Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 yang disampaikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali pada 13 Februari 2024 secara jelas menyeru seluruh warga penjawat awam berubah kepada satu anjakan baharu paradigma tanpa dalih lagi. Ucapan yang pada mulanya sebak, santai dan humanistik namun secara tiba-tiba menjadi tegas di pertengahannya bagi menuntut kesedaran terhadap amanah bangsa yang dipertanggungjawabkan kepada setiap penjawat awam.

Mohd Zuki teguh mengekalkan idea ‘THE G.R.E.A.T CIVIL SERVICE’ dalam perkhidmatan awam yang diperkenalkan beliau, iaitu dengan kembali kepada asas nilai individu dan organisasi. Ia merujuk kepada ‘good governance’ (tadbir urus terbaik), ‘responsible’ (bertanggungjawab), ’empathy’ (ihsan), ‘accountable’ (kebertanggungjawaban) dan ‘tenacity of purpose’ (fokus pada matlamat).

Sehubungan dengan itu beberapa inti pati dan cadangan Mohd Zuki perlu diambil perhatian, tindakan serta usaha serius.

Pertama ialah betapa pentingnya setiap penjawat awam memahami sepenuhnya falsafah Malaysia MADANI. Gagasan ini harus berasimilasi dalam diri setiap warga sektor awam meliputi penerapan nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. Kesemuanya harus jelas bagi tujuan diaplikasikan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan program yang dijalankan. Harus dipacu secara bersepadu demi memperkukuhkan cabaran ekosistem ekonomi dan kewangan, undang-undang, institusi, pendidikan, komuniti dan budaya. Lantaran bagaimana mahu berperanan “government of the day” sekiranya budaya dan falsafah MADANI ini tidak mampu difahami, dihayati serta diamalkan oleh para benteng negara?

Justeru itu, penting untuk semua penjawat awam memahami dengan jelas semua dasar dan polisi yang ditetapkan kerajaan. Ini kerana akhirnya agensi kerajaanlah yang perlu bertindak selaku pembuat dasar dan polisi berkaitan. Tanpa kefahaman jelas dalam merancang, mana mungkin para pelaksana di sektor awam mampu menterjemah segala dasar yang semakin dinamik ini.

Maka demi keperluan rakyat – saranan KSN untuk memantau dan menyemak semula segala peraturan dan pekeliling yang sudah lapuk dan memerlukan penambahbaikan hendaklah disambut baik. Ini kerana ada banyak perkara yang perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan – namun terkepung dengan kerenah birokrasi jumud, red tape dan mengikat “tangan dan kaki” untuk bergerak dengan lebih pantas. Keberjayaan sesuatu dasar dan polisi bukan sahaja diukur melalui fakta dan angka yang mungkin dimanipulasi. Namun yang terlebih penting ialah rakyat dapat merasai perubahan tersebut.    

Kedua melibatkan sikap dan kesediaan penjawat awam untuk berubah. Ini merupakan saranan yang mudah diungkap namun sukar untuk dilaksanakan. Ia mencerminkan kemahuan dan keterbukaan penjawat awam dalam menghadapi perubahan ekosistem pekerjaan yang semakin dinamik dan kompleks. Lebih mencabar ialah penjawat awam perlu mengenal pasti jenis dan perubahan yang benar-benar perlu dilakukan dengan gaya megatrend masa kini yang penuh dengan fragmentation, disequilibrium dan contestation

Pada tahun 2024 ini, warga sektor awam diharapkan mempunyai kesedaran diri yang tinggi dan keterbukaan fikiran kepada idea baharu, penerimaan kepada fleksibiliti pendekatan kerja, inisiatif untuk terus belajar serta berani mengambil risiko terkawal. Transformasi pengetahuan dan penguasaan digital bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian.

