PAGOH – Seramai 98 pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memperoleh pensijilan kompetensi bagi program Certificate of Competency Building Information Modelling Autodesk Revit (BIM-AR) 2023 yang diberikan oleh Professional Industrial Training and Certification (PITC).
Jumlah tersebut menjadikan angka keseluruhan mencecah seramai 469 peserta dari dalam dan luar UTHM yang berjaya memperoleh Persijilan Kompetensi BIM di bawah PITC semenjak empat tahun lalu.
Menurut pengarah program, Ts. Dr. Peniel Ang Soon Ern, program yang berlangsung pada 1 hingga 5 Oktober bertempat di Makmal Teknologi Kejuruteraan Awam, UTHM Kampus Pagoh itu bertujuan menyediakan graduan FTK yang berketrampilan dan berkelayakan dalam Industri Revolusi 4.0, sejajar dengan keperluan industri di Malaysia pada masa kini.
Pelaksanaan program tersebut mendapat kerjasama Bina Initiatives Sdn. Bhd., yang diwakili Pengurus Besar, Ts. N. V. Kumaran; Pengurus BIM, Ts. Hafiz Zaini dan Koordinator BIM, Nasrul Asyraf Badrul Hisham.
Menariknya, untuk penganjuran kali ini para pelajar tahun akhir Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA) dibekalkan dengan Modul Kursus BIM lengkap yang telah dibangunkan sendiri oleh tenaga pengajar BIM yang diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Mohamad Hairi Osman.
Modul tersebut digunakan sebagai rujukan utama, yang mana para pelajar didedahkan dan diajar secara teori dan praktikal BIM yang memfokuskan kepada elemen reka bentuk struktur bangunan.
Program ini dilaksanakan secara serentak di tiga makmal komputer dengan melibatkan enam tenaga pengajar dan dibantu oleh 14 fasilitator.
Pada hari terakhir, semua pelajar perlu menduduki peperiksaan dan kesemuanya berjaya lulus dengan cemerlang.
PITC telah mengesahkan para pelajar tersebut berkelayakan memperolehi Sijil Kompetensi dalam Building Information Modelling Autodesk Revit (BIM-AR) Structural Design yang diperakukan oleh Bina Initiatives Sdn. Bhd dan persijilan tersebut turut diiktiraf di seluruh dunia.
Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, FTK, Ts. Dr. Abdul Fathul Hakim Zulkifli berkata beliau mengharapkan agar pihak PITC dapat memperluaskan persijilan ini kepada pelajar UTHM dan pihak luar memandangkan keperluan pasarannya sangat tinggi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak PITC dan tahniah kepada semua pelajar yang terlibat dan berharap inisiatif seumpama itu dapat menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan FTK, UTHM.