PEKANBARU – Bagi menyebarluaskan lagi ilmu dan kemahiran yang ada, Universiti Abdurrab, Pekanbaru, Indonesia dengan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah menganjurkan Kuliah Kerja Nyata (KKN) International UTHM-Univrab 2023 pada 11 hingga 19 Ogos 2023 lalu.
Program pemindahan teknologi dan khidmat masyarakat itu bertujuan untuk memindahkan teknologi, di samping memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat untuk mengaplikasi ilmu mereka, memantapkan kemahiran sosial dan menaikkan nama baik UTHM di peringkat antarabangsa.
Bertemakan “Inovasi, Kompetensi, Digitalisasi dan Literasi” program yang diselaraskan oleh wakil UTHM, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar itu mendapat kerjasama yang baik daripada Universitas Abdurrab termasuklah Rektornya, Prof. Dr Susi Endrini dan turut mendapat sokongan daripada pelajar-pelajar dan pensyarah kedua-dua universiti terbabit.
Dengan melibatkan komuniti di Provinsi Riau, Indonesia, termasuk Pekanbaru, Sungai Pinang dan Pulau Rupat, program itu bermatlamat untuk memberikan impak positif yang signifikan kepada masyarakat tempatan.
“Ini adalah langkah penting dalam menggalakkan pembangunan dan kemajuan dalam kalangan komuniti dan industri di Provinsi Riau,” kata Dr. Fadzelly.
Tambah beliau, Dalam usaha mencapai objektif-program ini, berbagai aktiviti telah dijalankan antranya seminar kebersihan dan keselamatan makanan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan masyarakat tentang isu-isu penting berkaitan keselamatan makanan.
Turut diadakan, bengkel pemprosesan mee herba menggunakan kaedah konvensional dan teknologi extruder.
Bengkel itu dilaksanakan oleh lima pelajar FAST iaitu Hafizuddin Sutimin, Tengku Zarith Hazlin Tengku Zainal Abidin, Aina aqilah masri, Muhammad Asyraf Abdul Kadir dan Fathul Naeem Fathul Rahman.
Program tersebut juga mendapat sokongan padu daripada 100 mahasiswa Abdurrab yang turut serta dalam pelbagai aktiviti yang berfokus kepada pemindahan teknologi, pembangunan komuniti dan pengkongsian ilmu.
Kuliah Kerja Nyata International UTHM-Univrab 2023 adalah satu usaha berprestij untuk mengembangkan pemindahan teknologi, memupuk semangat sukarelawan, memantapkan kemahiran sosial dan menggerakkan misi literasi dan inovasi di Provinsi Riau, Indonesia.
FAST berharap segala usaha yang dilakukan akan memberi impak positif yang berkekalan kepada komuniti yang terlibat dan menjadi mercu tanda kerjasama antarabangsa yang berjaya dalam pemindahan ilmu dan kemajuan masyarakat.