Oleh Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd Sari

Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Alam Sekitar) dengan Kepujian (BNA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapat perakuan akreditasi selama enam tahun daripada Engineering Technology Accreditation Council (ETAC), Board of Engineers Malaysia pada 7 April 2023 lalu.

Perakuan akreditasi kali pertama bagi Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA), FTK itu khusus untuk graduan pada tahun 2023 sehingga 2028.

Untuk rekod, program BNA merupakan salah satu daripada tiga program yang ditawarkan di bawah JTKA.

Menurut Ketua Jabatan JTKA, Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd Sari, kejayaan tersebut hasil komitmen ramai pihak antaranya pengurusan tertinggi UTHM, pengurusan FTK, Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan, Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE), Pejabat Pembangunan Akademik dan Pejabat Pengurusan Makmal Kampus Cawangan Pagoh (PPMKCP).

“Pihak JTKA juga berterima kasih kepada mantan Ketua Program, Dr. Nuramidah Hamidon, Ketua Program baharu, Dr. Roslinda Ali dan ahli-ahli program atas usaha gigih masing-masing bagi memastikan pengiktirafan ini dapat dicapai,” katanya.

Sementara itu, Dekan FTK, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Shukor turut menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pengiktirafan kepada hasil usaha keras semua pihak demi kelangsungan pengajian anak-anak didik serta kecemerlangan akademik di fakulti berkenaan.

“Moga pengiktirafan ini mampu menjadi kebanggaan universiti dan inspirasi kepada semua warga walaupun pernah satu ketika dahulu program ini ditolak untuk direalisasikan,” katanya.