Oleh Nurul Azra Nadia Sariman
PULAU REDANG – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP) Kolej Kediaman Dalam Kampus telah menganjurkan program ‘CAKNA: Marine Park Exploration’ pada 6 hingg 8 Julai 2023 lalu bagi meningkatkan kesedaran komuniti tentang pentingnya penjagaan taman laut sekitar Pulau Redang.
Program dengan kerjasama Functional Composites Structure (FCS), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, UTHM dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu itu juga diadakan bertujuan menjaga kebersihan kawasan terbabit, selain menjaga ekosistem marin Pulau Redang,
Seramai 24 peserta dari MKP dan FCS telah menyertai program itu, ditemani Pengetua Kolej Kediaman Dalam Kampus, Ts. Dr. Mohd Azham Azmi dan timbalannya, Dr. Adi Syahid Mohd Ali.
Menurut Dr. Mohd Azham, program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam aktiviti sukarelawan bersama komuniti luar sekali gus membentuk kesedaran dan tanggungjawab mereka terhadap penjagaan taman laut.
Tambah beliau, program itu diisi degan aktiviti melukis mural bertemakan ‘Sayangi Taman Laut’ oleh pelajar dan sukarelawan yang terlibat.
“Mural tersebut bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada pengunjung taman laut tentang pentingnya menjaga ekosistem marin.
“Dengan visual yang menarik dan pesanan yang jelas, mural ini menjadi salah satu cara untuk memupuk nilai kesedaran dan tanggungjawab terhadap penjagaan taman laut,” katanya.
Aktiviti pembersihan taman laut juga dijalankan di sekitar persisiran pantai bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan selari dengan matlamat utama program CAKNA.
“Terlaksananya program ini sekali gus dapat menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan 2030.
“Semoga pelaksanaan program seumpama ini dapat menjadi inspirasi kepada komuniti dalam usaha memelihara ekosistem marin untuk generasi masa depan,” tambah Dr. Mohd Azham.
Sementara itu, Majlis penutup program CAKNA yang diadakan pada 8 Julai 2023 juga dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.