Demi masa, rebutlah nilai pahala 1000 bulan

Sumber foto: https://suaraaisyiyah.id/demi-masa/

Terdapat empat revolusi industri utama yang telah berlaku di dalam sejarah manusia iaitu revolusi industri pertama sehingga ke revolusi industri keempat. Jika kita amati secara umumnya kesemua revolusi industri ini sebenarnya berkaitan dengan percubaan manusia untuk menggunakan masa secara optimum dengan meningkat produktiviti dengan bantuan teknologi. Masa menjadi antara fokus utama supaya manusia mendapat lebih nilai untuk masa yang ada pada dirinya.

Lihatlah pada revolusi industri pertama yang bermula di sekitar kurun ke 18. Enjin wap telah diperkenalkan dan membolehkan keretapi beroperasi untuk mengangkut barangan dalam kuantiti yang lebih besar dan pada jarak yang lebih jauh. Mesin-mesin di kilang juga dapat beroperasi dengan lebih baik lantaran prestasi enjin wap ini yang lebih konsisten dalam membekalkan tenaga. Penggunaan mesin-mesin juga telah memaksimakan penggunaan masa dalam menghasilkan lebih banyak produk.

Revolusi Industri Kedua pula berlaku pada separuh kedua abad ke-19 dan awal abad ke-20, dan tenaga elektrik merupakan pemangkin terbesar revolusi ini. Tenaga elektrik dapat membekalkan tenaga yang lebih murah dan fleksibel yang mana tenaga ini dapat digunakan untuk mesin-mesin yang lebih kecil dan mudah alih yang tidak dapat dilakukan semasa pengunaan enjin wap.  Manakala pengenalan teknik barisan pemasangan di kilang yang dipopularkan oleh Henry Ford juga telah dapat membantu menjimatkan masa untuk tujuan pengeluaran produk dalam skala yang lebih besar.

Pada pertengahan abad ke-20, menandakan ketibaan Revolusi Industri 3.0, juga dikenali sebagai Revolusi Digital, yang merujuk kepada kemajuan teknologi digital dan penggunaan komputer. Antara inovasi penting IR3.0 ialah pengenalan komputer peribadi dan pelbagai alat teknologi maklumat lain seperti telefon bimbit. Nama-nama seperti Steve Jobs, Steve Wozniak dan Bill Gates mula meniti di bibir pemain industri. Syarikat yang diasaskan mereka masih bertahan dan menguasai sebahagian besar pasaran komputer sehingga ke hari ini. Revolusi industri 3.0 telah merubah cara kita bekerja, berkomunikasi dan hidup. Teknologi digital yang diperkenalkan telah membolehkan kita untuk berkomunikasi dan bekerja dari jarak jauh, menguruskan projek dan memproses maklumat dengan lebih cepat dan efisien.

Kini adalah zaman Revolusi Industri 4.0 yang mana teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), robotik, internet benda (IoT) dan automasi semakin berkembang pesat. Ia melibatkan pengumpulan dan analisis data secara automatik dari pelbagai spektrum yang membolehkan pembuatan keputusan yang lebih cekap dan tepat. Antara produk hebat IR4.0 ini ialah seperti kereta pintar yang dihasilkan oleh syarikat Tesla yang diterajui oleh Elon Musk. Berkait dengan masa, kereta pintar ini telah membolehkan manusia “berehat” daripada memandu dan dapat menggunakan masa di dalam perjalanan untuk tujuan yang lain. Tidak cukup dengan kereta pintar, untuk mendapatkan lebih masa lagi, Elon Musk mahu membina “hyperloop” yang membolehkan manusia bergerak dengan amat pantas dari satu destinasi ke destinasi yang lain pula.

Melihatkan semua ini benarlah seperti yang dikatakan pujangga bahawa masa itu adalah emas. Ia adalah komiditi yang sangat berharga dalam kehidupan manusia. Datangnya sentiasa tetap dan perginya tidak dapat ditahan-tahan. Manusia tidak dapat membeli masa, justeru manusia sentiasa mencuba untuk mendapatkan lebih nilai untuk masanya.

Demikianlah Allah SWT telah bersumpah dengan masa dalam surah Al-Asr. “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-Asr 103:1-3).

Di bulan Ramadhan pula ada hadiah yang akan diberikan oleh Allah SWT yang jika dinilaikan dengan masa merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan kepada hamba-hambaNya, iaitu malam istimewa malam Lailatul Qadar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apakah kamu tahu apa itu malam Lailatul Qadar? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.”  (Surah al-Qadr, ayat 1 – 5).

1000 bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun empat bulan. Maka berbahagialah mereka yang mendapat anugerah ini kerana mendapat nilai masa yang mungkin lebih daripada jumlah usia yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka.

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Hairulnizam Mahdin

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Abu Hanifa Abu Mukhtar

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 13 April 2023: Demi masa, rebutlah nilai pahala 1000 bulan

Demi masa, rebutlah nilai pahala 1000 bulan

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 18), 20 April 2023: Rebutlah nilai pahala 1,000 bulan 

 

3. Utusan (utusan.com.my), 20 April 2023: Rebutlah nilai pahala 1,000 bulan

Rebutlah nilai pahala 1,000 bulan

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2023Rencana
Subscribe