Ramadan dan pengisiannya, kupasan buku ‘Renungan Buat Pencinta Syurga’

Gambar hiasan..

Bulan Ramadan adalah bulan yang sentiasa kita tunggu setiap tahun. Auranya sungguh istimewa berbanding bulan-bulan yang lain. Seperti yang kita ketahui bulan Ramadan menjanjikan kenikmatan dan ganjaran yang amat luas bagi mereka yang mampu merasai kemuliaannya dan menghargai setiap detik masa pada bulan ini. Di sini penulis ingin mengajak semua mengimbas ringkasan tentang Ramadan dalam buku ‘Renungan Buat Pencinta Syurga’ karya Mohd Shahrizal Nasir agar dapat dijadikan panduan dan rujukan post-mortem untuk ibadah puasa kita pada tahun ini.

Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah 183.

Wahai org yg beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

Walaupun setiap tahun kita melakukan rutin yang sama iaitu berpuasa pada siang hari dan menunaikan solat sunat tarawih serta bertadarus al-Quran pada waktu malam apabila bertemu Ramadan, namun setiap muslim perlu bertekad utk menjadikan Ramadan kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Kita juga perlu mempersiapkan diri dari segi jasmani dan rohani sebelum melalui kehidupan di bulan yang mulia ini.

Siapa yang boleh memberi jaminan bahawa puasanya nanti pasti diterima Allah? Tiada siapa yang mempunyai jawapan bagi persoalan ini. Puasa adalah satu-satunya ibadat yang ganjarannya dianugerahkan sendiri oleh Allah. Para malaikat sekalipun tidak mengetahui ganjaran pahala puasa yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambaNYA.

“Setiap amalan anak Adam adalah baginya (iaitu hamba tersebut) kecuali puasa, sesungguhnya ia (puasa) adalah untukKu dan AKUlah yg memberi ganjarannya, dan bau mulut org yang berpuasa adalah lebih harum daripada bau al misk (wangian) di sisi Allah” – Hadis Riwayat al Bukhari.

Sesetengah golongan masyarakat hari ini kadang terlupa atau salah faham terhadap tujuan di sebalik pensyariatan ibadah puasa. Tujuan ibadah ini adalah untuk mendidik jiwa dan mengawalnya daripada terus tertipu dengan godaan nafsu. Disebabkan itu, kita dapat melihat walaupun mereka berpuasa menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siang, namun masih ada yang gagal mencapai objektif tujuan utama berpuasa bahkan ia telah dirosakkan dengan perkara-perkara negatif seperti masih bercakap bohong dan masih mengeluarkan kata-kata yang kesat walaupun sedang berpuasa.

Puasa adalah perisai. Dan jika seseorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang kotor (tercela)Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Antara salah faham yang memerlukan penjelasan yang tepat adalah berkenaan kepentingan bersahur. Mungkin ada sebahagian daripada kita yang menganggap bersahur tidak penting, tidak kurang juga yang mengambil mudah tentang pentingnya bersahur.

Ada antara kita yang mungkin mengambil makanan dengan kuantiti yang lebih di tengah malam dengan niat bersahur. Ada juga yang tidak bersahur langsung kerana lebih kepada tidak mahu meninggalkan keenakan bantal dan tilam empuk di kamar.

Keadaan ini bercanggah dengan apa yg disyariatkan Islam. Bersahur itu ada keberkatan dan Rahmat terutamanya pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW ..

Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan Hadis Riwayat al Bukhari, Muslim, Ahmad, Al Tirmizi, Al Nasa’i dan Ibn Majah

Bersahur juga dapat membezakan antara puasa orang Islam dan puasa golongan Yahudi dan Nasrani.

Sabda Rasulullah SAW ..

Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah makan sahurHadis Riwayat Muslim.

Selain itu, terdapat beberapa perbuatan yang mengurangkan pahala puasa. Antaranya apabila seseorang yang sedang berpuasa tetapi mengabaikan solat fardu.

Pada bulan puasa juga sudah tentu ramai yang mengambil peluang untuk berniaga. Namun, alangkah ruginya jika berniaga tetapi tanpa kejujuran. Selain itu, perkara ini mungkin nampak remeh namun tanpa disedari ia juga mengurangkan pahala berpuasa iaitu dengan menjadikan puasa sebagai alasan tidak dapat menguruskan kerja dengan baik.

Kesempurnaan berpuasa sebenarnya bergantung kepada sejauh mana pemahaman tentang erti puasa, rukun dan syarat berpuasa serta perkara-perkara yang membatalkan selain mengetahui cara-cara pelaksanaannya dengan betul.

Rasulullah SAW bersabda..

Sesungguhnya di syurga ada sebuah pintu yang Bernama ‘al Rayyan’ tempat masuk bagi orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak seorang pun dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa. Dipanggil (oleh penjaganya): “Di manakah orang yang telah berpuasa?” Maka orang yang berpuasa pun bangun dan seorang pun tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak seorang pun akan masuk melaluinya (melainkan mereka yang berpuasa sahaja) – Hadis Riwayat al – Bukhari dan Muslim.

Aktiviti tadarus al-Quran juga bertambah aktif pada bulan Ramadan. Bertadarus sebenarnya bukanlah suatu perlumbaan untuk berkhatam al-Quran, membaca dan menyemak bacaan al-Quran adalah konsep tadarus sebenar yang perlu kita ketahui. Rasulullah SAW bertadarus bersama malaikat Jibril untuk memastikan setiap huruf dan ayat dalam al-Quran tepat tanpa ada sebarang kesilapan.

Berpuasa bukanlah alasan untuk kita mengecualikan diri daripada meningkatkan produktiviti mutu kerja di tempat kerja. Walaupun berpuasa, sepatutnya ia membantu kita lebih produktif dan tidak mudah lemah. Selain itu juga, sepatutnya pada bulan Ramadan, kita berjaya mengawal pemakanan seharian. Makan makanan yang berkhasiat dan berhenti sebelum kenyang serta elakkan pembaziran. Membeli makanan di bazar Ramadan, bukanlah suatu kesalahan malah ia turut membantu para peniaga, namun kita perlu mengawal diri kita supaya membeli dengan penuh kesederhanaan. Sememangnya membuat pilihan sangat sukar ditambah lagi dengan melihat pelbagai jenis hidangan menarik ketika perut menanti-nanti untuk diisi. Antara yang mungkin boleh diamalkan sebelum ke bazar untuk mengelak pembaziran, rancang dahulu juadah yang ingin dipilih sejak dari rumah serta kuatkan diri menahan nafsu berbelanja tanpa kawalan.

Marilah menjadikan ibadah puasa kita pada tahun ini adalah ibadah puasa yang lebih baik daripada sebelum ini. Perkara-perkara yang mungkin dilihat sebagai perkara remeh ketika melaksanakan ibadah berpuasa juga perlu kita teliti sebaiknya. Mana mungkin puasa kita sebagai seorang dewasa sama dengan puasa kita Ketika pada usia kanak-kanak. Seharusnya kualiti dan tahap ibadah kita terus meningkat mengikut pertambahan usia kita. Apabila Ramadan berlalu pergi nanti, janganlah kita berhenti dalam melakukan kebaikan dan segala ibadah hanya di bulan Ramadhan. Teruskan setiap kebaikan dan amalan yang kita amalkan di bulan mulia ini, semoga ianya terus menjadi amalan seharian kita demi kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

 

 

Nurulisyazila Othaman

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Mohd Shahrizal Nasir

Jabatan Bahasa Arab

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe