Menurut kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), lebih 50 peratus pekerja Malaysia mengalami tekanan kerja dan hampir 25 peratus mengalami tekanan yang tinggi. Menurut kajian, 71 peratus pekerja Malaysia mengalami stress di tempat kerja dan 75 peratus daripada mereka merasa terbeban dengan tuntutan kerja. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan pekerja di negara kita berdepan dengan tekanan ditempat kerja dalam menjalankan kerja harian mereka.
Semakin banyak tugas yang diberikan, semakin tinggi tekanan dan stres yang dirasakan oleh pekerja. Terlalu banyak tekanan dan stres boleh menyebabkan keletihan mental dan fizikal, yang boleh menjejaskan prestasi kerja.
Menurut kajian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), keseimbangan kerja dan kehidupan dapat meningkatkan produktiviti dan memperbaiki kesejahteraan pekerja, dengan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk berehat dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan.
Oleh itu, adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan antara kehidupan dan kerja untuk mengurangkan tekanan dan stres serta meningkatkan prestasi kerja.
Keutamaan tugas
Salah satu cara untuk mencapai keseimbangan hidup adalah dengan menetapkan keutamaan tugas dengan jelas dan realistik. Pekerja perlu mengetahui tugas dan tanggungjawab mereka dan memastikan mereka mengetahui kerja yang mereka mampu lakukan. Mereka perlu menyediakan senarai tugasan yang diberikan untuk dilaksanakan mengikut urutan kepentingan. Sebagai contoh, dalam konteks kerja, keutamaan tugas perlu diutamakam kepada tugasan yang mempunyai tarikh akhir yang lebih awal dan tugasan yang penting serta berimpak terhadap organisasi.
Pekerja harus juga mengutamakan kehidupan peribadi mereka sama pentingnya dengan kerjaya mereka. Sebagai contoh, pekerja harus mempertimbangkan keperluan hidup peribadi mereka seperti keluarga, hobi, sosial dan lain-lain aktiviti.
Jadual harian
Pekerja perlu membuat jadual harian yang terperinci dalam merancangkan aktiviti seharian supaya semua tugasan dapat diselesaikan pada masa yang ditetapkan. Jadual harian ini harus mencakupi waktu kerja, waktu rehat, waktu bersama dengan keluarga, dan waktu untuk aktiviti rekreasi. Dengan memperuntukkan masa secara efektif antara kerja dan kehidupan peribadi, pekerja dapat mengurus waktu mereka dengan lebih baik, meningkatkan produktiviti, mengurangkan tekanan dan mengekalkan kesejahteraan hidup.
Gaya hidup sihat
Pekerja perlu mengambil berat tentang kesejahteraan fizikal dan mental mereka. Pekerja yang sihat dan bertenaga mampu menjalankan tugas dengan lebih cekap dan produktif, manakala pekerja yang mengalami tekanan dan stres boleh mempengaruhi prestasi kerja mereka. Oleh itu, pekerja perlu mengambil berat tentang diet makanan, membina gaya hidup yang sihat, tidur yang mencukupi dan melaksanakan aktiviti riadah untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental mereka. Selain itu, pekerja juga perlu mengambil berat kesihatan mental mereka dengan melakukan ibadah, meditasi atau kaunseling.
Sikap positif
Pekerja perlu mengambil inisiatif dalam menyelesaikan masalah dan menguruskan masa mereka dengan cekap dan bijak. Ini termasuk melaksanakan penjadualan secara berkesan, mengambil perhatian ke atas tugas-tugas yang mendesak, dan memanfaatkan teknologi untuk menguruskan masa dengan lebih cekap. Pekerja yang menangguhkan tugas sehingga ke saat akhir boleh menyebabkan mereka tertekan. Pekerja juga perlu memanfaatkan waktu rehat mereka sepenuhnya untuk memulihkan tenaga mereka setelah berkerja seharian.
Pekerja juga perlu meningkatkan keupayaan mereka dalam menyelesaikan tugas-tugas mereka pada masa yang ditetapkan supaya ia tidak menganggu waktu pribadi.
