PONTIAN – Bagi meneruskan usaha memulihara dan memelihara persisiran pantai, 37 pelajar Kursus Pendidikan Alam Sekitar yang mengikuti Kursus Kokurikulum Berkredit, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program “Caring for Wetlands” pada 27 Mei 2023 lalu.

Program yang dilaksanakan di Taman Negara Johor Tangjung Piai itu melibatkan aktiviti penyemaian biji benih bakau, kutipan sampah hanyut, ceramah kesedaran kepentingan hutan paya bakau dan juga proses penanaman semula pokok bakau.

Menariknya, penganjuran program “Caring for Wetlands” itu telah mendapat tajaan daripada Syarikat Micron Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd.

Untuk rekod, hutan paya bakau merupakan merupakan satu ekosistem yang kompleks dan penting berperanan sebagai habitat hidupan marin, penahan ombak yang kuat, penebat kepada angin kencang atau ribut, kawasan perangkap sampah semula jadi, kawasan persinggahan burung hijrah (migratory birds), kawasan pembiakan serta pelindungan bagi ikan, ketam, udang dan belangkas (nursery ground).

Menurut pengajar kursus, Maizatulazrina Yaakob tujuan utama program itu dilaksanakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman pelajar tentang alam semesta serta flora dan fauna agar mereka dapat mengenal pasti punca pencemaran alam sekitar.

Tambah beliau, kerja lapangan itu turut memberi fokus kepada tiga aspek iaitu penyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar mengguna pakai kaedah biologi, fizikokimia, dan fizikal dalam memulihara dan memelihara alam sekitar terutama hutan paya bakau.

”Selain itu, kerja lapangan ini dijalankan untuk mewujudkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan pelajar UTHM yang berbilang bangsa, agama, negeri dan negara.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak penaja atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ”Caring for Wetlands” yang dianggap amat membantu pelajar untuk mengenali alam sekitar dengan lebih mendalam.

 

Aktiviti mengutip sampah hanyut sekitar hutan simpan paya bakau Tanjung Piai.
Pelajar UTHM mendengar taklimat mengenai hutan simpan paya bakau bersama rangers PTNJ.

Penyerahan sijil penghargaan kepada Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) Tanjung Piai.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 5 Jun 2023: Penuntut UTHM tanam bakau pulihara pesisir pantai

https://malaysiagazette.com/2023/06/05/penuntut-uthm-tanam-bakau-pulihara-pesisir-pantai/