Kesesakan jalan biasa dihadapi oleh pemandu dalam kawasan bandar. Masalah kesesakan terjadi akibat gangguan aliran trafik yang menyebabkan pemandu terpaksa mengurangkan kelajuan. Ia bertambah teruk apabila pemandu terpaksa berhenti disebabkan keadaan trafik. Keadaan ini menyebabkan masa perjalanan menjadi lebih lama. Kebiasaannya kesesakan jalan berlaku di rangkaian jalan yang mempunyai kapasiti kenderaan yang tinggi atau disebabkan oleh kejadian yang mengganggu aliran trafik seperti kemalangan atau penutupan lorong jalan.
Di Malaysia, kesesakan jalan raya telah lama menjadi masalah yang tiada titik noktah, malah sehingga kini kelihatan lebih serius dan merugikan banyak pihak. Antara lokasi yang sering menjadi titik panas kesesakan dan menerima rungutan pengguna jalan raya adalah di Lembah Kelang, Melaka, Pulau Pinang dan lain-lain bandar di beberapa negeri. Baru-baru ini pihak kerajaan telah mengambil beberapa tindakan bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi.
Sebenarnya kesesakan jalan raya ini bukanlah satu isu baharu malah menjadi isu lama yang berterusan. Masalah kesesakan ini turut dihadapi oleh bandar-bandar besar seperti New York dan London. Sama seperti di negara lain, bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Melaka lebih terdedah kepada kesesakan jalan raya atas pelbagai faktor yang meningkatkan permintaan terhadap ruang jalan. Dalam masa yang sama terdapat faktor yang menghadkan ruang tanah sedia ada.
Antaranya adalah berkaitan dengan proses perbandaran dan pertumbuhan ekonomi yang pesat telah menyebabkan peningkatan penduduk dan pemilikan kenderaan persendirian. Pertumbuhan penduduk bandar menyebabkan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan pengangkutan bukan sahaja untuk tujuan pekerjaan malah bagi tujuan pendidikan, perniagaan, ataupun hiburan. Dengan peningkatan permintaan untuk perjalanan, ditambah pula dengan ruang untuk bergerak masih pada jarak dan rangkaian yang sama, sudah tentu akan memberi masalah pada tempoh yang panjang.
Apabila lebih ramai yang tinggal di dalam dan luar bandar melakukan aktiviti perjalanan terutama kepada mereka yang memilih untuk menggunakan kenderaan persendirian, pergerakan pula bertumpu di kawasan bandar, rangkaian jalan raya sedia ada menerima banyak kenderaan dan akhirnya akan mengakibatkan kesesakan. Keadaan ini sering kelihatan terutama pada masa puncak. Pergerakan trafik perlahan dalam kawasan bandar ini adalah berpunca dari jumlah kenderaan persendirian yang sangat tinggi di samping kehadiran kenderaan komersil termasuk perkhidmatan penghantaran barangan serta e-hailling. Dalam kawasan bandar kesesakan akan menjadi lebih parah jika berlakunya insiden lain seperti kerosakan kenderaan atau kemalangan. Insiden seperti ini akan menyekat bilangan lorong dan menyebabkan aliran trafik perlahan bukan sahaja di kawasan insiden malah melibatkan rangkaian jalan raya berhampiran akibat lencongan yang perlu dibuat oleh pemandu.
Faktor tambahan lain yang mengurangkan ruang guna tanah jalan adalah pembinaan bangunan bagi tujuan komersil dan perumahan yang pastinya membawa pulangan lumayan kepada pemaju. Atas dasar kos dan keuntungan ini, secara tidak langsung akan memaksimum ruang pembinaan dan menyebabkan ruang jalan dalam satu-satu kawasan bandar menjadi agak terhad. Selain itu kerja-kerja jalan atau aktiviti pembinaan dan penyelenggaraan di jalan raya turut mengurangkan bilangan lorong yang tersedia, mewujudkan kesesakan dan mengganggu aliran trafik. Keadaan ini kadangkala tidak dapat dielakkan dalam memastikan pembangunan bandar terus berjalan untuk memberi manfaat kepada banyak pihak.
Taburan spatial bagi kegunaan tanah yang berbeza, seperti kediaman, komersil dan perindustrian boleh menjejaskan corak perjalanan dan jarak orang ramai. Tahap campuran guna tanah yang rendah boleh meningkatkan keperluan untuk perjalanan yang lebih panjang dan mengurangkan peluang untuk berjalan kaki, berbasikal atau menggunakan pengangkutan awam. Ini menyebabkan penggunaan kenderaan untuk bergerak menjadi lebih tinggi dalam mendapatkan perkhidmatan dan barangan di luar kawasan, dan akibatnya jalan raya masih dipenuhi oleh kenderaan persendirian.
