Senario masa kini menunjukkan kebanyakan pelajar-atlet di Malaysia cenderung untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi dalam bidang sains sukan sebagai bidang pengajian pilihan bagi memastikan mereka dapat mengekalkan prestasi sukan mereka.

Walau bagaimanapun, pendekatan sebegini yang tidak mengetengahkan kecenderungan mereka ke bidang lain adalah sesuatu yang merugikan kerana bidang lain juga dapat membantu mereka untuk terus cemerlang dalam bidang sukan, sekali gus membantu pembangunan kerjaya mereka pada masa hadapan. Hal ini kerana, peluang kerjaya dalam bidang sains sukan dilihat agak terlalu tipis pada masa kini disebabkan keadaan semasa yang memerlukan graduan yang lebih kompeten dalam bidang teknikal.

Bidang teknikal merupakan bidang yang menawarkan pelbagai pilihan untuk pelajar-atlet menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi. Di Malaysia, bidang teknikal seperti kejuruteraan, sains komputer dan teknologi maklumat mendapat permintaan tinggi dan banyak menawarkan peluang kerjaya. Ia sekali gus dapat membantu pelajar-atlet dalam pemilihan kerjaya seusai mereka bersara daripada sukan.

Selain itu, bidang teknikal juga sekali gus dapat membantu mereka melengkapkan pengetahuan teknikal bagi tujuan latihan dan prestasi pelajar-atlet. Sebagai contoh, seorang atlet yang menyambung pelajaran dalam kejuruteraan mekanikal boleh mengaplikasikan pengetahuannya untuk membangunkan peralatan latihan yang lebih berkesan atau meningkatkan prestasi mereka dengan memahami mekanik di sebalik sukan yang mereka ceburi. Begitu juga, pelajar-atlet yang mengambil jurusan sains komputer boleh menggunakan kemahiran mereka untuk membangunkan program latihan dan menganalisis data prestasi untuk meningkatkan kemahiran dan strategi dalam sukan yang mereka ceburi.

Manfaat lain dalam mengejar bidang teknikal adalah potensi untuk kestabilan kerjaya. Bidang teknikal menawarkan laluan kerjaya yang stabil dengan potensi pendapatan yang lebih tinggi berbeza dengan kerjaya melalui sukan yang berpaksikan faktor umur, prestasi dan kesihatan fizikal atlet.  Walau bagaimanapun, sebagai pelajar-atlet yang ingin menyambung pengajian dalam bidang teknikal, mereka perlu melalui cabaran dan kekangan sebagai seorang pelajar dan juga atlet. Disiplin dan kemahiran menguruskan masa amat diperlukan untuk menyeimbangkan bebanan akademik dan sukan.

Selain itu, peranan institusi penting dalam memastikan sistem sokongan yang komprehensif bagi membantu golongan ini. Pelajar-atlet juga perlu bersifat proaktif dalam mencari peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan teknikal mereka ke dalam kerjaya sukan kerana ia mampu memberikan output yang memberikan kebaikan kepada pembangunan akademik dan sukan.

Kesimpulannya, pelajar-atlet di Malaysia tidak sepatutnya membatasi diri mereka untuk mengejar sains sukan sebagai bidang pengajian utama mereka. Bidang teknikal menawarkan pelbagai pilihan kerjaya, membantu melengkapkan latihan dan prestasi sukan, dan menawarkan kestabilan kerjaya yang lebih luas. Perlu dilihat, sukan merupakan platform yang boleh diaplikasikan dengan pelbagai bidang. Sudah tiba masanya atlet di luar sana melihat bidang lain yang sesuai untuk menyambung pengajian mereka.

 

 

 

Dr. Mohd Zulfadli Rozali

Jabatan Iktisas Pendidikan dan Profesional

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 19), 3 Mei 2023: Pelajar atlet perlu ada pengetahuan teknikal 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 3 Mei 2023: Pelajar atlet perlu ada pengetahuan teknikal 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/05/pelajar-atlet-perlu-ada-pengetahuan-teknikal/

 

3. Melaysiakini (melaysiakini.com), 3 Mei 2023: Pelajar atlet perlu ada pengetahuan teknikal 

https://www.melaysiakini.com/pelajar-atlet-perlu-ada-pengetahuan-teknikal-87999.html