Oleh Dr. Hasliza Hassan, Suriayati Baharom
PAGOH, 14 Ogos 2023 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan telah bekerjasama dengan Syarikat STMicroelectronics Sdn. Bhd. menubuhkan Makmal Internet of Things (IoT) untuk kegunaan warga universiti.
UTHM dan STMicroelectronics hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai simbolik kepada kerjasama tersebut sekali gus melancarkan Makmal IoT yang ditempatkan di FTK, UTHM Kampus Pagoh.
MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim manakala STMicroelectronics pula diwakili oleh Pengurus Besar STMicroelectronics Muar, Tan Chun Sheng.
Kerjasama tersebut meliputi pelbagai bidang termasuklah menubuhkan makmal IoT yang dilengkapi dengan peralatan dan teknologi bertaraf dunia daripada produk STM32 yang dikeluarkan oleh STMicroelectronics.
Penubuhan Makmal IoT di bawah tajaan STMicroelectronics itu menjadi satu capaian penting dalam memajukan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di UTHM khususnya dan masyarakat Muar amnya.
Prof. Ruzairi dalam ucapannya berterima kasih kepada pihak STMicroelectronics kerana kerjasama tersebut didapati dapat membuka peluang kepada penyelidik UTHM untuk menyumbang idea dan tenaga mereka khususnya dalam pembangunan sistem aplikasi pintar.
Tambah beliau, tanpa input profesional, sokongan kolaboratif dan maklum balas daripada pihak industri, kakitangan akademik tidak dapat berkongsi dengan pelajar berkaitan trend terkini, statistik, amalan, permintaan dan dasar yang diamalkan oleh industri.
Sementara itu, Tan Chun Sheng dalam ucapannya melahirkan hasrat untuk menjadikan makmal yang dibangunkan itu sebagai pusat latihan sijil profesional khusus untuk warga pendidik sekitar Muar dan juga kakitangan ST Microelectronics.
Beliau turut mengakui pentingnya peranan pendidik dalam memastikan penyampaian informasi yang tepat dan penggunaan teknologi IoT yang betul kepada pelajar.
“Makmal tersebut juga memberi peluang kepada pelajar UTHM dan komuniti Muar untuk belajar dan menguasai teknologi terkini dalam dunia IoT.
“Penggunaan produk STM32 dalam pembangunan makmal itu membolehkan pelajar untuk terlibat dalam projek-projek berorientasikan praktikal,” katanya.
Untuk rekod, produk STM32 mempunyai ekosistem pembelajaran yang luas termasuklah sumber pembelajaran dalam talian, bahan rujukan dan komuniti pengguna.
Itu semua akan membantu pelajar dan penyelidik menguasai teknologi dengan lebih mudah.
Selain itu, kolaborasi itu juga akan membuka peluang kerjasama berkaitan latihan industri, pertukaran tenaga pengajar dan perkongsian pengetahuan antara kedua-dua entiti.
“Kelebihan makmal yang menggunakan teknologi STM32 ini akan membawa manfaat besar kepada pelajar, penyelidik dan industri tempatan sekali gus bakal meningkatkan kualiti pendidikan dan inovasi di Malaysia.
“Inisiatif tersebut juga membuktikan UTHM dan STMicroelectronics komited dalam memajukan bidang pendidikan dan inovasi pada era digital ini,” kata Prof Ruzairi.