Warga penjawat awam perlu serius beradaptasi dengan revolusi AI serta ekosistem digital. Malah perlu mendahului khususnya dalam pembentukan infrastruktur, mengawal selia dan sebagai pemudah cara kepada dalam agensi masing-masing. Kemaskini dan perbaiki sistem penyampaian khususnya dalam pengurusan kewangan dan sumber manusia. Semua proses kerja perlu ada SOP yang jelas dan up to date berserta jangka masa dan pemantauan praktikal.

Ketiga ialah keperluan tegar kepada pelaksanaan dashboard di setiap agensi kerajaan. Mungkin sebahagian besar agensi sudah melaksanakannya namun adakah ia benar-benar memberikan kesan akhir kepada rakyat? Dashboard alat penting dalam membantu setiap agensi mengelola, memahami dan meningkatkan keberkesanan sesuatu dasar secara keseluruhan. Ia mampu memberikan gambaran visual dalam segala pemantauan dan pengambilan keputusan. Dashboard juga sepatutnya mampu menjadi alat komunikasi dan kolaborasi berkesan, mengoptimumkan efisiensi, mencerahkan transparensi dan memastikan akauntabiliti. Kemuncaknya ialah mampu mencakupi maklum balas kepuasan rakyat. 

Sesungguhnya tindakan berani Mohd Zuki dalam memperkenalkan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) kepada semua penjawat awam harus dipuji. Satu kaedah penilaian baharu berasaskan keupayaan dan kesungguhan penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Seperti kata beliau, DEEP diperkenalkan bukan untuk menghukum mana-mana pihak tetapi bagi memastikan sebuah sistem penilaian yang relevan. Demi memastikan segala dasar yang diperkenalkan kerajaan disokong sebaik mungkin di semua peringkat.

Dalam menggerakkan bahtera besar sektor awam, wajar setiap warganya bermula dengan nilai paling asas iaitu muafakat dan kebersamaan dalam satu pasukan. Nilai ini hendaklah diterapkan dalam ekosistem yang kondusif. Muafakat dan kebersamaan warga sektor awam dalam pemikiran, hati, tindakan, perpaduan, solidariti, komunikasi berkesan, kesetiaan serta kepatuhan. 

Lantaran daripada nilai muafakat dan kebersamaan yang unggul harus pula diterjemahkan kepada kerja berpasukan. Ini kerana kerja berpasukan lah merupakan bukti kukuh yang seluruh warga sektor awam sedang mengusahakan sesuatu perkara dan tujuan secara bersama-sama. Saling sumbang menyumbang dan menggabungkan segala sumber daya serta keunikan yang ada bagi mencapai hasil yang terbaik.

Usah bekerja secara silo. Tinggalkan “budaya silo” dalam sektor awam sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Keengganan berkongsi maklumat atau pun tidak berkomunikasi sesama agensi dan bekerja dalam komuniti sendiri sahaja hanya mendatangkan ketidakcekapan dalam segala hal. Sikap negatif ini mampu membentuk pemikiran serta pendekatan terkebelakang dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Akhir sekali – kerajaan sedang berusaha gigih untuk memastikan kebajikan warga pentadbiran awam dipelihara sama ada kebajikan ekonomi mahupun sosial. Maka sesungguhnya penjawat awam dituntut untuk membalas segala kepercayaan ini dengan memberi sumbangan setimpal demi agama, bangsa dan tanah air. Kerana akhirnya penjawat awamlah benteng negara yang pertama dan yang terakhir di negara Malaysia yang tercinta ini.

 

 

 

 

Dr. Lutfan Jaes

Dekan

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Harian Metro (muka surat: 14), 27 Februari 2024: Anjakan baharu penjawat awam oleh Dr. Lutfan bin Jaes, Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), UTHM

 

2. MyMetro (hmetro.com.my), 27 Februari 2024: Anjakan baharu penjawat awam oleh Dr. Lutfan bin Jaes, Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), UTHM

https://www.hmetro.com.my/rencana/2024/02/1064544/anjakan-baharu-penjawat-awam