Bulan Oktober merupakan bulan yang sangat sibuk bagi kebanyakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia. Seawal 1 Oktober 2023, pelajar baharu semester 1 Sesi 2023/2024 telah mula mendaftarkan diri di kampus. Kebanyakan universiti menyediakan makanan bagi pelajar baharu sepanjang tempoh minggu orientasi berlangsung. Tetapi sebaik sahaja kuliah bermula pada minggu kedua bulan Oktober kelak, pelajar perlu mula menguruskan belanja harian sendiri.
Mungkin ada pelajar yang tidak pernah menguruskan kewangan sendiri dalam jangka masa yang lama apatah lagi dalam jumlah yang besar. Oleh yang demikian, mereka akan mengalami sedikit kesukaran untuk menguruskan wang perbelanjaan agar boleh bertahan sehingga hujung bulan atau sehingga elaun masuk ke dalam akaun masing-masing. Pengurusan kewangan sebagai seorang pelajar IPT sering diambil remeh namun ia sebenarnya merupakan satu aspek penting dalam kelangsungan sesi pembelajaran yang kondusif di universiti.
Kemelut kewangan yang serius mampu memberikan impak negatif ke atas prestasi akademik pelajar terutamanya di IPTA. Oleh yang demikian, pelajar perlu bijak dan mula cakna dalam pengurusan kewangan peribadi supaya dapat meneruskan pengajian dengan tenang dan tidak membebankan keluarga masing-masing. Penulis terpanggil untuk kongsikan enam tip bagi membantu pelajar menguruskan kewangan dengan lebih baik di dalam kampus.
Bermulalah dengan bersikap tanggungjawab terhadap kewangan sendiri dan membuat kawalan perbelanjaan yang sewajarnya. Sekiranya sebelum ini semua perihal kewangan diuruskan oleh ibu bapa, kini anda perlu mengambil tanggungjawab menguruskan kewangan sendiri di kampus. Tidak ada lagi orang dewasa lain yang akan bertanggungjawab sekiranya anda gagal menguruskan kewangan sehingga tidak cukup belanja sebelum sampai masanya.
Kedua, sediakan bajet yang merangkumi keseluruhan semester. Senaraikan jumlah wang yang masuk ke akaun dari semua sumber iaitu ibu bapa dan saudara mara, bantuan kewangan dan biasiswa, pinjaman pelajar dan sebarang pendapatan daripada pekerjaan atau bisnes sampingan. Kemudian sediakan anggaran perbelanjaan termasuk kos buku, peralatan keperluan peribadi, hiburan dan juga kecemasan. Anda perlu komited untuk mematuhi bajet yang disediakan dan anda perlu tahu menilai wang yang dikeluarkan sama ada tujuan keperluan atau sekadar memenuhi kehendak. Elak berbelanja secara impulsif, terutamanya pada sesuatu yang tidak diperlukan. Sekiranya ada perbelanjaan tambahan, semak kembali bajet dan cuba ikhtiarkan cara untuk mengatasi defisit tersebut (jika ada).
Seterusnya, jadikan satu tabiat untuk sentiasa catat perbelanjaan yang dibuat setiap hari. Kini terdapat banyak aplikasi di dalam talian yang boleh dimuat turun ke telefon bimbit untuk tujuan tersebut. Cara ini mampu untuk memudahkan anda mengenal pasti kelemahan dalam tabiat perbelanjaan dengan membuat analisis minggu atau bulanan ke atas perbelanjaan yang telah direkodkan. Pada masa yang sama, ia mampu membantu anda untuk membuat penambahbaikan bajet pada tempoh seterusnya. Walaupun sukar untuk konsisten, ianya boleh dilakukan dengan mudah apabila ia dijadikan sebahagian daripada rutin seharian anda.
Pada masa yang sama, anda perlu sentiasa berwaspada dalam menguruskan wang semasa di kampus. Jangan biarkan wang tunai senang diakses oleh rakan sebilik atau serumah. Walaupun rakan tersebut telah lama anda kenal, sikap lalai dan tidak ambil peduli di mana anda meletakkan wang tunai, boleh mengundang orang lain untuk mengambil kesempatan walaupun mereka asalnya tidak berniat langsung untuk mencuri. Sekiranya perlu membuat simpanan tunai fizikal bagi tujuan kecemasan, jadikan lokasi simpanan sebagai rahsia yang hanya anda sahaja yang tahu dan sukar untuk ditemui oleh orang lain.
Pada masa yang sama, jangan sewenang-wenangnya meminjamkan wang kepada rakan anda. Ingat, anda sendiri memerlukan wang perbelanjaan sama ada daripada ibu bapa, pinjaman atau tajaan pendidikan untuk kelangsungan hidup sebagai mahasiswa, mustahil anda mampu membantu orang lain. Pada masa yang sama, elak dari membayar kepada perkara yang tidak sepatutnya seperti denda ke atas kegagalan memulangkan buku ke perpustakaan, saman letak kereta mahupun saman lalu lintas.
Seterusnya cari cara untuk kurangkan berbelanja. Gunakan diskaun khas yang disediakan di luar sana khusus untuk mereka yang bergelar pelajar. Antara syarikat yang menyediakan diskaun pelajar adalah seperti AirAsia dan TGV Cinemas. Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk berhibur di kampus tanpa membelanjakan wang. Malah, terdapat banyak aktiviti di dalam kampus yang disediakan secara percuma kepada pelajar. Anda perlu mengawal nafsu untuk berbelanja di luar kampus bagi aktiviti hiburan yang mahal agar dapat belajar dengan lebih tenang serta membolehkan anda bimbang tentang perkara yang lebih penting, iaitu gred anda.
Akhir sekali, cari cara untuk mendapatkan wang tambahan. Ya, pelajar memang sibuk dengan kuliah dan aktiviti di dalam kampus, namun begitu sekiranya bijak menguruskan masa anda mampu menjana pendapatan tambahan semasa di kampus. Jualan di dalam talian merupakan pilihan popular dalam kalangan pelajar bukan sahaja di universiti, malahan di sekolah. Amatlah rugi jika anda tidak mengambil peluang ini untuk menjana pendapatan tambahan dan seterusnya mengukuhkan kedudukan kewangan anda pada awal usia. Wang yang dijana mampu menampung segala kos tambahan pengajian termasuk kos projek dan latihan industri kelak.
Tabiat pegurusan kewangan yang baik yang anda mula amalkan ini akan memberi manfaat bukan sahaja di dalam kampus malah mampu membantu anda memasuki alam pekerjaan kelak. Jadikan amalan pengurusan kewangan yang baik sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan anda bermula dari sekarang. Jom celik kewangan!
Dr. Khadijah Md Ariffin
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Artikel ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 15 Disember 2023: Utamakan keperluan, pelajar IPT perlu bijak urus belanja