MUAR – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program “Be My Buddy” pada 24 Mei 2023 lalu bagi menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahukan program Service Learning Malaysia University For Society (SULAM) dilaksanakan di setiap universiti.
Program berkonsepkan perkongsian ilmu dan motivasi itu melibatkan penyertaan 159 murid darjah 4,5 dan 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Baharu, Muar.
Mereka dikendalikan oleh 125 pelajar Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Dengan Kepujian (BPA), FPTP yang diketuai oleh Mohamad Shafie Yahcob dan dibimbing oleh dua pensyarah iaitu Prof. Madya Dr. Nor Hazana Abdullah serta Dr. Shazaitul Rodzalan.
Menurut Dr. Nor Hazana, oleh kerana majoriti murid adalah anak-anak pesawah di Sungai Balang, penganjuran program tersebut dilihat sebagai satu intervensi sosial yang berimpak tinggi kerana ini adalah kali pertama universiti ke SK Pekan Baharu.
Tambah beliau, dalam program tersebut setiap murid digandingkan dan dibimbing oleh pelajar FPTP dalam tiga intervensi permainan tingkah laku, yang setiap satunya mempunyai mesej tersendiri.
Program tersebut dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Muar, Huzil Talib dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada hari yang sama.
Turut hadir, Dekan FPTP, Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri; Guru Penolong Kanan 1 SK Pekan Baharu, Nor Faizal Md Yusof; Pengarah Muar Living Lab, Dr. Nor Azizi Yussoff; Pengerusi Kelompok Sawah Sg. Balang, Nor Indahna dan Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, FPTP, Profesor Madya Dr Azlina Yassin.
Cikgu Faizal dalam ucapannya berharap penganjuran program seumpama itu dapat memberi inspirasi kepada murid sekolah untuk lebih bersemangat melanjutkan pelajaran ke menara gading.
“Semoga kehadiran kakak dan abang daripada UTHM ini dapat menyuntik semangat adik-adik untuk turut sama menyambung pelajaran ke universiti, selain dapat meningkatkan lagi jati diri dan keyakinan mereka dalam menghadapi alam persekolahan,” katanya.