BATU PAHAT – Bagi merealisasikan hasrat untuk menjadi sebuah universiti teknopreneur bertaraf global, Yayasan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mula menjana pendapatan sendiri melalui pelaksanaan projek ladang ternakan ruminan di Kampung Linau Kecil, Batu Pahat.

Projek tersebut merupakan jalinan kerjasama strategik bersama Dol Jalal Agro Empire iaitu sebuah syarikat yang berpengalaman dalam ternakan ruminan.

Gerak kerja projek itu telah bermula pada April 2022 dan beroperasi sepenuhnya pada bulan September 2022 lalu dengan jumlah terkini ternakan lembu sebanyak 70 ekor.

Selain untuk menjana pendapatan sendiri, projek ternakan itu juga bertujuan membantu masyarakat setempat khususnya golongan B40 dan mahasiswa UTHM mendapatkan peluang pekerjaan dalam bidang penternakan dan penjualan daging lembu.

Usaha itu seiring dengan seruan dan hala tuju negara  dalam menjayakan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan.

Menurut Pengurus Yayasan UTHM, Mohd Razif M. Ismail pihaknya mengambil upah pekerja sambilan dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat kategori B40 untuk menguruskan ladang seiring dengan tujuan penubuhan Yayasan iaitu bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk.

Selain itu, Yayasan UTHM juga akan memulakan pengeluaran produk yang meliputi jualan lembu hidup, jualan karkas/daging segar dan baja organik.

“Yayasan UTHM menghasilkan produk penternakan tunggal bagi pembekal daging yang melalui proses penuaan (aging) sebelum dipasarkan dan mensasarkan keluaran produk premium cut.

“Proses-proses inilah yang menjadikan ladang ini istimewa kerana penggunaan bahan yang premium bagi proses penternakan lembu.

“Selain itu, pihak kami juga menanam sendiri rumput napier dan jagung bijirin untuk penghasilan makanan ternak yang organik dan berprotein tinggi.

“Langkah ini bermaksud kami sangat menjaga kualiti lembu yang diternak bagi menghasilkan daging yang bermutu tinggi,” katanya.

Rentetan itu, satu Majlis Pelancaran Ladang Ternakan Ruminan Yayasan UTHM telah diadakan pada 25 Januari 2023, bertempat di Lot 3725, Parit Linau Kecil, Batu Pahat.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.

Beliau dalam ucapannya berharap Yayasan UTHM dapat menjayakan Projek Ladang Ternakan Ruminan tersebut dan dapat memberi manfaat kepada banyak pihak.

“Tahniah kepada Yayasan UTHM kerana berjaya merealisasikan projek ladang ternakan ruminan dan menyahut seruan untuk menjadi sebuah universiti teknopreneur bertaraf global menjelang 2030, sekali gus sebagai usaha melahirkan tenaga kerja mahir selari dengan keperluan industri,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UTHM, Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UTHM, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Pegawai Kanan Universiti, Jawatankuasa Eksekutif UTHM, Ahli Jawatankuasa Pemantau Ladang Ternakan Ruminan UTHM, Sekretariat Yayasan UTHM dan UTHM Prihatin, Skuad Yayasan UTHM dan Ketua-ketua kampung sekitar Parit Linau Kecil.

Pada majlis tersebut, Yayasan UTHM turut menyampaikan sumbangan berupa produk daging segar dari ladang ternakan dan barangan keperluan isi rumah kepada 10 keluarga asnaf sekitar Kampung Linau Kecil.

Para tetamu yang hadir turut dibawa melawat booth pameran daging dan demonstrasi pemotongan daging bagi berkongsi maklumat berkaitan operasi ladang tersebut.

 

Yayasan UTHM yang diwakili Dato’ Sri Ibrahim (dua dari kiri)  menyampaikan sumbangan berupa produk daging segar dan barangan keperluan isi rumah kepada keluarga asnaf Kampung Linau Kecil.