Oleh Dr. Syafiqah Nur Azrie Safri, Ts. Dr. Nur Kamilah Yusuf, Prof. Madya Ts. Dr. Nurhayati Rosly, Ts. Dr. Siti Nur Mariani Mohd Yunos

BATU PAHAT, 22 & 24 Jun – Bersempena sambutan ulang tahun ke-30 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), program “Period Poverty” Fasa 2 meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu penduduk Kampung Kangkar Senangar, Parit Sulong menangani masalah sumber bekalan air bersih.

Antara cabaran utama golongan wanita dan remaja di kampung tersebut ialah kemudahan mendapatkan bekalan air bersih.

Setelah hampir 20 tahun mengalami masalah tersebut, pihak UTHM terpanggil untuk membantu membekalkan air bersih kepada penduduk kampung dengan cara menyelenggara telaga tiub sedia ada.

Program CSR yang turut mendapat tajaan daripada Institute for Integrated Engineering (I²E) dan Yayasan UTHM itu diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nurhayati Rosly dan dibantu oleh penyelidik, Dr. Mimi Suliza Muhamad serta staf teknikal yang berpengalaman dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan serta Pusat Pentadbiran Kampus Cawangan Pagoh.

Menurut Dr. Mimi, telaga tiub tersebut ditambah baik dengan memperkenalkan sistem penapisan air bagi membantu komuniti Kampung Kangkar Senangar menikmati air bawah tanah yang bersih.

“Air yang dipam dari bawah tanah akan melalui proses pengoksidaan terlebih dahulu untuk mengurangkan bau pada air.

“Selepas itu, air tersebut akan ditapis menggunakan sistem penapisan yang terdiri daripada beberapa lapisan pasir dan batu sungai berserta penjerat makrokomposit yang diperbuat daripada sisik ikan tilapia yang boleh menyerap bahan-bahan tercemar di dalam air,” jelas beliau.

Pasukan CSR tersebut berharap usaha yang dilakukan itu mampu menaikkan kualiti hidup yang lebih baik untuk penduduk kampung terbabit.

Sementara itu, bagi menangani masalah kemiskinan haid dalam kalangan penduduk kampung, pihak UTHM menganjurkan sesi perkongsian ilmu berkaitan pengurusan haid dalam aspek kebersihan dan kesihatan pada 24 Jun 2023 lalu di kampung yang sama.

Perkongsian isu kemiskinan haid yang diketuai oleh Ts. Dr. Siti Nur Mariani mendapat tajaan daripada ahli parlimen kawasan Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Yayasan UTHM dan Institute of Integrated Engineering (I2E).

Program CSR itu juga menyaksikan Yayasan UTHM memberi sumbangan water jet kepada penduduk Kampung Kangkar Senangar untuk digunakan bagi tujuan pembersihan dan penyenggaraan telaga tiub di kampung tersebut.

Turut serta dalam program itu, Wakil Rakyat DUN Sri Medan, Parit Sulong, Dato’ Haji Zulkurmain Kamisan, Duta Al-Falah Malaysia Madani yang juga seorang aktivis masyarakat dan pengkaji sejarah, Mohd Azlan Mohd Sharif dan wakil Jabatan Siasatan Jenayah, Batu Pahat, SM Amir Sakri.

Program tersebut diisi dengan aktiviti ceramah dan perkongsian ilmu berkaitan kemiskinan haid dan pengurusan haid, serta pemeriksaan kesihatan percuma melalui perkhidmatan “Mobile Clinic” oleh Pusat Kesihatan Universiti, UTHM.

Ceramah kesihatan itu melibatkan beberapa penceramah jemputan iaitu Anja Juliah Abu Bakar, Pengasas dan Pengarah Impak Sosial, Athena Holdings Sdn. Bhd., Anja Juliah Abu Bakar, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Skyhill Clinic Sdn Bhd, Dr. Linda Mat Hassin  dan Dr. Sufian Hadi bin Tationo, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pantai Batu Pahat, Dr. Sufian Hadi Tationo.

Pada masa yang sama, Athena Holdings melalui pengasasnya turut memberikan sumbangan berbentuk pad sanitari guna semula kepada golongan wanita dan remaja perempuan yang hadir ke program tersebut.

Penggunaan pad sanitari guna semula itu mampu membantu mengurangkan beban pembelian pad sanitari pakai buang setiap bulan.

Pelaksanaan program CSR “Period Poverty” Fasa 2 yang melibatkan penduduk Kampung Kangkar Senangar dan dua kampung berhampiran itu diharapkan dapat memberi pengetahuan dan pendedahan kepada masyarakat setempat dalam menangani isu kemiskinan haid.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 18 Julai 2023: UTHM bantu selenggara telaga tiub, kongsi ilmu tangani masalah kemiskinan haid

UTHM bantu selenggara telaga tiub, kongsi ilmu tangani masalah kemiskinan haid

 

2. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 19 Julai 2023: UTHM terus dekati masyarakat menerusi Program CSR di Batu Pahat

UTHM TERUS DEKATI MASYARAKAT MENERUSI PROGRAM CSR DI BATU PAHAT