Industri pelancongan negara merupakan salah satu sektor utama dalam ekonomi negara kita. Pada tahun 2019, industri ini menyumbang sebanyak RM86.14 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dengan jumlah pelancong antarabangsa yang mencapai lebih dari 26 juta orang.

Menurut data dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, industri pelancongan di Malaysia menyumbang lebih dari 3.5 juta pekerjaan pada tahun 2019. Namun demikian, Covid-19 menyebabkan industri pelancongan telah terjejas teruk. Menurut data yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia, jumlah pelancong ke Malaysia pada tahun 2020 turun sebanyak 83.4% berbanding tahun 2019. Oleh itu, sektor pelancongan perlu bangkit sebagai destinasi pelancongan yang menarik dalam memperkukuh ekonomi negara.

Dalam menghasilkan daya lonjakan dalam industri ini, tahun 2025 telah ditetapkan sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan sasaran ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dan unjuran pendapatan sehingga 76.8 bilion ringgit.

Selain itu, cabaran yang dihadapi ialah persaingan dari destinasi pelancongan yang lain di rantau Asia Pasifik. Destinasi seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam juga menawarkan tarikan pelancongan yang menarik dan telah menjadi pesaing kepada negara dalam menarik pelancong antarabangsa.

Negara kita menawarkan pelbagai tarikan pelancongan yang menarik, termasuk tarikan semula jadi seperti pantai yang indah, gunung, hutan hujan tropika dan tasik yang menakjubkan. Sebagai contoh, Pulau Sipadan telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 destinasi menyelam terbaik di dunia.

Selain itu, Malaysia mempunyai kepelbagaian budaya yang kaya dengan pelbagai suku kaum, bahasa, makanan serta adat istiadat yang menarik dan unik. Sebagai contoh,  UNESCO telah mengiktiraf Pulau Langkawi sebagai ‘Geopark Dunia’ bagi mempromosikan warisan geologi, biologi dan budaya pulau tersebut.

Langkah-langkah proaktif perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memulihkan industri pelancongan untuk meningkatkan ekonomi negara.

Promosi

Promosi yang agresif perlu dilakukan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia melalui pelbagai program pemasaran dan promosi ini dapat membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik di dunia. Program seperti pelancaran pelbagai aktiviti promosi di dalam dan luar negara, promosi dalam talian dan media sosial, serta peningkatan infrastruktur pelancongan, dapat memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Dalam belanjawan 2023, Kerajaan telah memperuntukkan 250 juta ringgit untuk mempromosi pelancongan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Selain itu, Malaysia perlu terus mengembangkan strategi pemasaran dan promosi yang efektif untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik di seluruh dunia. Ini termasuk pelancaran pelbagai aktiviti promosi di luar negara, promosi dalam talian dan media sosial, serta peningkatan infrastruktur pelancongan.

Pemasaran dan promosi yang efektif akan membantu mempromosikan Malaysia sebagai pusat destinasi pelancongan yang menarik dan ini dapat meningkatkan jumlah pelancong ke negara kita. Informasi perlancongan berbentuk digital yang komprehensif perlu diwujudkan seperti Facebook, laman web dan Instagram supaya segala maklumat perlancongan yang lengkap dapat diakses dengan mudah.

Kerjasama dengan industri

Selain itu, kerjasama dengan industri pelancongan juga sangat penting untuk mewujudkan produk baharu pelancongan yang menarik. Industri pelancongan di Malaysia terdiri daripada pelbagai sektor perkhidmatan seperti penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, serta pelbagai aktiviti seperti aktiviti pantai, atau aktiviti kebudayaan. Kerjasama dengan industri ini dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan menyediakan pengalaman yang unik kepada pelancong serta dapat membantu dalam meningkatkan jumlah pelancong.

Sebagai contoh, dalam belanjawan 2023, geran padanan telah diwujudkan sebanyak 115 juta antaranya untuk menggalakkan aktiviti promosi pelancongan dan penganjuran acara besar seperti sukan antarabangsa dan kebudayaan. Geran sepadan ini turut digunakan untuk usaha sama dengan Malaysia Airport HoldingsBerhad (MAHB) dan syarikat penerbangan antarabangsa bagi menggalakkan penerbangan.

Pusat Membeli-belah

Malaysia berpotensi menjadi salah satu tarikan pusat membeli-belah yang popular dalam kalangan pelancong dari seluruh dunia bagi meningkatkan ekonomi negara. Menurut Laporan Tahunan Global Retail Index 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-24 sebagai destinasi membeli-belah utama di dunia. Pusat membeli-belah di negara kita menawarkan pelbagai jenis barangan seperti pakaian, kasut, kosmetik, dan barang elektronik dengan harga yang berpatutan. Pelancong yang datang terutamanya dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei, boleh berbelanja di pusat-pusat membeli-belah seperti KLCC, Pavilion, Mid Valley Megamall dan Sunway Pyramid.

Selain itu, pelancong juga dapat menikmati pengalaman membeli-belah yang berbeza seperti pasar malam, pasar tani dan pasar karat. Sebagai contoh, pasar malam di Jonker Walk, Melaka menawarkan barangan unik dan tradisional seperti pakaian tradisional, makanan dan cenderahati.

