita berkerjaya, tuntutan tugasan di tempat kerja selalunya boleh menjadi perkara yang memberi tekanan tanpa henti dan mempengaruhi kehidupan sepanjang hari. Adakala, tekanan ini terbawa-bawa keluar pejabat hingga ke rumah yang boleh mengganggu perhubungan dengan ahli keluarga lain.

Kepuasan peribadi 

Sama seperti kaum adam, wanita yang melakukan perkara berkaitan hobi mereka selepas waktu bekerja bukan sekadar dapat membantu untuk memenuhi kepuasan peribadi malah ia juga boleh membantu mereka mengurus tekanan. Mengait merupakan antara hobi yang semakin mendapat tempat di hati ramai wanita. Aktiviti mengait sangat berbeza daripada tugas analitikal dan berstruktur di persekitaran profesional di pejabat. Mengait bunga, beg, selendang atau selimut, memberikan rasa pencapaian dan kepuasan peribadi, kerana dapat menghasilkan produk yang boleh digunakan, dihadiahkan, bahkan dijual. Ia juga bukti yang jelas tentang kemahiran dan kreativiti seseorang.

Pengurusan tekanan

Dari sudut pengurusan tekanan, kerja-kerja mengait yang berulang-ulang boleh memberikan ketenangan kepada pengait itu sendiri. Tumpuan yang diperlukan untuk mengira jahitan dan mengikuti corak boleh bertindak sebagai satu bentuk kesedaran, yang membantu dalam mengalihkan fikiran daripada tekanan harian. Ia juga turut membantu menurunkan tahap tekanan dengan cara mengurangkan kadar denyutan jantung, dan menjadikan pengait itu lebih relaks (tenang). Hobi mengait ini juga boleh membantu mengekalkan keseimbangan emosi, terutama kepada mereka yang menghidap anxiety kerana ia membantu mengurangkan kebimbangan dan juga gejala kemurungan. Hobi yang dilakukan dalam masa fleksible mengikut jadual individu dapat membantu wanita bekerjaya mengisi semula bateri mental mereka.

Kemahiran kognitif

Wanita dengan aktiviti mengait turut mendapat faedah peningkatan kemahiran kognitif. Kemahiran mengait bukan sekadar aktiviti yang berkaitan mekanikal; ia memerlukan penumpuan, pengecaman corak dan penyelesaian masalah. Tuntutan kognitif ini boleh menajamkan minda, sama seperti ketika kita menyelesaikan soalan teka-teki atau permainan yang direka untuk meningkatkan fungsi otak. Bagi wanita berkerjaya, kemahiran ini boleh dipindahkan ke tempat kerja, yang mana pemikiran analitikal dan perhatian terhadap perincian boleh melatih mereka untuk menyesaikan masalah berkaitan kerja pejabat. Selain itu, mengait boleh memupuk pertumbuhan dan kepercayaan minda bahawa kebolehan mereka boleh dikembangkan melalui dedikasi dan kerja keras. In berlaku dalam proses yang sama apabila pengait dapat meningkatkan kebolehan mereka daripada kaitan mudah kepada corak yang kompleks, pembelajaran berterusan dan pembangunan kemahiran boleh meningkatkan keyakinan di dalam dan luar pejabat.

Meningkatkan kreativiti, inovasi dan hubungan sosial

Mengait boleh menjadi hobi yang hebat untuk wanita berkerjaya, merangsang kreativiti, inovasi dan perhubungan sosial. Penglibatan  wanita bekerjaya dengan hobi mengait ini dapat mengasah kreativiti mereka untuk berinovasi dan melakukan eksperimen dengan warna dan corak kaitan. Mengait memupuk rasa pencapaian, meningkatkan harga diri dan menggalakkan perspektif baharu. Selain itu, mengambil bahagian dalam kumpulan mengait dan kelab dapat membuka jalan kepada hubungan sosial, mengurangkan kesunyian dan menggalakkan kesejahteraan hidup secara keseluruhan. Ini secara langsung memberi kesan kepada kerjaya wanita di pejabat dengan meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, menggalakkan pemikiran luar kotak dan membina rangkaian profesional yang berharga.

Keseimbangan hidup dan kerja serta pengurusan masa

Melibatkan diri dalam hobi seperti mengait boleh menjadi bukti keupayaan seseorang untuk menguruskan masa dengan berkesan. Wanita kerjaya yang meluangkan masa untuk kepentingan peribadi menunjukkan bahawa mereka menghargai keseimbangan kerja-kehidupan. Keseimbangan ini penting untuk mencegah keletihan dan mengekalkan produktiviti dalam jangka panjang. Selain itu, disiplin yang diperlukan untuk menumpukan masa kepada hobi boleh mencerminkan secara positif kehidupan profesional seseorang, mempamerkan keupayaan untuk memberi keutamaan dan memberi tumpuan kepada perkara yang penting.

Kesimpulannya, mengait atau mana-mana hobi serupa memberikan wanita terutama yang berkerjaya pelbagai manfaat meliputi kesihatan mental dan peningkatan kognitif kepada ekspresi kreatif serta hubungan sosial. Hobi mengait menyumbang kepada sebahagian daripada pencapaian dan kepuasan kehidupan peribadi.

 

 

 

 

 

Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani

Jabatan Kejuruteraan Awam

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)