Tahun 2023 melabuhkan tirainya dan kini kita mula melangkah ke tahun baharu 2024. Rata-rata daripada kita akan merefleksi diri sama ada impian tahun sebelum ini tercapai atau sebaliknya. Dalam masa yang sama, acap kali kita akan mula memasang azam bersempena tahun baharu yang tiba. Namun, kadangkala kita terlalu fokus ke arah perkembangan kerjaya dan hidup sehingga mengabaikan tanggungjawab lain yang tidak kurang pentingnya iaitu kesedaran sivik.
Ketibaan tahun baharu lazimnya akan disambut di kebanyakan tempat dengan percikan bunga api dan pengiraan detik ke 1 Januari. Apabila berakhirnya sebarang sambutan yang dihadiri orang ramai, kita akan dapat melihat sampah sarap yang ditinggalkan oleh pengunjung. Sikap tidak cakna akan kebersihan dapat dilihat apabila sampah seumpama botol air dan sisa makanan ditinggalkan di tempat yang tidak sepatutnya. Kebanyakannya beranggapan tidak mengapa untuk meninggalkan sampah kerana akan ada petugas yang melaksanakan kerja pembersihan di kawasan tersebut.
Kebersihan merupakan salah satu aspek kesedaran sivik yang dilihat masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia. Akhbar Kosmo bertarikh 21 Februari 2023 melaporkan bahawa Malaysia menduduki tempat ketiga senarai 10 negara teratas yang menjadi penyumbang utama pencemaran plastik di lautan. Dikatakan bahawa kebanyakan sisa plastik tersebut berasal dari sampah di taman, pantai dan longkang jalan. Sisa plastik ini akan dibawa oleh angin serta air hujan melalui longkang dan sungai, seterusnya menuju terus ke lautan.
Justeru, anggapan ‘tidak mengapa’ untuk membuang sampah yang bersaiz kecil di merata-rata tempat adalah satu mentaliti yang harus diubah. Tanpa kita sedar, sampah kecil ini mampu membentuk lautan sampah yang lebih besar. Ramai individu yang mampu menjaga kebersihan di rumah sendiri, namun tidak ramai yang mampu menjaga kebersihan alam sekitar. Sampah yang terbiar dan tidak diurus mampu mencacatkan pemandangan, menimbulkan bau yang kurang menyenangkan serta mengundang serangga perosak seperti lipas dan tikus.
Jika dilihat dari sudut pandang agama Islam pula, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Konsep kebersihan ini merangkumi pelbagai aspek meliputi penjagaan diri, tempat tinggal dan juga alam sekitar. Tuntutan Islam bukan sahaja menitikberatkan aspek kebersihan sebelum melaksanakan ibadah solat, bahkan juga menganjurkan kebersihan dipelihara sepanjang masa dalam kehidupan.
Dewasa ini, Malaysia dilihat semakin berkembang dan pantas membangun. Namun begitu, pembangunan infrastruktur yang pesat seakan hilang ertinya apabila aspek pembangunan insan dipinggirkan. Pentingnya kesedaran sivik dalam kehidupan adalah untuk membentuk setiap individu menjadi warganegara yang bertanggungjawab, berakhlak mulia dan berkeperibadian tinggi dalam pelbagai konteks.
Langkah untuk mengubah orang lain, haruslah bermula dengan diri kita sendiri dahulu. Berhenti menuding jari dan mulakan langkah pertama untuk berubah. Jangan jadikan tahun baharu sekadar satu sambutan tahunan yang tidak bermakna. Jadikan ia sebagai titik tolak untuk kita menjadi warganegara Malaysia yang lebih baik dengan memiliki kesedaran sivik.
Farhana Abd Hamid
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 13), 9 Januari 2024: Tingkat kesedaran sivik jadikan negara bebas sampah
2. Utusan Malaysia (muka surat: 32), 15 Januari 2024: Tahap kebersihan rakyat Malaysia masih di takuk lama
3. Utusan (utusan.com.my), 15 Januari 2024: Tahap kebersihan rakyat Malaysia masih di takuk lama