Oleh Suriayati Baharom, Dr. Harliana Halim
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) bakal menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Islam Johor (PIJ) melibatkan beberapa bidang bagi membantu memacu kemajuan sosioekonomi negeri Johor.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu perjanjian persefahaman (MoU) telah dimeterai antara PPUK dan PIJ pada 22 Januari 2024 bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM kampus induk.
UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim manakala PIJ diwakili oleh Timbalan Pengurus Besar, Khirul Nizam Mat Said selaku wakil rasmi Pengurus Besarnya.
Hadir sama menyaksikan penyerahan MoU tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Haji Mohd Fared Haji Mohd Khalid; Pendaftar / Ketua Pegawai Operasi, UTHM, Naim Maslan dan Dekan PPUK, Dr. Lutfan Jaes.
UTHM-PIJ bakal bekerjasama dalam beberapa bidang antaranya penyelidikan khususnya dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial, penerbitan, perundingan, latihan dan pembangunan kerjaya, khidmat sosial serta sebarang usahasama dan perkongsian program pemacuan sosio ekonomi Johor dengan mana-mana badan pertubuhan atau orang perseorangan di bawah naungan kedua-dua institusi ini.
Untuk rekod, kerjasama PIJ dan UTHM telah pun bermula pada penghujung tahun 2020 lalu, yang mana dua naskhah ilmiah telah terhasil melalui program ‘Bantuan Amal Jariah (Bantuan Penerbitan Kitab / Penulisan Ilmiah).’
Di bawah program bantuan tersebut, PIJ pada tahun 2020 lalu telah menaja cetakan dua naskhah penulisan ilmiah bertajuk “Dimensi Pemikiran Ibn Khaldun Terhadap Perubahan Sosial” dan “Baghdad Dan Volga Bulgaria : Menyingkap Hubungan Politik, Ekonomi dan Sosial Era 922 Masehi dengan jumlah tajaan sebanyak RM25 ribu.
Menyambung usaha tersebut, kerjasama UTHM dan PIJ diteruskan lagi pada tahun 2023 yang mana dua naskhah penulisan ilmiah telah dirangka melalui penajaan cetakan bertajuk “Penglibatan Ibu Bapa Dan Komuniti (PIBK) Dalam Perkembangan Sekolah Agama Bersepadu (SRAB) Johor” dan “Perbadanan Islam Johor (PIJ): Pemacu Pembangunan Sosio Ekonomi Umat Islam Johor.”
Kumpulan penyelidikan bagi projek perundingan penulisan ilmiah itu diketuai oleh Pensyarah Kanan PPUK, Dr. Harliana Halim merangkap Penyelaras MoU UTHM-PIJ bersama kumpulan penyelidik dari SUCCEED dan PIJ dengan keanggotaan seramai 11 orang.
Kedua-dua naskhah itu telah mendapat tajaan sebanyak RM50 ribu.
Menurut Khirul Nizam, PIJ juga telah menjalankan Program Bantuan Amal Jariah, yang mana program tersebut adalah dirangka untuk membantu sosioekonomi umat Islam di Negeri Johor.
Tambah beliau, melalui peruntukan belanjawan tahun 2023, PIJ telah menyalurkan Bantuan Mesin Cetak kepada kira-kira 650 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Menerusi program bantuan itu, PIJ telah menyalurkan dana INKIND sebanyak RM44,100 dalam bentuk mesin pencetak melalui Kumpulan Fokus Penyelidikan SUCCEED, PPUK dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar.
Mesin pencetak tersebut disumbangkan kepada 147 pelajar UTHM tahun pertama program diploma dan ijazah, daripada golongan B40 yang terpilih.
“Usaha ini sejajar dengan peranan PIJ sebagai Badan Berkanun Kerajaan Negeri Johor yang mendukung agenda sosioekonomi umat Islam, yang mana PIJ memainkan peranan dalam perkembangan pendidikan pengajian tinggi dalam kalangan rakyat negeri Johor,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Ruzairi dalam ucapannya turut mengucapkan terima kasih atas komitmen dan kepercayaan yang diberikan oleh PIJ untuk bekerjasama dalam beberapa bidang yang akan dan telah dirancang.
“Saya berharap kerjasama seumpama ini dapat memberi manfaat berterusan bukan sahaja kepada UTHM dan PIJ, malah kepada pelajar dan masyarakat khususnya di negeri Johor.
“Terima kasih juga kerana turut menyumbang dana INKIND dalam bentuk mesin pencetak kepada pelajar UTHM, yang saya pasti bantuan yang dihulurkan amat bermakna kepada pelajar dalam melancarkan lagi urusan pembelajaran mereka di universiti ini,” katanya.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 22 Januari 2024: PIJ-UTHM PERKUKUH JALINAN DAN KERJASAMA STRATEGIK
https://mediadigitaljohor.gov.my/pij-uthm-perkukuh-jalinan-dan-kerjasama-strategik/