BATU PAHAT – Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam talian, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Teknologi Maklumat telah melancarkan aplikasi digital rasmi universiti dikenali sebagai UTHMDigital pada 3 Mac 2024 lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.
Aplikasi UTHMDigital merupakan satu platform digital yang dibangunkan bertujuan menyediakan akses setempat pelbagai sistem kepada staf UTHM dalam menjalankan tugasan seharian.
Platform tersebut mampu memudahkan akses dan pengurusan tugas yang lebih efisien sekali gus berupaya meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam talian sebagai salah satu objektif pendigitalan kerajaan seperti yang dinyatakan dalam rangka kerja myDigital.
UTHMDigital tersebut juga mampu menyokong pelbagai persekitaran platform dan peranti serta mempunyai ciri keselamatan dengan menggunakan kaedah authentikasi Single Sign On (SSO).
Aplikasi itu akan diperluaskan capaian oleh pelbagai sistem bagi memastikan penyampaian perkhidmatan setiap pusat tanggungjawab dapat dipertingkat dan dimanfaatkan dalam mencapai agenda pendigitalan UTHM.
Majlis pelancaran UTHMDigital telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin selaku wakil rasmi Naib Canselor.
Beliau dalam ucapannya berkata penggunaan platform UTHMDigital ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam menyokong dan menerajui era digital yang semakin pesat membangun.
‘‘Inisiatif berterusan seumpama ini akan membantu universiti mencapai misinya terutama dalam merealisasikan Digital TVET Transformation pada tahun 2025,” katanya.
Hadir sama menyaksikan pelancaran tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Digital Universiti, Profesor Ir. Dr. Yusri Yusof; Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Hasry Harun dan Penolong Naib Canselor (Digital Dan Infrastruktur)/Ketua Pegawai Digital, Profesor Ir. Dr. Md Saidin Wahab.