Sektor 3D, iaitu kotor, bahaya dan sukar merupakan sektor yang bergantung kepada tenaga kerja asing dan ia menjadi isu yang semakin kritikal di negara kita. Jumlah pekerja asing di Malaysia yang direkodkan pada 2022 adalah 1,459,196 orang. Terdapat 15 negara sumber utama pekerja asing negara antaranya Indonesia, Bangladesh, Nepal, Thailand dan Vietnam. Kebanyakan pekerja asing ini adalah tenaga kerja separa mahir atau tidak mahir. Mereka diperlukan untuk bekerja di sektor 3D disebabkan rakyat tempatan tidak berminat di sektor berkenaan kerana gaji yang rendah dan dianggap pekerjaan kelas kedua. Faktor gaji rendah dijangka berterusan kerana sektor ini tidak mampu menawarkan gaji yang tinggi. Selain itu, lambakan pekerja asing di negara ini memberi impak yang negatif kepada ekonomi negara kerana pengaliran wang keluar yang banyak dari negara ini berjumlah RM34 bilion setahun. Pengurangan pekerja asing mampu meminimumkan aliran keluar wang negara untuk jangka masa panjang. Pengurangan wang keluar ini juga membolehkan lebih banyak wang akan kekal dalam negara untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.
Teknologi Revolusi Industri 4.0
Dalam mengatasi isu ini, teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) merupakan sebagai satu penyelesaian yang perlu dilaksanakan. Teknologi ini telah membawa revolusi dalam pengurusan, pengeluaran dan inovasi dalam pelbagai industri. Teknologi IR 4.0 yang menggabungkan teknologi automasi, robotik, pengendalian data, penggunaan mesin pintar dan kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan proses pengeluaran produk dan kualiti perkhidmatan. Teknologi IR 4.0 dapat memberikan pelbagai manfaat untuk mengatasi isu kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor 3D. Majikan perlu mengenal pasti dan meningkatkan pelaburan dalam teknologi terkini, sementara itu, kerajaan juga perlu memainkan peranan aktif dengan menyokong syarikat kecil, terutamanya dalam penggunaan teknologi, automasi dan lain-lain aspek yang berkaitan dalam sektor 3D.
Sektor pertanian
Salah satu sektor yang menghadapi masalah ini adalah sektor pertanian. Pertanian merupakan sektor penting dalam memastikan sekuriti makanan negara. Namun, sektor pertanian memerlukan tenaga fizikal yang tinggi. Teknologi IR 4.0 boleh digunakan untuk mengautomasikan kerja-kerja dalam sektor pertanian, seperti penggunaan dron untuk meracun ladang, penggunaan mesin moden untuk menuai hasil dan sistem rangkaian internet kebendaan (IoT) untuk mengawasi keadaan tanaman. Sebenarnya, ini akan menarik pekerja tempatan untuk bekerja dalam bidang tersebut dan pekerja yang bekerja di ladang tidak perlu lagi bergantung pada tenaga fizikal mereka, kerana mereka boleh menggunakan mesin berteknologi tinggi untuk mengutip buah lerai dan tugas-tugas lainnya. Dengan ini, keperluan terhadap pekerja asing mampu dikurangkan secara signifikan.
Sektor pembinaan
Sektor pembinaan juga merupakan sektor yang sangat bergantung kepada pekerja asing, terutamanya dalam kerja-kerja fizikal yang berisiko tinggi. Teknologi IR 4.0 telah membawa peningkatan dalam penggunaan robotik dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang membolehkan pengurusan projek yang lebih cekap. Contohnya, robot boleh digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan bangunan yang tinggi atau berbahaya, mengurangkan risiko pekerjaan dan kebergantungan terhadap pekerja asing. Sistem BIM membolehkan reka bentuk projek pembinaan dilakukan dengan lebih efektif, meminimumkan keperluan untuk perubahan yang mahal dan kerja-kerja tambahan yang mungkin melibatkan pekerja asing.