Produk Pelancongan

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan warisan sejarah dan keindahan alam semula jadi. Namun begitu, masih banyak tempat-tempat bersejarah dan alam semula jadi yang belum dimanfaatkan sepenuhnya sebagai produk pelancongan. Oleh itu, Malaysia perlu mewujudkan produk pelancongan yang berpotensi untuk menarik minat pelancong. Dengan memanfaatkan tempat-tempat bersejarah dan keindahan alam semula jadi sebagai produk pelancongan, ia dapat membantu meningkatkan industri pelancongan negara dan juga memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Tempat-tempat bersejarah seperti Kota Melaka, Georgetown, Pulau Langkawi dan Kota Kinabalu adalah beberapa contoh lokasi yang mempunyai keunikan dan sejarah tersendiri. Sebagai contoh, Melaka dan George Town adalah bandar bersejarah yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Sementara itu, keindahan alam semula jadi juga perlu dimanfaatkan sebagai produk pelancongan. Taman Negara, Gunung Kinabalu dan Pulau Tioman adalah beberapa lokasi yang menawarkan pemandangan yang cantik dan boleh menarik pelancong yang mencari pengalaman dan keindahan alam semula jadi tropika di Malaysia.

Pelbagai insentif Kerajaan

Selain itu, kualiti perkhidmatan juga menjadi masalah yang perlu diatasi untuk menarik lebih ramai pelancong. Kualiti perkhidmatan yang baik akan menarik lebih ramai pelancong datang ke destinasi pelancongan kerana mereka berpuas hati terhadap mutu perkhidmatan yang diberikan.

Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai insentif untuk membantu sektor ini berkembang maju. Insentif seperti pengurangan cukai untuk industri pelancongan, pemberian visa untuk pelancong, serta bantuan kewangan untuk industri pelancongan kecil dan sederhana (IKS) dapat membantu dalam membantu dalam meningkat kualiti mereka dalam memberi perkhidmatan yang terbaik dan seterusnya meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini.

Sebagai contoh, Langkawi menawarkan pusat membeli-belah bebas cukai yang menawarkan barangan jenama terkenal seperti parfum, pakaian, aksesori, dan lain-lain dengan harga yang lebih murah. Insentif-insentif ini harus diteruskan dan diperbaiki agar industri pelancongan di Malaysia dapat terus berkembang dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada ekonomi negara.

Infrastruktur Pelancongan

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Cabaran ini termasuk masalah infrastruktur yang kurang memuaskan seperti kemudahan pengangkutan dan penginapan serta kurangnya kemudahan. Sebagai contoh, destinasi pelancongan yang terletak di kawasan pedalaman memerlukan jalan yang selesa dan mudah untuk pelancong berkunjung untuk kemudahan pelancong.

Selain itu, penyediaan kemudahan-kemudahan asas pelancongan seperti pengangkutan dan kemudahan pelancongan, dan pembinaan pusat-pusat pelancongan perlu ditambah baik. Dalam belanjawan 2023, kerajaan akan melaksanakan projek untuk menyelesaikan kesesakan jalan raya telah menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong.

Sebagai contoh, membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands sebanyak 480 juta, menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka sebanyak 300 juta ringgit dan membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek 160 juta ringgit. Kerajaan juga akan menambah baik Senai Desaru Expressway dan naik taraf Lebuhraya Utara Selatan dengan kos 525 juta ringgit secara berfasa.

Selain itu, kerajaan perlu untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di beberapa destinasi pelancongan. Pihak berkuasa perlu memperkenalkan lebih banyak bas pelancongan dan melaksanakan kemudahan pengangkutan dalam bandar seperti sistem rel metro dan tren laju di beberapa kawasan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, industri pelancongan perlu bangkit sebagai destinasi tumpuan pelancongan bagi membantu meningkatkan ekonomi negara. Untuk terus bersaing, kita juga perlu memperbaiki kualiti perkhidmatan pelancongan dan meningkatkan kemudahan infrastruktur, mewujudkan produk pelancongan yang menarik, memperkuatkan kerjasama dengan industri pelancongan, serta mengembangkan strategi pemasaran dan promosi yang efektif.

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah Kanan dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 1 April 2023: Kualiti perkhidmatan bantu wujud produk pelancongan menarik

 

2. Berita Harian (bharian.com.my), 1 April 2023: Kualiti perkhidmatan bantu wujud produk pelancongan menarik

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2023/04/1084618/kualiti-perkhidmatan-bantu-wujud-produk-pelancongan-menarik  

 

3. Utusan Malaysia (muka surat: 19), 4 April 2023: Jadikan pasar karat tarikan pelancongan   

4. Utusan (utusan.com.my), 4 April 2023: Jadikan pasar karat tarikan pelancongan https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/04/jadikan-pasar-karat-tarikan-pelancongan/  

 

5. Melaysiakini (melaysiakini.com): Jadikan pasar karat tarikan pelancongan https://www.melaysiakini.com/jadikan-pasar-karat-tarikan-pelancongan-84836.html  

 

6. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 21 April 2023: Industri pelancongan perlu bangkit perkukuh ekonomi negara

https://malaysiagazette.com/2023/04/21/industri-pelancongan-perlu-bangkit-perkukuh-ekonomi-negara/

 

7. Bernama (bernama.com), 12 Julai 2023: Industri pelancongan perlu bangkit perkukuh ekonomi negara

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2205003