BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyambut kedatangan 2186 pelajar baharu program sarjana muda pada hari pertama pendaftaran yang bermula pada 1 Oktober 2023.

Jumlah pendaftaran pelajar baharu bagi semester pertama, sesi pengajian 2023/2024 itu dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh rayuan.

Kesemua pelajar baharu yang mendaftar diri di tujuh fakulti akan mengikuti sesi perkuliahan 2023/2024 bermula 8 Oktober ini secara fizikal.

Terdahulu, mereka perlu mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang berlangsung selama lima hari bermula 1 hingga 5 Oktober ini sebagai persediaan menjadi sebahagian daripada warga UTHM.

Sepanjang minggu tersebut, mereka akan mengikuti pelbagai sesi dan taklimat yang bertujuan untuk mengenali alam kampus dengan lebih dekat antaranya Majlis Bersama Kepimpinan Universiti dan Amanat Naib Canselor serta Ikrar Pelajar, Taklimat Kebajikan dan Pembiayaan Pengajian, Sesi Bersama Ikon Alumni, Sesi Bersama Dekan dan Pengurusan Fakulti, Taklimat Kursus serta Penasihat Akademik dan Kerjaya, Taklimat Pengetua Kolej Kediaman, Sesi Pendedahan Dengan Industri dan Masyarakat dan Malam Warisan Bangsa.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim bersama Pegawai-pegawai Kanan universiti turut meninjau proses pendaftaran sambil beramah mesra dengan pelajar dan ibu bapa yang hadir menemani.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar yang terpilih mengikuti pengajian di UTHM sekali gus berharap mereka dapat menyahut cabaran menjadi individu yang cemerlang dengan memberi sepenuh tumpuan kepada pembelajaran.

“Gunakanlah segala ruang dan kemudahan yang ada di sini untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman yang ada.

“Saya doakan agar semua pelajar di UTHM ini akan terus menjadi insan yang berjaya dan mampu berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya.