BATU PAHAT, 19 September 2023 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini menutup tirai sambutan kemerdekaan ke-66 tahun dengan mengadakan ‘Majlis Penutup Sambutan Bulan Kebangsaan ke 66 Tahun 2023 Peringkat UTHM’ bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.
Terdahulu, bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, UTHM telah menganjurkan beberapa program bertujuan menggalakkan warga kampus menghayati erti kemerdekaan sebenar, sekali gus menyemai rasa cinta kepada negara.
Antaranya, penganjuran Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin Sempena Hari Kemerdekaan ke-66 peringkat Universiti, penyertaan Kontijen Perhimpunan, Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 peringkat daerah Batu Pahat, konvoi motosikal sambil mengibar bendera di sekitar kampus serta penyertaan menyeluruh warga kampus mengibarkan Jalur Gemilang di sekitar bangunan pusat tanggungjawab (PTj) masing-masing.
Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM hadir menyempurnakan majlis penutup tersebut sekali gus menitipkan beberapa amanat.
Beliau dalam ucapannya menyeru warga kampus untuk memerdekakan diri sendiri daripada perkara yang melalaikan, kemalasan dan ketakutan yang akhirnya akan merugikan diri sendiri.
“Dengan erti kata lain, kita perlu berani ke hadapan untuk mencuba sesuatu yang baharu, sentiasa menjaga masa supaya semuanya berlaku dengan betul dan meletakkan kepercayaan kepada pasukan dan proses (trust the process) ketika bersama-sama membawa UTHM ke arah yang lebih cemerlang,” katanya.
Tambah beliau, UTHM telah menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-30 pada 16 September 2023 lalu dan jumlah tersebut bukanlah sekadar angka yang menggambarkan satu tempoh dan sela masa tertentu.
“Angka 30 ini melambangkan kematangan, kejayaan dan kestabilan institusi yang akan terus berdiri kukuh dan teguh dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik anak bangsa dalam bidang tujahnya.
“Saya percaya, kita akan terus melakar kejayaan gemilang sebagaimana yang telah kita sama-sama kecapi pada masa ini dan akan terus gah sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dalam bidang TVET yang terulung dan dirujuk,” katanya.
Hadir sama, Prof. Sr Ts. Dr. Hj Lokman Hakim Hj Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Prof. Sr Ts. Dr. Hj Lokman Hakim Hj Ismail; Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Naim Maslan; Ahli Lembaga Pengarah UTHM dan Pegawai-pegawai Kanan universiti.
Turut berlangsung, sesi forum bertajuk ‘Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ bersama panel jemputan, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Uncle Kentang,’ yang dikendalikan oleh moderator, Dr. Lutfan Jaes, Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum.
Pada majlis tersebut, Naib Canselor turut menyempurnakan gimik pelancaran Pelan Antirasuah UTHM dan buku ‘UTHM Bangkit’ serta menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Sukarelawan Banjir 2023.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil daripada wakil Malaysia Book of Records (MBOR) kepada 52 staf Wanita UTHM yang telah berjaya mencatat rekod baharu iaitu ‘Most Women Participants to Climb Mount Kinabalu’ setelah berjaya menawan Gunung Kinabalu sempena sambutan 30 tahun UTHM.