Selain itu reka bentuk geometri jalan juga boleh mempengaruhi kapasiti dan kelajuan lalu lintas. Jalan yang sempit, selekoh tajam atau persimpangan, bulatan boleh mengurangkan kecekapan dan keselamatan aliran trafik.
Mengurangkan jumlah kenderaan persendirian secara besar-besaran merupakan solusi yang terbaik untuk mengurangkan kesesakan jalan raya. Namun di Malaysia cabaran yang paling besar adalah untuk menggalakkan pemandu kenderaan persendirian beralih kepada perkhidmatan bas dan rel atau pun mengamalkan kaedah berkongsi kenderaan. Ini adalah berkaitan dengan norma hidup yang telah diamalkan sekian lama. Ramai rakyat Malaysia lebih selesa untuk memandu kenderaan sendiri untuk melakukan perjalanan harian kerana mereka merasakan ia lebih mudah terutama sekali apabila perjalanan yang dilakukan adalah dari rumah terus ke destinasi tanpa perlu bertukar jenis kenderaan lain seperti mereka yang terpaksa menukar jenis pengangkutan awam berbeza sebelum sampai ke destinasi. Keselesaan ini termasuk juga turut berkait rapat dengan faktor cuaca serta keselesaan untuk berhenti di destinasi berbeza dalam satu perjalanan. Seperti contohnya menghantar anak ke sekolah sebelum bergerak ke tempat kerja. Ini menyebabkan kebergantungan yang tinggi terhadap penggunaan kenderan persendirian berbanding pengangkutan awam.
Selain itu peningkatan taraf hidup serta kemampuan untuk memiliki kenderaan persendirian juga turut membawa peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya. Tambahan lagi terdapat banyak peluang untuk memiliki kenderaan baharu dan terpakai ini termasuklah kemasukan kenderaan mewah terpakai dari negara-negara maju yang sudah pasti harganya lebih murah berbanding kenderaan baharu dari Malaysia. Lambakan kenderaan dari dalam dan luar negara ini akan menyebabkan kebanjiran kenderaan di atas jalan raya, jumlah beban trafik menjadi lebih tinggi apabila kadar kenderaan yang dilupuskan tidak seimbang dengan kenderaan baharu yang semakin bertambah.
Faktor lain menjadi penghalang kepada masyarakat untuk bertukar kepada pengangkutan awam adalah kerana perkhidmatan sedia ada yang ditawarkan kadangkala tidak memenuhi kehendak dan keperluan pengguna. Tiada akses, jadual perjalanan yang tidak tetap, perlu bertukar pengangkutan awam sebelum tiba destinasi, perjalanan menjadi lebih lama, tidak selesa dan terlalu lama menunggu adalah antara punca yang sering dinyatakan oleh penduduk Malaysia. Perkhidmatan yang tidak dapat memenuhi kehendak pengguna ini boleh menjadikan jalan semakin sesak. Jika pengangkutan awam tidak menjadi pilihan atau tidak dipercayai, lebih ramai yang akan memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri.
Menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya dalam kawasan bandar merupakan cabaran yang kompleks. Adalah sangat mustahil untuk mana-mana pihak dapat menyelesaikan 100 peratus masalah kesesakan selagi bilangan kenderaan di atas jalanraya masih lagi tinggi. Namun begitu gabungan strategi pengurusan dan amalan trafik yang baik daripada semua pihak termasuk pemandu boleh mengurangkan kadar kesesakan jalan raya dalam kawasan bandar. Oleh itu sama-samalah kita memberikan sumbangan dan bekerjasama untuk mengurangkan kesesakan jalan raya dalam negara.
Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani
Pusat Pemanduan Bijak
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Artikel ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 6 Julai 2023: Cabaran Malaysia tangani kesesakan dalam bandar
https://malaysiagazette.com/2023/07/06/cabaran-malaysia-tangani-kesesakan-dalam-bandar/#google_vignette
2. Utusan Malaysia (muka surat: 19), 7 Julai 2023: Ramai tidak guna kenderaan awam sebab cuaca panas?
3. Utusan (utusan.com.my), 7 Julai 2023: Ramai tidak guna kenderaan awam sebab cuaca panas?
4. Bernama (bernama.com): Cabaran Malaysia menangani kesesakan dalam bandar