Oleh Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd Sari

BANDUNG – Tiga pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih tempat ketiga ketika menyertai 3rd International Geotechnical Engineering Festival (Geofest 2023) yang diadakan pada 26 dan 27 September 2023 lalu bertempat di Universitas Katolik Parahyangan, Bandung, Indonesia.

Tiga pelajar tersebut iaitu Akmal Hafiz Nurhaizal Azam (Ketua), Farah Aisyah Mohamed Kamal dan Julia Elisya Mohd Azman merupakan pelajar tahun tiga program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Alam Sekitar) Dengan Kepujian (BNA).

Geofest merupakan pertandingan yang menggalakkan penglibatan pelajar siswazah dan pra-siswazah menyelesaikan masalah kejuruteraan geoteknik yang berkaitan dengan tanah.

Program kali ketiga itu dianjurkan hasil kerjasama tiga universiti iaitu UTHM, Universitas Katolik Parahyangan dan Universiti Teknologi Malaysia.

Berkat kesungguhan dan usaha gigih pelajar itu membuahkan hasil apabila mempertaruhkan satu projek bertajuk “VibroFLOAT: Stabilisation of Clay Soil with Waste Glass Powder (WGP) Blend” di bawah penyeliaan pensyarah Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA) iaitu Prof. Ir. Dr. Chan Chee Ming, Ts. Dr. Tuan Noor Hasanah Tuan Ismail dan Salina Sani.

Pelajar tersebut mempamerkan komitmen yang tinggi dengan membuat persiapan rapi berkaitan teori yang dipelajari dan mengaplikasikannya di tapak bina dalam menyelesaikan permasalahan di industri.

Pada tarikh yang sama juga, tiga pelajar tersebut diumumkan pemenang pingat Gangsa dalam International Research and Innovation Technology Competition (i-RITEC2023) anjuran FTK, UTHM.

Projek yang dipertandingkan bertajuk “Innovative Vibrostab Geo-Technology: Combining Vibrofloating and Stabilisation with Waste Glass Powder Adoption Meeting SDG (Sustainable Development Goal)” di bawah kategori Inovasi.

Kejayaan berganda tersebut membuktikan bahawa pelajar program Teknologi Kejuruteraan juga mampu berjaya dalam bidang kejuruteraan.

Dekan FTK, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Shukor turut mengucapkan tahniah kepada pelajar dan penyelia yang pulang dengan kejayaan atas nama FTK.

“Pertandingan sebegitu sangat bagus kerana membuka ruang dan peluang kepada para pelajar untuk mengetengahkan bakat dan pengetahuan teknikal yang dipelajari untuk diimplementasikan dalam industri sebenar,” katanya.