Hubungan di tempat kerja
Pekerja perlu menjaga hubungan yang baik dengan rakan sekerja dan majikan. Pekerja perlu berinteraksi dengan rakan sekerja, memberi sokongan kepada satu sama lain, dan mengeratkan hubungan mereka. Selain itu, pekerja juga harus memastikan bahawa mereka mempunyai hubungan yang baik dengan ketua meraka dan majikan, untuk memastikan mereka dapat berkomunikasi secara efektif. Hubungan yang baik ini dapat membantu meningkatkan kesejahteraan emosi dan mental pekerja, dan mempromosikan budaya kerja yang positif.
Batasan kerja
Perkerja perlu menetapkan batasan antara kerja dan kehidupan peribadi mereka. Pekerja perlu mengelakkan membawa kerja ke rumah atau membiarkan kehidupan peribadi mereka terganggu oleh kerja. Pekerja harus memastikan bahawa mereka memperoleh masa yang mencukupi untuk berehat. Dengan membatasi kerja dan memperuntukkan masa yang mencukupi untuk berehat, pekerja dapat mengurangkan tekanan, mengelakkan keletihan, dan memastikan kehidupan yang seimbang antara kerja dan kehidupan peribadi.
Masa lapang
Pekerja perlu memanfaatkan masa lapang mereka dengan sebaiknya. Masa lapang ini boleh dimanfaatkan dengan melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam, membaca buku, atau melakukan hobi yang disukai. Hal ini akan membantu pekerja untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan tahap kesihatan mereka secara keseluruhan. Dengan melakukan aktiviti yang mereka gemari, pekerja dapat meningkatkan kesejahteraan emosi dan mental mereka.
Cara kerja yang efektif
Pekerja perlu bekerja secara efektif dan efisien. Mereka perlu membuat penambahbaikan dalam cara mereka bekerja untuk meningkatkan produktiviti. Pekerja harus mengutamakan tugas-tugas mereka, mengurangkan gangguan, dan menggunakan teknologi yang terkini untuk mempercepat proses kerja. Dengan cara ini, pekerja dapat menyelesaikan tugasan mereka dengan lebih cepat dan meningkatkan produktiviti mereka dalam masa yang ditetapkan, sehingga membolehkan mereka memperuntukkan masa yang lebih banyak untuk kehidupan peribadi dan kegiatan rekreasi. Sebagai contoh, latihan dalam penggunaan perisian komputer yang lebih canggih boleh membantu seseorang menghasilkan laporan yang lebih kompleks dengan lebih mudah, cepat, produktif dan efektif dalam pekerjaan mereka.
Kehidupan yang sejahtera
Keseimbangan antara kerja dan kehidupan adalah kunci untuk mencapai kehidupan yang sejahtera. Sebagai pekerja, kita perlu memahami bahawa keseimbangan ini bukanlah sesuatu yang dapat dicapai dengan mudah dalam sekelip mata, tetapi ia adalah satu proses yang berterusan dan memerlukan komitmen setiap individu.
Mencapai keseimbangan hidup yang sejahtera bukan sahaja memberikan faedah kepada individu, tetapi ia juga memberikan faedah kepada majikan dan masyarakat secara keseluruhan. Pekerja yang sihat dapat meningkatkan produktiviti dan seterusnya juga dapat membantu mengurangkan masalah kesihatan serta kos rawatan perubatan yang ditanggung oleh majikan dan kerajaan dalam jangka masa yang panjang.
Kesimpulan
Kesimpulanya, dalam mengambil langkah untuk menjaga keseimbangan antara kehidupan dan kerja, penting untuk diingat bahawa tidak ada satu formula yang sesuai untuk semua orang. Setiap individu mempunyai keperluan dan situasi yang berbeza, dan oleh itu, mereka perlu menyesuaikan langkah-langkah mereka mengikut keperluan masing-masing. Oleh itu, pekerja perlu mengambil langkah-langkah untuk menjaga keseimbangan antara kehidupan dan kerja, termasuk menetapkan keutamaan yang jelas dan realistik, menguruskan kesejahteraan fizikal dan mental mereka, mengambil inisiatif dalam menyelesaikan masalah dan menguruskan masa dengan bijak. Dengan cara ini, pekerja akan dapat mencapai keseimbangan antara kehidupan dan kerja.
Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah Kanan dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Artikel ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat:11), 7 April 2023: Pekerja kena tetap keutamaan diri urus fizikal,mental
2. Berita Harian (bharian.com.my), 7 April 2023: Pekerja kena tetap keutamaan diri urus fizikal,mental