Sektor perladangan dan perhutanan
Sektor perladangan dan perhutanan juga mempunyai masalah kebergantungan pekerja asing, terutamanya dalam kerja-kerja seperti penebangan hutan, penanaman, dan penjagaan tanaman. Teknologi IR 4.0 membolehkan penggunaan dron untuk pemantauan hutan dan tanaman, dan juga penggunaan robot dalam aktiviti penebangan yang berbahaya. Teknologi sensor dan IoT juga dapat digunakan untuk mengawasi dan mengurus sumber alam, menjadikan pengurusan perladangan dan perhutanan dengan lebih cekap. Ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan pekerja asing, tetapi juga menjaga alam sekitar dan sumber semula jadi negara dengan dengan lebih lestari.
Sektor perkilangan
Selain itu, teknologi IR 4.0 juga boleh memberi manfaat dalam sektor perkilangan yang melibatkan kerja-kerja fizikal yang berat dan berbahaya. Penggunaan robot industri dan mesin automatik boleh menggantikan tenaga manusia dalam tugasan yang boleh membahayakan kesihatan pekerja. Sistem pemantauan keselamatan dan kesihatan pekerja yang berterusan di tempat kerja juga perlu ditingkatkan dengan teknologi IR 4.0 untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Sokongan kerajaan
Kerajaan perlu memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan penggunaan teknologi dan automasi, serta aspek lain yang berkaitan dalam sektor 3D. Kerajaan perlu mempertimbangankan pelbagai insentif kewangan, penyediaan latihan dan pendidikan dalam penggunaan teknologi terkini, dan mempromosikan inovasi dalam cara menjalankan kerja dalam sektor 3D. Dengan mempromosikan penggunaan teknologi dalam sektor ini, kerajaan dapat memperkukuhkan ekonomi dan menjadikan syarikat-syarikat tempatan lebih kompetitif dalam pasaran global. Selain itu, tawaran insentif yang menarik dan gaji bulanan yang setimpal dengan kemahiran boleh menjadi faktor penarik kepada penduduk tempatan menceburi bidang ini.
Cabaran
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi apabila melaksanakan teknologi IR 4.0 dalam sektor ini. Salah satunya adalah kos pelaburan awal yang tinggi dalam pembelian dan pelaksanaan teknologi tersebut. Syarikat perlu membuat pelaburan yang besar untuk menggantikan pekerja asing dengan teknologi. Selain itu, pekerja juga perlu meningkatkan kemahiran dalam mengendalikan teknologi IR 4.0 dengan dilatih dan diberi pendidikan teknikal mengikut bidang mereka. TVET di dalam negara perlu menyediakan pelbagai program latihan untuk memperkukuh kemahiran tempatan, memenuhi keperluan industri, dan mengurangkan keperluan pekerja asing.
Pengurusan data dan keselamatan juga menjadi keutamaan. Dengan menggunakan teknologi yang berkaitan dengan data dan IoT, perlu ada perlindungan data dan privasi yang kukuh. Keselamatan siber juga menjadi isu yang penting, terutamanya dalam sektor yang bergantung pada teknologi tersebut.
Selain itu, kesan sosio-ekonomi juga perlu dipertimbangkan. Pengurangan kebergantungan pekerja asing boleh memberi kesan kepada ekonomi domestik dan komuniti pekerja asing. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan kesan sosio-ekonomi dapat dikurangkan.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, teknologi IR 4.0 menawarkan potensi besar untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor pekerjaan kotor, bahaya dan sukar. Dengan perancangan yang baik, dan pengurusan yang berkesan, Malaysia mampu mencapai kemandirian dalam sektor ini dan pada masa yang sama menjaga keselamatan dan kebajikan pekerja tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Walau bagaimanapun, ia juga memerlukan sokongan kerajaan untuk mencapai objektif ini. Dengan usaha yang berterusan, Malaysia mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan merangsang pertumbuhan dalam sektor ini dengan lebih berkesan.Top of Form
Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Artikel ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat:18), 15 November 2023 : Jangan suam-suam kuku laksana IR 4.0
2. Utusan (utusan.com.my), 15 November 2023: Jangan suam-suam kuku laksana IR 4.0
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/11/jangan-suam-suam-kuku-laksana-ir-4-0/
3. Malay.News (malay.news), 15 November 2023: Jangan suam-suam kuku laksana IR 4.0
https://www.malay.news/jangan-suam-suam-kuku-laksana-ir-4-0/
4. the malay tribune (themalaytribune.com), 15 November 2023: Jangan suam-suam kuku laksana IR 4.0
https://themalaytribune.com/jangan-suam-suam-kuku-laksana-ir-4-0/