JOHOR BAHRU – Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bekerjasama dengan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menganjurkan program ‘Architectural Heritage Inventory @ Johor Bahru’ pada 30 dan 31 Januari 2023 sebagai usaha memelihara warisan senibina bangunan.
Program tersebut diadakan bertujuan untuk melaksanakan kerja-kerja inventori dokumentasi digital bagi bangunan warisan yang terdapat di sekitar kawasan bandaraya Johor Bahru menggunakan teknik photogrammetry, yang merupakan salah satu teknik dan kepakaran yang ditawarkan di bawah program pengajian senibina, FKAAB.
Kerja-kerja inventori itu telah dilaksanakan oleh pelajar-pelajar senibina di bawah bimbingan pensyarah Dr. Azmal Sabil, Nasrul Arif Ahmad Mahmud, Ts. Dr. Noor Dina Md Amin, Nor Azizah Adnan dan Puan Nadiyah Noor Hisham serta turut dibantu oleh Kelab Pelajar Senibina UTHM.
Program selama dua hari itu dirasmikan oleh Dekan FKAAB, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan Juki bertempat di Galeri Kampus Bandar, UTHM.
Hadir sama, Naib Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia, Prof. Adj. Ar. Adrianta Aziz yang juga merupakan Profesor Adjung bagi program senibina di UTHM serta yang Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan, Masliza Samuri selaku wakil Majlis Bandraya Johor Bahru.
Pada majlis tersebut, wakil PAM merangkap penyelaras program, Datin Dr. Nor Hayati Hussain memberi ucaptama yang bertajuk ‘Urban Heritage Under Threat’ diikuti sesi latihan oleh Dr. Azmal Sabil yang merupakan penyelaras daripada UTHM, bertajuk ‘City Campus Photogrammetry.’
Dr. Azmal berkata selari dengan aspirasi GTU 2030, kerja-kerja inventori oleh pelajar senibina UTHM yang dilaksanakan pada 31 Januari lalu telah diberi imbuhan bersesuaian oleh PAM berdasarkan khidmat kepakaran yang telah mereka tawarkan.
“Program ini dilihat mempunyai potensi yang besar dalam usaha memelihara warisan senibina yang masih wujud pada hari ini.
“Usaha mendokumentasi bangunan warisan adalah sangat penting sebagai rujukan pada masa hadapan, sementara bangunan-bangunan yang kaya dengan nilai dan kebitaraan pemikiran generasi terdahulu ini masih utuh berdiri.
“Kepentingan mengenai usaha pemeliharaan warisan senibina harus didedahkan dengan lebih awal kepada pelajar senibina dalam melahirkan arkitek masa hadapan yang sensitif, peka dan bertanggungjawab memelihara warisan dan budaya bangsa,” katanya.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 21 February 2023 : UTHM, PAM, MBJB Laksana Projek Architectural Heritage Inventory 2023
UTHM,PAM,MBJB LAKSANA PROJEK ARCHITECTURAL HERITAGE INVENTORY 2023