MIS 2023 himpun pemegang taruh, bincang hala tuju industri rel negara

YB Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia menyempurnakan upacara perasmian MSA International Symposium 2023.

DAMANSARA – Metro System Academy (MSA) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Simposium Antarabangsa Metro System Academy 2023 yang menghimpunkan hampir 300 peserta pada 10 dan 11 Oktober 2023.

Simposium Antarabangsa Metro System Academy 2023 dianjurkan bertujuan menghimpunkan pemegang taruh terdiri daripada pihak kerajaan, pemain industri, ahli akademik, para penyelidik dan penuntut institut pengajian tinggi bagi membincangkan strategi dan pelan perancangan terkini serta bertukar idea dan pandangan berkenaan hala tuju industri rel negara, kemampanan, bencana alam, hartanah berkaitan rel, penjanaan pendapatan, teknologi terbaharu dan masa hadapan.

Hasil perbincangan itu akan dijadikan aspirasi jangka panjang dalam menangani cabaran masa hadapan berkaitan pengangkutan awam darat untuk kelestarian masa hadapan, selaras dengan visi dan misi Malaysia ke arah mencapai status negara maju dan negara yang berpendapatan tinggi berlandaskan Ekonomi Madani.

Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Loke Siew Fook hadir menyempurnakan Majlis Perasmian MSA International Symposium 2023 yang diadakan pada 10 Oktober 2023 bertempat di MSA, Kwasa Damansara.

Beliau dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada UTHM atas penubuhan MSA yang bertujuan memberi peluang kepada universiti dan industri meningkatkan pembangunan modal insan dalam bidang teknologi rel.

“Saya dimaklumkan 30 hingga 40 graduan akan menjalani latihan di Akademi Rel Metro setiap tahun sebagai sebahagian daripada program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel di UTHM.

“Inisiatif seumpama ini mampu membantu negara memastikan usaha membangunkan bakat Malaysia dapat dijalankan secara berterusan bagi menyokong pertumbuhan pasaran rel,” katanya.

Turut hadir, Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim; Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohd Sharil Abdullah merangkap Ahli Lembaga Pengarah UTHM,  Pegawai-pegawai Kanan kementerian dan universiti serta wakil-wakil industri.

Penganjuran simposium yang bertemakan “Sustainable Rails Rejuvenate Malaysian Economy” itu turut mendapat kerjasama daripada Malaysian Rail Development Corporation (MRDC), Kementerian Pengangkutan Malaysia, Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp. Sdn. Bhd.), Sarawak Metro Sdn. Bhd., Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Gamuda Engineering Sdn. Bhd., Alstom Sdn. Bhd., Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), International Green Trends Cockpit Sdn. Bhd., Blitz Training & Consultancy Sdn. Bhd. dan Lenovo Technology Sdn. Bhd.

 

Naib Canselor memberi ucapan aluan dan juga sebagai salah seorang pengucaptama simposium.

Turut berlangsung, Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM-industri, yang disaksikan oleh YB Menteri.

 

 

Categories
Persidangan
Subscribe