Oleh Munirah Mohd Yusof

GUNUNG FUJI – Tujuh staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia mengibarkan bendera universiti setelah berjaya menawan puncak Gunung Fuji pada 23 dan 24 Ogos 2023 lalu.

Misi tawan puncak Fuji berketinggian 3,776 meter itu diketuai oleh Dr. Mohamad Aizi Salamat dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

Menurut Dr. Aizi, misi menawan puncak gunung tertinggi di negara Jepun itu bertujuan mencabar kemampuan diri untuk mendaki gunung yang berbeza bentuk muka buminya.

Para pendaki yang terlibat membuat beberapa persediaan fizikal seperti latihan kecergasan dan ketahanan (endurance) sebelum memulakan pendakian bagi memastikan misi tersebut berjalan lancar.

“Sepanjang mendaki, para pendaki diuji dengan cuaca hujan, keadaan trek yang berbatu dan berdebu selain perlu melalui laluan ‘Zig Zag’.

“Cabaran sebenar bermula semasa pendakian ke puncak pada pukul 4 pagi yang mana cuaca masih gelap dan kami diuji dengan angin kuat dan suhu sejuk serta debu gunung berapi sepanjang perjalanan.

“Walau bagaimanapun cabaran itu langsung tidak mematahkan semangat kami kerana apabila cuaca cerah kami dihidangkan dengan pemandangan yang sangat indah,” katanya.

Tambah Dr. Aizi, segala penat lelah seakan terbayar apabila akhirnya mereka berjaya menawan puncak dan berpeluang melihat matahari terbit, selain menikmati panorama yang sangat menakjubkan.

Beliau bersama rakan-rakan pendaki lain melahirkan rasa syukur kerana dapat menjayakan misi mendaki Gunung Fuji yang amat mencabar ketahanan fizikal dan mental pendaki.

“Semangat kerjasama dan saling membantu serta mental positif yang ditonjolkan oleh semua pendaki merupakan faktor utama kejayaan misi ini,” tambah Dr. Aizi.

Tujuh pendaki terbabit berharap kejayaan pendakian itu dapat menjadikan mereka seorang yang kuat mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran hidup dan berupaya memberi inspirasi kepada rakan-rakan staf yang lain untuk menjalani kehidupan seimbang dan sihat.